Saturday, May 9, 2009

Dan pemenangnya...

Kontroversi dan kekeliruan meletakkan calon timbulkan tanda tanya dalam AIM edisi ke-16

SENARAI pencalonan Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM16) tidak terlepas daripada kontroversi, terutama apabila Datuk Siti Nurhaliza dan Reshmonu masing-masing menerima dua pencalonan bagi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Wanita dan Lelaki daripada album yang sama.

Bagaimana mungkin perkara itu berlaku? Apakah juri terlepas pandang atau barangkali tiada calon lain yang layak untuk menduduki Top 5 kategori itu?

Dua pencalonan menerusi album Lentera Timur untuk Siti sebenarnya memberikan penyanyi terkenal itu ruang selesa untuk kembali mengungguli trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita).

Pengalaman 14 tahun dalam dunia rakaman pastinya memberi Siti kelebihan untuk mengungguli kategori itu apatah lagi saingannya terdiri daripada dua bakat muda yang sedang bertatih dalam industri hiburan iaitu Shila dan Ayu.

Andai pun ada saingan, Siti terpaksa berentap dengan Dina yang mempertaruhkan kekuatan vokalnya menerusi Sejauh Ini.

Barangkali saingan kategori ini lebih sengit jika Misha Omar yang turut memberikan persembahan vokal yang baik terutama untuk lagu Cinta Adam & Hawa turut tersenarai dalam Top 5.

Agak malang bagi Misha kerana namanya tercicir dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) sebaliknya album ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul tersenarai dalam Top 5, Album Pop Terbaik.

Misha juga menerima dua pencalonan lain iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi ciptaan M Nasir dan Loloq, Nafas Cahaya.

Manakala Cinta Adam & Hawa sentuhan Azmeer dan Loloq serta Sampai Di Sini gabungan Ajai dan Slen bertanding dalam kategori Lagu Pop Terbaik, di saingi lagu Ketentuan (Azlan Abu Hassan/Azalea/Ramlah Ram); Dingin (Azlan Abu Hassan/Azalea/Ziana Zain) dan Lagu Kita (Aizat).

Turut membangkitkan persoalan apabila nama seperti Joe Flizzow dan Malique dicalonkan sebagai Artis Baru Terbaik. Atas kriteria apa mereka tersenarai dalam kategori itu sedangkan mereka sebenarnya bukan orang baru kalau dirujuk pembabitan mereka di atas nama Too Phat?

Beralih daripada penyanyi duo kepada penyanyi solo bukan alasan kuat untuk membenarkan mereka bertanding dalam kategori itu. Mungkin RIM mempunyai definisi tersendiri untuk perkataan ‘baru’ itu.

Potensi meraih kemenangan barangkali lebih berpihak kepada Meet Uncle Hussain (MUH) kerana impak yang mereka bawakan kepada industri hiburan cukup besar sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun kekuatan Hujan tidak dapat dinafikan. Kembara muzik menular di Indonesia yang memperlihatkan pemuzik kita masih berbisa untuk mencipta pengaruh.

Turut menjadi perhatian kategori Album Pop Terbaik, memperlihatkan saingan antara Misha, Reshmonu dan Aizat yang tampil dengan produksi mengesankan. Barangkali album Misha untuk menjulang trofi ini agak besar kerana pengisian produksinya yang matang di bawah seliaan pengarah muzik, Ramli MS.

Aizat atau Bob dilihat mempunyai peluang cerah untuk meraih trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), namun tidak mustahil jika Reshmonu bakal mencipta keajaiban menerusi dua sandarannya, Doa Untuk Dia dan Sayu.

Antara Lentera Timur dan Zapin Suri milik Haziq, potensi untuk meraih trofi Album Pop Etnik Terbaik barangkali lebih berpihak kepada Zapin Suri yang ditangani S Atan, Pak Ngah, Arab dan Sham Kamikaze.

Produksi Lentera Timur biarpun ditangani banyak nama hebat namun ia belum kuat untuk memberi keselesaan kepada Siti. Jujurnya kekuatan Lentera Timur banyak bersandar kepada kehebatan vokal Siti tanpa tidak disokong sentuhan mantap.

Lagu Pop Etnik Terbaik berkemungkinan menjadi milik Nafas Cahaya yang menyatukan kekuatan serta susunan melodi yang variasi, lirik mantap dilengkapi penyampaian vokal mengesankan. Nafas Cahaya diilhamkan M Nasir dan Loloq nyanyian Misha. Saingannya mungkin daripada Di Kayangan Kita ciptaan Johari Teh dan Keon nyanyian Siti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: