Tuesday, May 26, 2009

Lagu Alleycats semai perpaduan


David Arumugam bangga dengan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan

PENYANYI utama Alleycats, Datuk David Arumugam tidak menyangka lagu-lagu yang mereka nyanyikan selama ini bukan sekadar sedap didengar tetapi paling penting rupa-rupanya dapat menyemai semangat kemasyarakatan dan perpaduan oleh rakyat Malaysia.

Begitupun, beliau tetap menghargai, malahan sangat berbangga apabila kerajaan memilih Alleycats memberikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 kerana mengiktiraf jasa dan sumbangan kumpulan ini dalam bidang seni dalam memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional.

“Sememangnya karya Alleycats banyak menceritakan mengenai perpaduan di dalam masyarakat, namun saya tidak pernah menyangka akan ada anugerah perpaduan untuk anak seni.

“Siapa yang tidak gembira menerima Anugerah Kalung Perpaduan yang selama ini tidak pernah mengetahuinya akan diterima. Saya dimaklumkan mengenai pemberian anugerah ini seminggu sebelum itu apabila ada pegawai daripada kementerian menghubungi dan menyerahkan surat tawaran untuk anugerah itu.

“Saya bersetuju menerima anugerah ini bukan saja untuk diri saya sendiri tetap untuk semua masyarakat berbilang kaum di negara ini yang sentiasa menyokong kerjaya saya.

“Anugerah ini sememangnya bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri untuk melaksanakan Satu Malaysia. Tidak lupa juga ia adalah berkat sokongan daripada keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan Alleycats,” kata David yang sudah bergiat lebih 40 tahun dalam industri ini.

David juga berkata, dengan anugerah yang diterima membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk terus berada dalam dunia seni, terutama mengangkat lagu-lagu yang bertemakan integrasi nasional.

“Perjuangan kami masih belum selesai, masih banyak lagi sumbangan yang boleh kami berikan kepada industri ini. Alleycats akan terus berkarya selagi keupayaan kami masih kuat.

“Bermula Jun ini kami juga akan mengadakan persembahan di Hotel Heritage, Kuala Lumpur untuk menghiburkan pengunjung di sana. Dalam perancangan lain juga, kami akan mengadakan satu konsert besar bagi menghargai sokongan peminat kami dalam industri ini.

“Buat masa ini kami tidak boleh menceritakan lagi apakah bentuk konsert besar itu kerana ianya masih belum dipersetujui oleh dua pihak. Semoga ia akan dapat juga dilaksanakan pada tahun ini juga,” katanya ketika dihubungi Hip.

David yang mewakili kumpulan Alleycats menerima Anugerah Kalung Perpaduan 2009 bagi kategori Seni sempena majlis sambutan Minggu Perpaduan peringkat Kebangsaan, bermula semalam.

Pemilihan anak jati Pulau Pinang dengan nama sebenarnya, Thiagarajan K R Arumugam sebagai penerima anugerah itu sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam bidang seni tanah air yang turut mendorong ke arah perpaduan negara dan integrasi nasional.

“Penerima anugerah ini juga diharap dapat menjadi teladan kepada generasi muda dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Prestasi), Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Najib turut menyampaikan anugerah itu kepada Arumugam serta enam penerima kategori lain, masing-masing Akhbar Sinar Harian (Media), Kelab Sukan Sports Unite (Sukan), Zubedy M Sdn Bhd (Korporat).

Tiga penerima kategori komuniti ialah Dr Harun Pudin, 55 dari Labuan; S Mathavan, 47, dari Selangor dan Toh Eng Leong, 47, dari Pulau Pinang. Penerima anugerah memperoleh RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: