KUALA LUMPUR: “Jika Ana (saya) bagi seribu alasan sekalipun pastinya ada orang tidak mempercayainya...jadi lebih baiklah ana berdiam diri saja,” kata Akil Abdul Hai atau Akhil Hayy, 40, ketika diminta mengulas gambarnya dengan penyanyi Norwahidah Abdul Wahab, 31, atau Waheeda di pantai yang tersebar di Internet, baru-baru ini.
Akhil Hayy yang dihubungi malam tadi, bagaimanapun enggan menjelaskan bila gambar itu dirakam bersama satu pasangan lain.
“Setiap patah perkataan yang ana kata walaupun benar sekalipun, mungkin tidak dipercayai pihak yang terbabit kerana seperti penyebaran gambar ini, ana sendiri tidak tahu apa tujuan mereka.
“Orang boleh tafsir macam-macam mengenai apa yang berlaku, namun apa yang benar serta betul, biarlah ana sendiri yang tahu,” katanya.
|
“Tetapi, jika ada sebarang perkara yang berlaku, ana tidak akan sesekali menyorokkannya dan setiap kenyataan akan ana sampaikan sama ada kepada pihak media atau orang ramai,” katanya.
|
Menurutnya, dia mengetahui mengenai penyebaran gambar terbabit daripada makluman rakannya dan seperti didengarnya, ada pihak menyelar tindakannya bergambar dengan pasangan lelaki dan perempuan yang berpakaian seksi serta tidak berpadanan dengan dirinya bergelar seorang ustaz.
Namun, tegasnya apa yang dibuatnya itu tidak ada sedikitpun kena-mengena dengan cara pergaulannya, sebaliknya situasi itu memang perlu dihadapi serta diterimanya sejak kali pertama melangkah dalam industri hiburan.
“Ana hendak buat macam mana kerana perkara ini memang wujud dalam industri hiburan dan pastinya akan bertembung dengan perkara seumpama itu serta tidak boleh ditolak.
“Seperti gambar perempuan berkenaan, takkan ana nak bungkus sarung nangka padanya semata-mata supaya dia tidak kelihatan seksi ketika bergambar,” katanya.
Akhil berkata walaupun dia berada dalam industri hiburan, tidak bermakna dia lupa serta hanyut dalam perbuatan kemelut sosial melanda industri hiburan.
Dia mempunyai cara sendiri untuk mengatasinya serta ia sebahagian satu cara dia untuk mendekatkan diri dengan pihak terbabit sebagai satu daripada usahanya untuk berdakwah.
“Setakat sampai hari ini ana masih lagi tahu batasannya dan sepanjang ana dalam dunia ini, ana tahu apa yang ana lakukan.
“Kepada pihak yang suka memikirkan perkara negatif yang ana lakukan, anda tidak berada di tempat saya jadi anda boleh cakap macam-macam, tetapi biarlah hakikatnya hanya ana saja yang tahu apa ana lakukan.
“Namun yang pasti, ini salah satu cara ana berdakwah dalam industri dan ana tahu tahap serta batasannya,” katanya.
Sementara itu, Waheeda dilaporkan dalam Internet hanya ketawa kecil sebaik diminta mengulas isu gambar berkenaan.
Dalam nada tenang, penyanyi yang melonjak namanya dengan lagu Wassini itu sudah dapat mengagak pasti akan menjadi ‘bualan’ ramai.
“Memang saya dan Akhil pernah ke pantai Port Dickson bersama-sama. Kami sebenarnya pergi beramai-ramai. Dan gambar itu diletakkan rakannya dalam Facebook.
“Memang pada awalnya dia ada bertanyakan pada saya sama ada saya ‘ok’ atau tidak jika dia letakkan dalam Facebook.
“Saya memang tiada masalah, malah Akhil juga tidak kisah. Salahkah saya keluar dengan Akhil dan rakan lain? Saya tak faham mengapa benda ini dibesar-besarkan sedangkan banyak hal lain di luar sana yang boleh dijadikan isu,” katanya.
Menurut Waheeda, gambar itu dirakamkan beberapa bulan lalu ketika dia, Akhil dan beberapa rakan pergi ke Port Dickson untuk menikmati juadah ikan bakar di sebuah restoran di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: