Thursday, May 14, 2009

Mawi terokai bisnes restoran - Bersedia untuk masa depan


MAWI dan Marrybrown mempunyai pertalian yang erat.


MESKIPUN popularitinya dikatakan semakin merudum, ia tidak bermakna aura penyanyi terkenal, Mawi atau Asmawi Ani bertukar pudar.

Sebaliknya, selepas berkahwin dengan pelakon Nora'Asikin Rahmat atau Ekin, rezekinya semakin bertambah bukannya seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Terbaru, Mawi kini diangkat sebagai duta makanan segera keluaran Malaysia, Marrybrown.

Menganggap ia sebagai rezeki perkahwinannya tatkala tawaran diterima sekitar Disember tahun lalu, Mawi tidak mengambil masa yang panjang untuk bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

Tambahan, Mawi juga seorang peminat Marrybrown sejak kecil memandangkan restoran ini lahir di Johor Bharu.

"Saya memang suka dengan Marrybrown, paling saya suka ayamnya dan bila ditawarkan menjadi duta kepada makanan yang saya suka kenapa saya harus menolak.

"Selain saya mendapat beberapa keistimewaan sepanjang bergelar duta Marrybrown selama dua tahun, saya juga belajar selok-belok dunia perniagaan makanan," ujarnya.

Disebabkan itu, Mawi berhasrat untuk membuka satu cawangan Marrybrown di Kuala Lumpur memandangkan tidak banyak cawangan Marrybrown berbanding restoran makanan segera yang lain.

"Kalau di Johor, Marrybrown memang terkenal sebab seingat saya masa kecil dulu, tiada restoran makanan segera yang lain selain Marrybrown di Kulai.

"Boleh dikatakan Marrybrown yang paling hebat dan mewah. Tetapi sekarang sudah banyak cawangannya di Johor kerana Johor negeri kelahiran restoran ini tetapi di tempat-tempat lain ia baru bertapak," ulasnya.

Katanya lagi, keputusannya untuk membuka cawangan restoran Marrybrown di Kuala Lumpur masih lagi dalam peringkat perbincangan dan belum ada kata putusnya.

Namun, Mawi sudah pun membuat beberapa penilaian bagi memastikan cawangannya kelak mendapat sambutan dan turut digunakan untuk membantu karier seninya.

"Apa yang saya cadangkan, restoran itu nanti mesti ada bahagian pandu lalu kerana orang bandar sibuk, nak beratur pun tiada masa dan ia haruslah mempunyai keluasan supaya memudahkan orang meletakkan kereta.

"Mungkin restoran itu akan saya gunakan juga bagi mempromosi album atau mengadakan acara-acara berkaitan karier seni," ujarnya.

Menurutnya, perancangan itu dibuat bukan secara suka-suka tetapi idea tersebut datang ketika dia menjalani penggambaran iklan Marrybrown baru-baru ini.

"Saya terfikir sampai bila saya harus menyanyi, pasti sampai masanya saya tidak akan aktif lagi, jadi saya harus menyiapkan diri untuk masa hadapan.

"Kalau harap orang sahaja sampai bila saya akan belajar, jadi dengan membuka cawangan Marrybrown ia akan membantu mendidik saya menggerakkan sendiri perniagaan.

"Sudah empat tahun bergelar artis, rasanya ini waktu yang tepat untuk saya mengorak langkah dengan kaki serta usaha sendiri," katanya yang kini bergerak di bawah syarikatnya sendiri iaitu MW Entertainment Sdn. Bhd.

Menyentuh tentang pemilihan Mawi sebagai duta, Pengarah Urusan Kumpulan Marrybrown, Nancy Liew mempunyai asas yang kukuh untuk memilih Mawi.

Menurut Liew, pihaknya memilih Mawi bukan sahaja kerana populariti yang dimilikinya tetapi juga disebabkan sejarah kehidupan Mawi begitu dekat dengan Marrybrown yang mempunyai cawangan di 13 negara lain.

"Kami percaya dengan pemilihan Mawi sebagai duta, ia mampu menarik perhatian peminat dan pelanggan untuk mengunjungi restoran kami.

"Bukan mudah untuk mendapatkan Mawi kerana kesibukan dan kepadatan jadual seninya dan kami berbangga kerana dia bersetuju untuk bekerjasama dengan kami.

"Kami akan membawa Mawi menjelajah beberapa cawangan di seluruh negara tetapi buat masa ini tiada perancangan lagi untuk menjadikan Mawi duta Marrybrown di peringkat antarabangsa," jelasnya yang turut memperkenalkan dua menu baru iaitu Nasi Sate dan Burger Sate pada majlis yang sama.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah serta isteri Mawi, Ekin turut hadir memeriahkan majlis.

1 comment:

  1. tahniah mawi, semoga anda berjaya dmasa depan.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: