
![]() |
| |
JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Tawakal, Skudai dekat sini tidak menyangka seorang lelaki yang baru tinggal di kampung itu sejak beberapa bulan lalu ialah Mas Selamat Kastari (gambar), seorang pengganas yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura.
"Dia seorang yang pendiam dan tidak bercampur dengan penduduk kampung ini. Surau di kampung ini pun dia tak pernah datang,'' kata penduduk yang tinggal berjiran dengan lelaki itu, Jamian Simin, 70.
Katanya, walaupun tinggal berhampiran, Jamian tidak pernah berbual dengan lelaki itu.
Beliau mengakui pernah menyapanya ketika lelaki itu sedang menyapu rumput dan membersihkan longkang di rumah berkenaan.
"Pada ketika itu saya dan orang kampung tidak tahu dia seorang yang sedang diburu oleh pihak berkuasa,'' katanya.
Mas Selamat ialah pemimpin kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) yang diburu selepas meloloskan diri daripada kawalan polis di sebuah pusat tahanan Singapura tahun lepas, sebelum berjaya ditangkap di Skudai baru-baru ini.
Kejayaan itu hasil intipan pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 April lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: