Wednesday, May 27, 2009

Amuk sebelum maut nahas


PASIR MAS: Seorang pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan jalan raya tiba-tiba mengamuk dengan mengeluarkan parang panjang sambil melibas ke arah orang ramai dan kenderaan.

Dia kemudian melarikan sebuah kereta sebelum terbunuh dalam kemalangan kedua di Kampung Tuku dekat Cancun Park di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, kereta Chevrolet Aveo biru dinaiki lelaki terbabit, Mohd Japri Ibrahim, 33, terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 20, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah.

Kereta mangsa bertembung dengan sebuah Honda Civic sebelum diselamatkan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.


Bagaimanapun, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian mengeluarkan sebilah parang sambil melibas kepada orang ramai dan kenderaan melalui kawasan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata lelaki itu yang memandu bersendirian kemudian didatangi dua anggota polis peronda yang melakukan tugasan rutin.

Dalam keadaan tidak terkawal, katanya, perlakuan lelaki itu semakin agresif apabila turut mengacukan senjata tajam berkenaan terhadap anggota terbabit yang cuba mententeramkannya.

“Ketika ditahan, dia turut mengacukan parang menyebabkan anggota polis yang cuba mempertahankan diri melepaskan tiga das tembakan.

“Sejurus itu, dia melarikan sebuah kereta jenis Nissan Sunny 130Y kelabu milik orang awam sebelum memecut laju dari Kilometer 20 menuju ke arah Pasir Mas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Beliau berkata, lelaki itu yang tidak berbaju bagaimanapun terbunuh apabila bertembung dengan sebuah Proton Waja dari arah bertentangan.

“Kemalangan itu menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu dan tiga penumpang kereta berkenaan cedera.

“Empat penumpang Proton Waja itu dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke bilik mayat hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, polis tidak mengetahui motif mangsa mengacukan parang ke arah orang ramai dan kenderaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan soal siasat terhadap keluarganya, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan membeli makanan berhampiran kawasan itu,” katanya.

“Difahamkan, mangsa bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru dan pulang ke kampung untuk melihat anaknya tapi bertindak agresif sejurus terbabit dalam kemalangan pertama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: