Friday, January 30, 2009

Protes penggiat seni


KUMPULAN Kopratasa tidak ketinggalan menyampaikan lagu puisi berjudul Sampai Bila.

Malam Puisi Demimu Palestin jadi wadah beri sokongan moral

PERASAAN marah, simpati, kesal, sedih bercampur baur bertebaran memenuhi ruang angkasa Laman Santai, Istana Budaya malam Jumaat lalu. Segala getar rasa ini lahir atas perasaan simpati yang meluap-luap ke atas penderitaan yang dialami masyarakat Palestin akibat keganasan Israel yang tidak pernah kenal erti kemanusiaan.

Menerusi bait-bait puisi, mereka meluahkan segala yang terbuku di dalam jiwa. Melontarkan perasaan tidak puas hati mereka atas sikap ketidakadilan kuasa-kuasa besar yang didakwa menutup mata dan menghalalkan kekejaman berleluasa tanpa sebarang halangan.

Dianjurkan kumpulan Utusan, Malam Puisi Demimu Palestin bukan sekadar tempat untuk meluahkan simpati tetapi juga menjadi wadah untuk memberi sokongan moral dan menyuntik motivasi kepada mereka yang selama ini sengsara akibat kekejaman kaum Yahudi yang tidak berhati perut.

Walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai aktiviti namun itu bukanlah penghalang buat sekumpulan artis dan personaliti tanah air ini bersatu menterjemahkan naluri kemanusiaan mereka dalam bentuk sajak dan puisi.

Biarpun mereka bukan dari kelompok yang sama kerana ada di antara mereka terdiri daripada selebriti dan penyair namun, atas sikap keprihatinan, mereka sanggup mengetepikan ketidaksamaan itu untuk bersama-sama memberikan sumbangan.

Gelanggang puisi itu dibuka dengan kemunculan Trio Harmoni yang melantunkan dua buah lagu berjudul Balada Seorang Gadis Kecil dan Tuan Presiden yang liriknya itu jelas ditujukan kepada negara Amerika Syarikat yang sudah terang lagi bersuluh menjadi dalang di sebalik peperangan paling kejam dalam abad ini.

Kedinginan malam menjadi semakin panas apabila giliran Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said meluahkan kesedihannya apabila bumi Palestin bermandikan darah menerusi puisi nukilan beliau, Wad Serigala dan Anak-Anak Palestina.

Acara yang memakan masa hampir tiga jam itu antara lain turut menyaksikan penyanyi bersuara jantan, Sohaimi Mior Hassan menyampaikan sebuah lagu puisi berjudul Ini Bukan Demokrasi Kita.Dengan gaya bersahaja, persembahan Sohaimi mendapat tepukan gemuruh apatah lagi kehadirannya dalam acara seperti ini sememangnya ditunggu-tunggu peminat setianya.

Turut mencuri perhatian lebih 2 ribu penonton yang hadir malam itu adalah persembahan penuh bertenaga daripada komposer, penyanyi, pelakon dan pengarah terkenal, M. Nasir menerusi sebuah lagu puisi berjudul Masirah.

Tidak berseorangan, sebaliknya persembahan Nasir turut diiringi dengan tarian berbentuk teaterikal oleh kanak-kanak Bingkas Kebayan.

Personaliti lain yang turut mendeklamasikan sajak mereka dalam acara ini ialah Datuk Ruhanie Ahmad, kumpulan Kopratasa menerusi sajak berjudul Sampai Bila, aktres jelita Fouziah Ghous (Ajar Siti Hajar), Freddie Fernandez (Nada dan Irama Palestin), Datuk Yusof Haslam dan anaknya Syamsul (Air Mata Palestin) serta kumpulan Meet Uncle Hussain yang menyampaikan lagu popular mereka berjudul Lagu Untukmu yang juga juara Anugerah Juara Lagu ke-23 minggu lalu.

Walau apapun medium yang digunakan untuk menyampaikan mesej mereka namun inti patinya tetap sama iaitu mereka ini sehati sejiwa mengutuk rejim Zionis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.

Selain selebriti dan penyair, acara baca puisi itu dimeriahkan lagi apabila ia turut dijayakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menyampaikan puisi bertajuk Untukmu Palestin yang dicipta isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Turut hadir, Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abu Ghoush, Ketua Setiausaha KPKKW, Datuk Dr. Muzahet Masruri, Setiausaha Bahagian Kementerian Luar, Datuk Mohamad Kamal Yan Yahya, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, Pengurus Negara Islamic Relief Malaysia, Zawahir Abdullah dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim.

Acara baca puisi ini dikendalikan oleh pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi yang turut menyampaikan cerita pendek menggambarkan suara hati kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa gara-gara peperangan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: