| HARI bahagia yang ditunggu-tunggu bakal tiba! Tanggal 6 Jun ini penyampai radio Era FM, Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Brian Vinesh Veeriah atau nama Islamnya, Mohamed Raqeem Brian. |
Hari bermakna itu bakal diadakan secara sederhana dan tiada tajaan daripada mana-mana pihak seperti pasangan selebriti lain. Bagi gadis ini, biar hari bersejarah itu diabadikan untuknya. Tidak perlu penaja, asalkan ia bererti buat dirinya dan Brian.
Akui Nana, dia tidak mahu majlis perkahwinannya ditaja mana-mana pihak. Malah, untuk hari berbahagia berkenaan, Nana tidak mahu perkahwinannya sama seperti majlis resepsi selebriti lain yang meriah dengan pelbagai tajaan.
“Ada juga yang menyatakan saya tidak ditaja penaja kerana tidak popular. Namun, soal popular atau tidak bukan perkara penting bagi saya. Selaku penyampai radio, saya hanya melakukan kerja seikhlas mungkin dan jika menyentuh soal perkahwinan, saya tidak mahu ia menjadi bahan komersial.
“Majlis perkahwinan adalah hak peribadi saya. Jadi, mengapa perlu penaja. Jika terlalu banyak penaja yang menaja majlis perkahwinan ini, ia boleh diibaratkan sebagai milik mereka dan ia bukan lagi menjadi milik saya,” katanya.
Pada hari berbahagia itu nanti, Nana dan Brian akan menyarung busana serba putih. Katanya, putih melambangkan kesucian cinta mereka, lebih-lebih lagi Brian yang baru memeluk Islam.
“Pada 21 Januari lalu, Brian secara rasmi bergelar saudara baru. Bagi seseorang yang baru memeluk Islam, sudah pasti dirinya bersih dan suci seperti seorang bayi yang baru dilahirkan. Jadi, warna putih cukup sesuai melambangkan kesucian itu.
“Begitupun, majlis persandingan ini akan diadakan di kampung saya di Muar, Johor. Semuanya akan dijalankan secara sederhana. Bagi saya, tidak perlu membazir sehingga menelan belanja beratus ribu ringgit. Cukup asalkan ia meriah dan bermakna.
“Majlis akad nikah juga akan diadakan di sana. Buat masa ini saya menyediakan 1,000 keping kad undangan perkahwinan, 200 daripadanya untuk rakan terdekat dan selebihnya diserahkan kepada keluarga di kampung,” katanya sambil tersenyum gembira mengenangkan hari bahagia itu semakin tiba.
Tambah Nana, majlis persandingan hanya akan diadakan di sebelah keluarganya. Disebabkan keluarga Brian bukan Melayu, pihak lelaki hanya akan mengadakan jamuan makan secara kecil-kecilan.
| |
“Dalam keluarga Brian, ini kali pertama mereka akan terbabit dalam majlis perkahwinan orang Melayu yang penuh dengan adatnya. Walaupun tidak mengadakan majlis persandingan di pihak lelaki, mereka lebih bersemangat untuk bersama-sama keluarga saya pada hari bersejarah itu.
| |
“Pada masa ini kedua-dua keluarga tidak menang tangan menyediakan pelbagai kelengkapan perkahwinan kami. Ada saja soalan yang mereka tanya, lebih-lebih lagi keluarga Brian yang tidak sabar-sabar menunggu detik itu,” katanya.
Ketika menghadiri khusus perkahwinan bersama-sama kekasihnya tidak lama dulu, Nana dan Brian belajar banyak perkara. Meskipun hakikatnya mereka bersedia untuk mendirikan rumah tangga, masih banyak perkara perlu dipelajari.
“Sejak mengikuti kursus perkahwinan, baru saya sedar masih banyak perlu dipelajari. Setakat bersedia untuk menempuh alam perkahwinan belum cukup sebenarnya.
“Brian juga bersemangat menghadiri kursus berkenaan. Malah, dia tidak berhenti-henti bertanya pelbagai soalan. Alhamdulillah, melihat reaksinya, Brian berusaha mendalami agama Islam tanpa perlu dipaksa.
“Dia juga tidak segan silu bertanya saya atau rakannya yang beragama Islam mengenai agama kita. Memasuki kelas agama dan belajar menunaikan solat dan ibadah lain juga menjadi rutinnya buat masa ini.
“Terpegun juga saya melihat kesungguhannya. Begitupun, saya bersyukur Allah yang Maha Berkuasa membuka pintu hatinya,” katanya.
Mengimbau sejarah ketika mereka mula bertemu, Nana yang tertarik dengan sifat lemah lembut ditonjolkan Brian tidak pernah kering gusi dengan keletahnya. Jelas Nana, Brian amat memahami dalam apa jua keadaan, malah jejaka itu juga serba ringkas dalam apa yang dilakukannya.
“Tidak kira apa juga keadaan, Brian sentiasa memahami. Kami saling bertukar-tukar pendapat dan jika ada masalah, ia pasti dapat diselesaikan.
“Hubungan yang terjalin sungguh membahagiakan. Saya bertuah dapat memiliki jejaka sepertinya. Doa saya, biar hubungan kami berkekalan hingga ke akhir hayat,” ungkapnya terharu.
Menyentuh soal kerjaya, Nana masih komited dengan tugasnya di konti radio Era. Tidak pernah terbayang untuknya meninggalkan stesen radio itu. Katanya, meskipun jika satu hari nanti Era tidak lagi bergelar radio nombor satu, dia akan tetap meneruskan perjuangannya di sana.
“Buat masa ini persaingan dunia penyiaran di negara kita hebat. Setiap satunya bersaing untuk merebut hati pendengar. Begitupun, tidak kira apa berlaku, biar saya bersama-sama stesen radio Era.
“Di sini saya belajar banyak perkara. Malah, Era mengubah haluan hidup saya. Jika tidak menjadi penyampai radio di sini, saya yakin sekarang saya akan bekerja di dalam pejabat selaku eksekutif biasa,” katanya.
Tambah Nana, Era FM akan mengadakan siri jelajah yang pertama bermula 9 Mei ini di Kluang, Johor. Menariknya, pendengar stesen radio ini akan berpeluang mengundi siapa artis kegemaran mereka yang akan mengadakan persembahan di sana, termasuk 11 lokasi lain.
“Kali ini pendengar akan diberi kuasa untuk memilih siapa artis kegemaran mereka untuk membuat persembahan di siri jelajah itu. Bermula minggu ini, kami menyediakan senarai artis dan pendengar boleh menelefon untuk memberi undi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: