Thursday, May 14, 2009

Harga murah, jejaskan artis

Walaupun ekonomi tengah menurun, namun golongan artis ada juga bil-bil yang harus dijelaskan. Kami juga ada kehidupan macam orang lain – DAYANG




DALAM situasi ekonomi yang tidak stabil, ada sesetengah artis yang sanggup menurunkan kadar harga semata-mata ingin merebut tawaran undangan nyanyian daripada promoter persembahan.

Daripada terlepas ke tangan orang lain, lebih baik mereka sendiri cekup peluang yang datang walaupun bajetnya tidaklah seberapa. Sekadar mengikut prinsip, siapa cepat, dialah yang dapat!

Tidak dinafikan, itu hak mereka. Semua keputusan dilakukan demi mendapatkan peluang pekerjaan, walaupun dilihat seolah-olah menutup periuk nasi orang lain.

Dalam tidak disedari, ada penyanyi lain yang merana gara-gara sikap tamak haloba dan mementingkan diri yang pastinya akan mendatangkan impak lain di kemudian hari.

Penyanyi berkulit hitam manis, Dayang Nurfaizah juga tidak terkecuali untuk menzahirkan isi hatinya tentang keadaan yang semakin menjadi-jadi dalam dunia seni. Ada riak kekecewaan tatkala berkongsi cerita tentang perihal berkenaan.

Dayang melihat isu menurunkan bayaran di kalangan penyanyi tidak seharusnya berlaku walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

"Saya tahu setiap penyanyi ingin cari makan, tetapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga berbanding kadar biasa sebelum ini.

"Tindakan itu tidak membantu industri atau artis sendiri kalau. Sebagai penyanyi, saya dan artis lain juga mencari rezeki dengan menyanyi.

"Cuma janganlah sampai kena turunkan harga sesuka hati. Barangkali rundingan boleh dilakukan terlebih dahulu dengan klien sebelum tawaran bertukar kepada kepada penyanyi lain," katanya ketika ditemui pada majlis Mother's Day Special Love.. Appreciation.. Charity.. di restoran Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur Ahad lalu.


DAYANG dikelilingi peminat setianya yang sentiasa memberikan sokongan padu.


Sazzy Falak yang bertindak selaku pengacara majlis turut membawa ibu mentua iaitu Rohani Salim, 63, dan neneknya, Sharifah Chik Syed Ibrahim, 73, sambil ditemani suami tercinta, Nazril Idrus meraikan sambutan Hari Ibu.

Sambung wanita yang bakal mencecah usia 28 tahun pada 20 Julai nanti, penurunan harga persembahan boleh diumpamakan sebagai merendah-rendahkan martabat penyanyi di negara ini.

"Pihak penganjur juga harus dipersalahkan dalam hal ini kerana mereka sendiri mengeluarkan peruntukan yang rendah apabila tibanya bab berkaitan penyanyi tempatan.

"Cuba kalau artis luar, boleh pula berikan bajet tinggi dan layanan kelas pertama kepada mereka, sedangkan orang di bumi sendiri seakan-akan dipinggirkan.

"Mana letaknya keadilan kepada penyanyi di Malaysia. Klien sepatutnya menghargai anak-anak tempatan yang berbakat dalam bidang nyanyian.

"Situasi di luar negara tidak sama dengan negara kita kerana hal membabitkan penurunan harga pertunjukan pentas, tidak terjadi dengan mudah.

"Sudahlah dengan meletakkan harga murah dan tidak masuk akal, bahkan ia menjejaskan golongan artis sendiri kerana tawaran sudah disuakan kepada orang lain yang sanggup menerima bayaran tidak setimpal," luah Dayang dalam nada cukup kesal.


DAYANG mesra sekali bersama peminatnya, Suraiyah Ahmad Ghazalli.


Dayang ternyata ada sebab untuk beremosi. Dia sekadar mempertahankan hak dan kariernya sebagai penyanyi yang kini sudah pun menjangkau usia 10 tahun.

"Walaupun ekonomi tengah menurun, namun golongan artis ada juga bil-bil yang harus dijelaskan. Kami juga ada kehidupan macam orang lain untuk meneruskan hari-hari mendatang.

"Bagaimanapun, saya percaya kepada nasib yang datang menyebelahi. Jika kita benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anak seni, rezeki datang juga akhirnya," ujarnya.

Tuah masih menyebelahi

Biarpun rezekinya pernah disekat ditambah keadaan ekonomi yang ada naik dan turunnya, namun anak kelahiran Kuching, Sarawak itu tetap bersyukur dengan taraf hidup yang dijalaninya.

Pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu memberitahu, setakat ini dia masih belum terkena tempias meskipun ramai yang sudah mencanang sana sini tentang ekonomi yang terjejas sekali gus mengganggu kembara industri seni.

"Alhamdulillah, undangan nyanyian masih berjalan seperti biasa dan kehidupan saya bersama keluarga juga okey.

"Tiada apa yang boleh dilakukan kerana saya hanya boleh menyanyi. Kalau bercakap bab bisnes, saya kurang berminat dan ia memerlukan penuh perhatian.

"Saya juga lambat percayakan orang lain pula kalau dalam hal-hal melibatkan perniagaan. Mungkin sekarang bukan waktu yang sesuai untuk saya bergelar usahawan.

"Kalau boleh saya hendak kerja kuat dahulu dan kumpul duit banyak-banyak," jawab Dayang dengan semangat membara di dada.


DAYANG tetap membuktikan aura dirinya masih kuat di kalangan peminat muzik tempatan.


Bercerita lebih lanjut tentang personaliti diri, Dayang berkata, dia merupakan seorang wanita yang santai dan tidak gemar berbelanja besar di alam realitinya.

"Saya masih ada wang simpanan, apatah lagi saya bukannya seorang individu yang bersikap boros dan menghabiskan duit dengan mengikut kata hati.

"Seperti kebiasaannya, saya sudah menetapkan sejumlah bajet untuk tempoh tertentu. Kalau sudah terdesak sekalipun, saya tidak akan mengeluarkan wang simpanan yang ada.

"Dalam soal ini, saya kena bijak membahagikan wang yang ada untuk perbelanjaan wajib dan bil-bil yang perlu dijelaskan.

"Paling penting, saya kena mengamalkan sikap berdisiplin," jelas Dayang.

Sambut hari lahir dengan peminat

Bercakap tentang perkembangan terbarunya, Dayang berkata, dia kini sedang sibuk mempromosikan album yang dirakamkan di Planet Hollywood tahun lalu iaitu Dayang Live.

"Menariknya tentang album ini apabila sebuah lagu baru dimuatkan, Pulang yang merupakan ciptaan Tris Zainol Abidin dan selebihnya terdiri daripada lagu-lagu lama.

"Sudah lama saya menantikan peluang untuk muncul dengan album yang menyelitkan lagu-lagu yang dinyanyikan secara live kepada peminat.

"Manakala pada 18 Mei nanti, single baru saya yang dihasilkan dalam dua buah versi bahasa bertajuk Lately (Tanpa) diiringi nyanyian rap oleh oleh Daly Ahli Fiqir, akan dilancarkan melalui laman sesawang www.globalonemusic.com.

"Projek ini dijayakan oleh 35 orang artis dari 20 buah negara termasuk United Kingdom, Jepun, Rusia, China, Argentina, Brazil, India, Itali dan Indonesia.

"Setiap artis menyanyikan dua buah lagu manakala saya dan seorang penyanyi Turki diberi peluang merakamkan lima lagu.

"Album penuh untuk projek Global One ini akan dikeluarkan pada tahun ini dengan mengandungi sebanyak 50 hingga 60 lagu," ujarnya.

Tidak ketinggalan, Dayang sedang sibuk dengan kempen kesedaran, Red Ribbon Celebrity Support untuk Yayasan AIDS Malaysia yang turut disertai oleh beberapa nama besar dalam industri seni tanah air antaranya Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza, Fahrin Ahmad, Umie Aida dan Owen Yap.


KELUARGA bahagia. Sazzy (kiri) dan suami, Nazril (kanan) bersama Rohani (dua dari kiri) dan Sharifah Chik.


Dayang juga akan terlibat dengan majlis Hari Memperingati AIDS Sedunia 2009 dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan KL pada 17 Mei nanti bermula pukul 5 petang.

Dalam tempoh sebulan setengah lagi, Dayang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-28 pada 19 Julai nanti bersama-sama peminatnya di pusat hiburan popular, Hard Rock Cafe, KL.

Istimewanya pada sambutan kali ini, Dayang akan mendendangkan lagu-lagu yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini merangkumi penyanyi dalam dan luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: