Monday, May 25, 2009

Astro optimis dengan Mustika


FILEM Sepi lakonan Vanidah Imran dan Afdlin Shauki akan ditayangkan di Astro Citra pada 6 Jun ini.


STESEN berbayar terulung negara, Astro sememangnya tidak dinafikan sering tampil dengan idea baru lagi kreatif dalam menarik lebih ramai lagi masyarakat untuk melanggan Astro.

Sejak diperkenalkan lebih sedekad yang lalu, Astro telah membawa banyak perubahan dari segi isi kandungan program tempatan yang ternyata membuka peluang kepada anak seni untuk melahirkan karya berkualiti.

Untuk itu juga, sehingga penghujung tahun lalu Astro telah mencatatkan 2.65 juta pelanggan di mana 1.5 juta daripada jumlah itu merupakan pelanggan Melayu.

Saluran-saluran milik Astro seperti Ria, Prima, Oasis dan Ceria ternyata telah memberi satu santapan yang cukup enak kepada pelanggannya apabila dapat menikmati hiburan yang mempunyai pendekatan yang berbeza.

Apatah lagi, keempat-empat saluran berkenaan mengutamakan program tempatan dalam usaha untuk membangunkan lagi industri penyiaran serta penerbitan drama di negara ini.

Bukan itu sahaja, Astro begitu bijak memilih rancangan terbaik semata-mata untuk memberi kepuasan yang maksimum kepada pelanggan mereka yang terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat umur.

Justeru apabila Astro memperkenalkan tiga saluran baru dalam pakej yang diberi nama Mustika, timbul juga pertanyaan apakah rasional Astro berbuat demikian.

Apatah lagi tiga saluran berkenaan iaitu Astro Citra (saluran 131), Astro Warna (saluran 132) dan B4U (saluran 133) bukannya mampu ditonton secara percuma seperti mana Ria, Prima, Oasis dan Ceria.

Sebaliknya, pelanggan mereka harus membayar RM12.95 sebulan semata-mata untuk menonton tiga saluran yang menyajikan tiga bentuk pengisian yang berbeza.

Pengarah Urusan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah ternyata begitu optimis dengan langkah yang telah diambil pihaknya untuk pakej Mustika.

Katanya, apa yang dapat dilihat menerusi tiga saluran berkenaan yang akan mula beroperasi pada 1 Jun ini adalah cukup berbeza dengan apa yang dihasilkan menerusi empat saluran percuma Astro yang lain.

"Kami mengutamakan kualiti yang cukup tinggi selain pendekatan yang cukup berbeza dalam setiap karya yang dihasilkan untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

"Bukan itu sahaja, apa yang dipersembahkan dalam tiga saluran ini membuatkan kami yakin ia mampu diterima baik kerana ia menepati cita rasa dan kemahuan pelanggan kami yang ternyata mempunyai keinginan berbeza.

"Apa pun, untuk empat saluran lain akan diteruskan seperti biasa seperti mana yang telah kami tetapkan sebelum ini dan tidak akan mengalami perubahan secara total.

"Malah, kami percaya dengan kandungan tempatan dalam Astro Citra dan Astro Warna ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan pakej ini," jelasnya kepada pihak media pada sidang akhbar seusai pelancaran pakej Mustika di Mid Valley, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan dan Naib Presiden Perniagaan Bahagian Rancangan Melayu, Khairul Anwar Salleh.

Dalam majlis yang sama, turut diumumkan pelantikan artis serba-boleh, Afdlin Shauki sebagai wajah eksklusif Astro Warna selain daripada Lisa Surihani serta Farid Kamil untuk Astro Citra dan VJ rancangan Bollywood Cine, Kushboo Grewal yang mewakili B4U.

Tambah Zainir, Astro memberi jaminan para pelanggannya tidak akan jemu dengan isi kandungan Astro Citra dan Astro Warna terutamanya apabila banyak program baru dan segar yang akan ditayangkan.

"Tidak ada lagi saluran yang menayangkan filem mahupun program tempatan selama 24 jam dan pastinya, rancangan ini akan berulang kerana bukan semua akan dapat menonton dalam masa yang sama.

"Bukan itu sahaja, kami mahu menarik pelanggan baru setiap masa dan perkara program yang berulang kali ditayangkan sudah pasti tidak dapat dielakkan.

"Apa yang kami lakukan ini adalah daripada hasil penyelidikan yang telah dijalankan sejak sekian lama. Kami perlu mengambil beberapa kriteria sebelum memutuskan untuk meneruskannya," ujarnya lagi.

Bagi Rohana pula, dengan pengenalan Astro Citra dan Astro Warna, pihaknya telah melaburkan hampir RM200 juta bagi pengisian program-program tempatan tahun ini.

"Ia sekali gus menunjukkan peningkatan antara 10 hingga 15 peratus dan juga memberi signal bahawa kami benar-benar serius untuk memartabatkan program tempatan.

"Malah, kami membuka pintu kepada semua penerbit dan pengkarya tempatan untuk bekerjasama dengan kami kerana peluang itu kini semakin luas untuk mereka di samping menjadi peneraju pasaran dalam industri hiburan negara," katanya penuh optimis.

Bermula 20 Mei lalu, pelanggan Astro boleh menonton saluran percubaan Mustika (saluran 130) untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pakej Mustika.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: