Tuesday, May 19, 2009

Kapal terbakar, 5 melecur, 2 hilang


Kapal Vertex yang terbakar di perairan Tanjung Setapa, Kota Tinggi semalam.





JOHOR BAHRU - Lima lelaki melecur teruk manakala dua hilang apabila sebuah kapal tangki milik sebuah syarikat Singapura yang membawa 17 anak kapal terbakar pada kedudukan 3.3 batu nautika dari perairan Tanjung Setapa, Kota Tinggi semalam.

Ketua Bahagian Risik Operasi, Pasukan Gerakan Marin, Deputi Supritendan Rosman Ismail berkata, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi ketika kapal Vertex yang berdaftar di Singapura dalam perjalanan membawa 2,000 liter minyak kotor dari Indonesia menuju ke Singapura.

Menurut beliau, minyak kotor itu merupakan minyak kapal yang telah diguna dan tujuan dibawa ke Singapura adalah untuk diproses semula.

"Ketika kebakaran kesemua 17 anak kapal, 15 daripadanya warga Indonesia dan dua warga China telah terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, 10 anak kapal termasuk dua rakyat China itu dapat diselamatkan oleh Bot PA14 Pasukan Gerakan Marin yang melihat kejadian ketika membuat rondaan di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, kesemua 10 anak kapal tersebut cedera ringan dan mereka telah dibawa ke Balai Polis Pengerang di sini.

Rosman memberitahu, lima lagi anak kapal yang cedera parah akibat disambar api diselamatkan oleh pengawal pantai Singapura yang melalui kawasan kejadian sebelum kesemua mangsa dibawa ke Singapura.

Katanya, dua lagi anak kapal yang merupakan rakyat Indonesia belum ditemui dan gerakan mencari dan menyelamat terus dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: