Friday, May 15, 2009

Isteri bunuh suami dihukum mati di tali gantung

KUALA LUMPUR 14 Mei - Dosa seorang suri rumah mencekik suami sehingga mati setelah mangsa terlena sejurus berbuka puasa dengan kuah kari yang dipercayai dibubuh ubat tidur, terbalas akhirnya.

Balasan itu diterima oleh Shamim Bano Mohammed Faroque setelah empat tahun suaminya, Reyaz Ahamed Maruf, 39, menemui ajal akibat dijerut sebelum 'dikebumikan' dalam lubang sedalam empat meter di belakang rumahnya.

Hari ini, Shamim Bano, 41, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di sini setelah didapati bersalah membunuh Reyaz yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat kitar semula plastik.

Selain Shamim Bano, sepupunya, Javeed Akhtar Abdul Waheed, 39, menerima nasib yang sama selepas Hakim Datuk Zaharah Ibrahim berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan ke atas mereka.

Menurut pertuduhan pindaan, Shamim Bano dan Javeed Akhtar didakwa membunuh Reyaz antara pukul 10 malam, 7 November 2004 dan 3 pagi, 8 November 2004 di rumah No. 20 Jalan 4/12G, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Shamim Bano yang diwakili peguam Kartar Singh memberikan keterangan bagi membela dirinya menerusi kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah.

Dalam usaha melepaskan dirinya, Shamim Bano memberitahu bahawa dia sedang tidur di tingkat atas rumahnya, telah terjaga sejurus terdengar bunyi yang kuat dalam bilik suaminya.

Dia mendakwa kononnya telah ternampak tiga lelaki termasuk Javeed Akhtar di dalam bilik tersebut. Wanita itu mendakwa, mereka telah menutup mulut dan hidung suaminya dengan pita pelekat sebelum mencekik dan menjerut leher mangsa dengan seutas wayar.

Dakwa wanita itu lagi, jika dia cuba membantu, kononnya mereka tidak akan membunuhnya.

Sebaliknya Javeed pula mengemukakan versi yang berlainan apabila mengatakan yang dia tidak membunuh Reyaz.

Dia sebaliknya mendakwa telah dihubungi oleh Shamim Bano untuk membantu mengkebumikan mayat mangsa.

Dua daripada empat orang anak Shamim Bano ketika memberikan keterangan memberitahu bahawa mereka menyaksikan sendiri bagaimana leher bapa dijerut dan mayat Reyaz dikebumikan.

1 comment:

  1. SEKARANG NI ORANG TUA PUN DAH JADI SAMSENG,ASAL GADUH SIKIT DAH MULA NAK BERTIKAM.TAK SEDAR KE DIRI TU DAH TUA ,SEKARANG SIAPA YANG SUSAH,DIRI SENDIRI JUGA YANG SUSAH....(Mungkin kejadian yang mengejutkan kita itu boleh kita ambil sebagai iktibar).Jika mempunyai sebarang masalah dengan kekasihke..isterike bawalah berbincang elok-elok janganlah ikut nafsu marah saja.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: