|
 |
| GAYANYA yang bersahaja dengan sifat humor dimiliki membuatkan jejaka ini senang didekati. Kini, Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifudin begitu sinonim dengan drama bersiri televisyen RonaRoni Makaroni selepas memegang watak utama dalam Sinderela. |
Menariknya, biarpun sudah lima tahun dalam dunia lakonan, aktor tinggi lampai ini belum lagi membintangi mana-mana filem sehinggalah satu tawaran menarik diterimanya daripada pengarah, Jason Chong baru-baru ini.
Bront diberi kepercayaan oleh Jason untuk memegang watak utama filem berjudul Belukar keluaran produksi milik Danny (X-Factor) Preston Zaidan Production Sdn Bhd.
Jelas Bront, apa yang diperolehnya kini semuanya kerana rezeki. Malah, secara berjenaka Bront menganggap ‘hero popular’ sibuk dengan tawaran lain membuatkan dirinya dipilih menerajui Belukar.
“Ini semua rezeki pemberian Tuhan. Lagipun, filem ini dikategorikan sebagai filem indie. Mungkin sebab itu watak ini diberi kepada saya.
“Sebenarnya, saya bersyukur kerana Jason memandang tinggi kepada saya untuk menerajui filem ini. Meskipun filem ini tidak menggunakan bajet besar, ia ada kekuatannya sendiri. Jalan ceritanya juga cukup berbeza dengan apa yang sering ditayangkan di pawagam,” katanya.
Tambah pelakon merangkap penulis skrip, pengarah dan penerbit ini, pertama kali membaca skrip yang diberikan, hatinya dilanda kerisauan tambah lagi judul filemnya pelik.
“Mulanya, saya sangka filem ini akan dirakam di dalam hutan sesuai dengan tajuknya iaitu Belukar. Dalam masa sama, saya turut menganggap filem ini seperti kebanyakan filem tempatan lain.
“Namun apabila membacanya, saya tertarik dengan jalan cerita yang ditulis oleh Jason. Ceritanya mengisahkan seorang wanita hidup kaya raya dengan menipu duit syarikat insurans dan perbuatannya dikesan seorang penyiasat.
“Ia seolah-olah filem Italian Job dan Ocean’s Eleven. Menariknya, karya begini jarang dirakam pengarah kita. Sebab itu saya teruja menerajui filem ini.
“Lagipun, filem seperti ini sudah lama menjadi idaman saya kerana ia berbeza daripada yang lain. Insya-Allah, saya akan melakukan sebaik mungkin,” katanya.
Pertama kali menyandang tugas sebagai pelakon utama, Bront digandingkan dengan pengacara, Daphne Iking yang juga muka baru dalam dunia lakonan. Begitupun, sifat profesional ditunjukkan Daphne membuatkan mereka mudah serasi.
“Meskipun Daphne pelakon baru, sebagai pengacara dan mempunyai program TV sendiri, dia mempunyai nama lebih besar daripada saya. Waktu mengetahui dia bakal digandingkan bersama saya, perasaan gusar itu tetap ada.
“Namun, apabila ada di set penggambaran, kami begitu mudah serasi. Walaupun ini kali pertama Daphne memegang watak besar dalam filem mahupun drama, bakatnya terserlah. Dia juga mudah menjiwai watak dan apabila kami ada di set, fokus masing-masing adalah untuk melakukan yang terbaik.
“Bagi saya, walaupun baru, Daphne pelakon yang baik. Bertuah juga dapat bergandingan dengannya. Yang pasti, filem ini akan menjadi sesuatu yang menarik untuk ditonton, lain daripada yang lain,” tutur Bront.
Walaupun berpeluang memegang watak utama, Bront tidak pernah berasakan dirinya kini sudah termasuk dalam kelompok ‘hero’ filem Melayau.
Katanya, pembabitannya dalam dunia seni kini berdasarkan tanggungjawab dan bukan populariti.
“Jika dulu di masa muda, mungkin saya menganggap pembabitan dalam dunia lakonan untuk mencipta nama dan mencari populariti. Kini semuanya berubah. Fokus saya adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon.
“Penonton mahukan seseorang pelakon itu menjiwai watak dan mempersembahkan yang terbaik, lebih-lebih lagi mereka membayar untuk menonton sesuatu filem itu,” katanya yang bakal menghabiskan penggambaran filem Belukar hujung bulan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: