Friday, January 23, 2009

Ziela rindui arwah suami


SELEPAS setahun pemergian Tan Sri Megat Junid Megat Ayob ke rahmahtullah, kenangan manis bersama Allahyarham masih terpahat kukuh dalam lipatan kenangan Ziela Jalil, 39.

Meskipun setahun berlalu ketiadaan Megat Junid tetap dirasai

SELEPAS setahun pemergian Tan Sri Megat Junid Megat Ayob ke rahmahtullah, kenangan manis bersama Allahyarham masih terpahat kukuh dalam lipatan kenangan Ziela Jalil, 39.

Ketiadaan suami tercinta masih dirasai sehingga Ziela berasakan yang Allahyarham masih ada di sisi.

"Allahyarham insan yang sangat baik dan bapa penyayang. Masih terbayang di ruangan mata kemesraan Allahyarham bersama anak. Beliau tidak pernah marah apatah lagi berkasar dengan mereka.

"Tiga bulan awal kematiannya hampir setiap hari saya menziarahi pusaranya di Bukit Kiara. Atas nasihat kawan-kawan masuk bulan kelima saya ke pusaranya dua hari seminggu iaitu Khamis dan Jumaat kecuali jika saya ada kerja di luar Kuala Lumpur ataupun tidak sihat badan. Tetapi saya tidak pernah tidak pergi ke pusaranya lebih daripada dua minggu. Rindu saya padanya.

"Ayah saya meninggal dunia pada 14 April 1998. Ketiadaan ayah amat menyedihkan saya apatah lagi saya anak tunggal, tetapi ketika itu Allahyarham yang menguatkan semangat saya. Sekarang suami pula pergi meninggalkan saya dan anak. Saya sangat berasa kehilangannya.

"Lain rasanya apabila tiada lelaki di rumah yang menjadi pelindung kita selama ini. Dulu masa bujang semua ayah uruskan. Emak suri rumah tangga jadi manalah beliau tahu sangat menguruskan itu ini. Memang sebelum kahwin saya berlakon, tetapi saya tidak berdikari sepenuhnya kerana ada ayah.

"Apabila berkahwin, suami pula menguruskan segala keperluan rumah tangga. Jadi apabila suami meninggal saya seperti kehilangan sebelah tangan. Sudahlah tiada tempat mengadu, semua benda saya buat sendiri. Syukur selepas setahun Allahyarham pergi Allah memberi kekuatan kepada saya untuk menguruskan anak, rumah tangga dan syarikat," kata Ziela ketika mengadakan kenduri tahlil untuk Allahyarham di Restoran Sri Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Kenduri tahlil itu turut dihadiri rakan artis antaranya Liza Abdullah, Maria Arshad, kumpulan Inteam dan Wani Wong (Wendy Wong). Turut diadakan ceramah agama oleh ustaz Ismail Kamus dan bersolat jemaah Maghrib serta Isyak di samping bacaan Yasin.



Menurut Ziela, dia kini tidak boleh merajuk lagi kerana tiada yang pujuk.



Apabila ada tingkah dua anaknya, Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 14, yang menyentuh hati, dia beritahu mereka dia tidak boleh merajuk.

"Kalau saya merajuk, siapa hendak jaga rumah. Dengan apa yang dilalui hari ini, saya sendiri tidak terfikir mampu hendak menghadapinya, tetapi berkat doa suami dan kuasa Allah, saya boleh mengharunginya.

"Ingat lagi masa saya menjaga suami di hospital selama dua bulan setengah, saya selalu mendoakan beliau sembuh. Sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir saya masih mengharapkan Allah memberikan keajaiban kepada beliau namun Allah lebih menyayanginya.

"Ketika doktor beritahu graf kesihatan Allahyarham semakin menurun, saya terfikir macam-macam termasuk macam mana anak hendak bersekolah. Saya hilang punca dan tak boleh fokus masa depan saya dan anak

"Selepas Allahyarham pergi, saya tak tahu hendak buat apa kerana selama dua bulan setengah saya berulang alik ke hospital. Kalau saya tidak bermalam di hospital, pagi-pagi saya keluar rumah untuk menjenguknya. Maka terpaksalah saya mengubah rutin hidup menyibukan diri dengan perkara lain.

"Kini saya bersyukur, rezeki semakin murah dan anak-anak dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Tiada kurang satu apa pun. Allahyarham juga meninggalkan pencen untuk anak-anaknya," katanya.

Tambah Ziela apabila terasa sunyi dia menangis dan terus memanjatkan doa buat Allahyarham. Dia perlu tabah demi anak.

"Saya selalu bercerita dengan Julia dan Jufri mengenai kenangan bersama Allahyarham dan juga kebaikannya. Apabila kita selalu bercerita kebaikan orang yang sudah tiada, malaikat yang menziarahi rumah kita akan turut mendoakan kebaikan Allahyarham.

"Selain itu saya ingatkan anak sedekahkan ayat suci al-Quran kepada Allahyarham. Jangan sedetik pun melupakan insan yang kita sayangi. Jika saya tidak buat kenduri tahlil, saya akan beli apa saja dan minta ustaz yang mengajar Julia dan Jufri mengaji sedekahkan ke masjid," katanya.

Masih cantik dan bergaya, pasti ada yang bertanya tidakkah dia ingin berteman semula?

"Belum terfikir ke arah itu. Namun saya tidak boleh berkata iya atau tidak. Dulu masa Allahyarham masih dalam Kabinet saya tidak boleh berlakon, tetapi saya tidak pernah keluarkan kenyataan berhenti berlakon kerana saya tahu hati manusia cepat berubah.

"Samalah juga dengan urusan nikah kahwin ini. Saya tidak berani kata yang saya tidak mahu kahwin. Saya serahkan ketentuan hidup ini kepada Allah. Apapun tumpuan sekarang pada anak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: