Saturday, May 9, 2009

Dua segmen baru dalam program Apa Kata Wanita di TV1


PROGRAM bual-bicara Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina di TV1 kini terus diperkemaskan kandungannya dengan menampilkan segmen baru iaitu Bekerja Dari Rumah dan Tips 3K - Kejayaan, Kekayaan dan Kebahagiaan.

Ini sebagai sisipan kepada segmen sedi ada iaitu Personaliti Wanita, Alahai Khatijah dan Demonstrasi. Program Apa Kata Wanita yang sebelum ini bersiaran secara langsung setiap Jumaat pukul 9.30 malam, tetapi bermula Mei siarannya ditukar pada Ahad jam 10 pagi di TV1.

Menurut Zamzarina Zambri yang bertindak sebagai pengacara dan penerbit bersama rancangan ini, Apa Kata Wanita kini semakin mendapat tempat di hati penonton TV1, kerana corak persembahannya yang lebih padat dengan gabungan kesemua segmen penuh bermanfaat dalam tempoh satu jam.

Selaras dengan objektif Apa Kata Wanita! untuk berkongsi lebih banyak maklumat berguna yang boleh dimanfaatkan oleh kaum wanita terutama dalam suasana ketidaktentuan ekonomi, segmen Bekerja Dari Rumah diharap sebagai perangsang untuk kaum wanita memulakan perniagaan dan perkhidmatan biarpun hanya dari rumah.

“Segmen ini menampilkan wanita yang membuahkan hasil melalui pekerjaan yang dilakukan dari rumah. Dengan kemajuan teknologi, sebenarnya begitu banyak pilihan kerjaya atau memulakan perniagaan dan perkhidmatan dari rumah.

“Malah capaian pelanggan tidak terhad di sekeliling rumah saja, malahan sasaran pasaran mereka kini ke peringkat global! Bekerja Dari Rumah bukan lagi sekadar membuat nasi lemak dan kuih muih saja,” kata Zamzarina.

Manakala segmen Tips 3K- Kejayaan, Kekayaan dan Kebahagiaan mendapat kerjasama penuh daripada Wanita Waja (The Iron Lady), Datuk Maznah Hamid akan berkongsi inspirasi beliau pada setiap minggu.

Melalui Tips 3K oleh Maznah diharap dapat membakar semangat wanita untuk menjadi usahawan yang ampuh dan cekal dalam dunia persaingan yang tidak kenal kawan dan lawan.

Memetik sedikit ungkapan Wanita Waja itu: Berniaga ibarat berada dalam medan peperangan. Hanya yang kuat berjaya, yang lemah pasti menemui kekalahan”.

Program Apa Kata Wanita! memulakan edisi sulungnya pada 2 Januari lalu sehingga kini telah menampilkan tokoh wanita berjaya dalam pelbagai bidang sebagai tetamu personaliti wanita jemputan pada setiap minggu.

Antaranya Budayawan Negara Azah Aziz, Wanita Waja Datuk Maznah Hamid, Naib Canselor UPSI Dato’ Dr Aminah Ayob, Penerbit dan Pengarah Filem Datin Paduka Suhaimi Baba, Aktivis HIV/Aids Datin Paduka Marina Mahathir, Primadona Filem Melayu Datuk Sarimah Ahmad dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: