| SUDAH menjadi lumrah peminat setia sentiasa ingin mengikuti perkembangan berkaitan hal peribadi artis kesayangan mereka. |
Sekiranya sudah mempunyai teman istimewa, peminat mahu tahu bila artis kesayangan mereka itu mahu berkahwin dan apabila berumah tangga, bila pula mahu menimang cahaya mata.
Pelakon yang baru-baru ini sekali lagi memenangi anugerah Pelakon Wanita Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08), Maya Karin Roelcke atau lebih dikenali Maya Karin, 29, juga tidak terkecuali.
Sewaktu Maya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan suaminya Muhammad Ali Abdullah, 39 Ogos lalu, ramai ingin tahu siapa jejaka bertuah itu.
Selepas 10 bulan melayari bahtera perkahwinan ramai yang ingin tahu bila mereka mahu menimang anak pula.
Ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Rap, Maya sendiri sedar mengenainya dan mengucapkan terima kasih kepada wartawan bertugas kerana tidak bertanyakan mengenainya.
"Tertekan juga saya dibuatnya apabila ke mana saja pergi, orang akan bertanya bila lagi saya mahu menimang cahaya mata. Kadang-kadang saya serba salah hendak menjawab kerana sebagai manusia kita hanya boleh merancang, tetapi segalanya ketentuan Tuhan.
"Secara jujur saya sendiri sudah bersedia untuk bergelar ibu, tetapi masalahnya rezeki tiada lagi.
"Saya terima sekiranya ditakdirkan mengandung dalam waktu terdekat, malah bersama suami kami sudah berkira-kira hendak mendapatkan cahaya mata paling lewat tahun hadapan," katanya tanpa mahu mengulas lanjut.
Bercerita mengenai hal berkaitan kehidupan peribadi, jelas Maya berurusan dengan kesibukan kerjaya seninya dan menguruskan rumah tangga sedikit sebanyak memberikan banyak pengalaman baru.
| |
Waktu sama pelakon ini tidak menafikan kadang-kadang ia memenatkan dan memberikan tekanan.
| |
"Baru-baru ini saya bertemu dengan pakar motivasi dan menceritakan masalah yang dihadapi dan katanya saya seorang yang suka memendam rasa dan sukar untuk meluahkan perasaan.
"Perkara itu katanya kalau dibiarkan berterusan boleh memberikan masalah kepada kesihatan.
"Tambahnya lagi sekiranya saya tidak boleh meluahkan kepada individu, saya boleh meluahkannya pada benda lain seperti melepaskannya dengan menulis di dalam diari.
"Itulah yang saya lakukan sekarang ternyata saranan yang dibuat pakar motivasi itu sangat berkesan. Sekarang ini menulis diari sudah menjadi kemestian. Kalau sehari saya tidak menulis pasti saya akan berasa kosong," katanya.
Beralih kepada topik kerjaya, selain sibuk dengan iklan terbaru Nescafe, Maya juga semakin aktif dengan kempen pemuliharaan alam semula jadi.
Baru-baru ini sempena Hari Bumi, Maya bersama kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor, Subang Jaya; SK Tun Hussein Onn 2, Cheras; dan SK Taming Jaya Seri Kembangan menjayakan kempen mengurangkan penggunaan bag plastik.
"Sebelum ini apabila saya bercakap mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan hidupan liar, ada yang membuat andaian saya melaksanakannya atas dasar untuk glamour.
"Bagaimanapun selepas lima tahun memperjuangkannya, orang ramai sudah buka mata dan tahu yang saya benar-benar melakukannya untuk kebaikan semua pihak.
"Lebih penting alam sekitar ini menjadi khazanah paling penting yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu pada masa akan datang," katanya.
Menggembirakan Maya apabila usahanya itu walaupun dilihat kecil, tetapi sudah mula meninggalkan kesan.
"Bayangkan baru-baru ini sewaktu saya mahu membeli nasi bungkus berhampiran kawasan rumah, saya lihat ada seorang mak cik membawa bekas makanan sendiri.
"Saya menegurnya dan membanggakan apabila dia berkata dia mahu mengurangkan penggunaan plastik selepas membaca mengenai usaha yang saya lakukan bersama anak-anak sekolah itu di dalam akhbar.
"Untuk membina kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan hidupan liar mengambil masa panjang.
"Malah, di negara Eropah dan Australia sendiri ia memakan masa 20 hingga 30 tahun," katanya.
Pada waktu sama dalam tahun ini Maya yang bernaung di bawah syarikat rakaman Satu Entertainment Sdn Bhd akan kembali sibuk di dalam studio bagi menyiapkan album ketiganya.
"Sekarang ini saya dan penerbit iaitu Audi Mok sedang mencari lagu sesuai dan lebih-lebih lagi lirik yang kuat dan dapat menyokong melodi lagu bakal dinyanyikan.
"Untuk memastikan penghayatan lagu benar-benar berkesan Audi menyuruh saya menghasilkan lirik sendiri dan itu juga yang sedang saya usahakan sekarang ini.
"Setakat ini saya sudah menghasilkan dua lirik dan ia sedang dinilai Audi. Sekiranya segala perancangan berjalan lancar ia akan menemui peminat sebelum akhir tahun ini," katanya.
>Profil
Nama Penuh: Maya Karin Roelcke
Panggilan: Maya Karin
Tarikh Lahir: 29 Oktober 1979
Umur: 29 Tahun
Tempat Lahir: Bayreuth, Jerman
Pendidikan: Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Media dan Pemasaran di Limkokwing University of Creative Technology.
Status: Berkahwin
Suami: Muhammad Ali Abdullah
Kerjaya: Pelakon, Penyanyi dan Pengacara
Teater: Mahna Mahna dan In the Mind's Eye
Filem: No Problem, Sri Dewi Malam, Mr. Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan dan Pisau Cukur.
Rancangan TV: Wavelength, Ratu Sehari, Beauty Secrets From The East, dan Channel [V].
Album: Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2004).
2001: Best New Popular Artist Award - Anugerah Bintang Popular (Malaysia)
Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Media Hiburan (2001),
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 (2004),
Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Sepanyol (2005), Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (2006), Anugerah Penghargaan Seniman (2006), Penyampai TV Terbaik Anugerah Pilihan Editor Buzz (2007), Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (2008), Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (2008).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: