Friday, January 23, 2009

Farah anak ayah


Farah sering ditemani bapa ketika bekerja tetapi pernah juga terfikir untuk bebas seperti orang lain. Bagaimanapun, dia kini sedar lebih seronok bersama keluarga dan biarlah bapa sentiasa di sisi.

Farah hati-hati buat keputusan

Perlu buat pertimbangan sama ada terus bersama Maestro atau sebaliknya selepas habis kontrak Ogos depan

DUA tahun lalu, pernah timbul kontroversi dia 'dianak tiri' syarikat rakaman Maestro Telent & Management Sdn Bhd (Maestro) gara-gara album. Ini kerana Maestro dikatakan mahu memberi laluan kepada album juara Akademi Fantasia 2 (AF2), Zahid.

Namun, perkara itu tidak berlaku. Tiada diskriminasi terhadap penyanyi jelita, Farah Diana Anuar oleh Maestro. Sama ada Zahid atau Farah, kedua-duanya mendapat layanan setara. Justeru, Farah tidak kisah menunggu albumnya dipasarkan.

Atas berkat kesabaran itu, akhirnya album Fantasia daripada Farah akan menjengah pasaran minggu depan. Bahkan, menjadi misinya menumpukan segala fokus kepada urusan promosi. Menurutnya dia mahu turun padang bertemu dan mendekati peminat.

"Saya tahu, sudah dua tahun tidak muncul dengan album. Peminat pun sering bertanya mengenainya. Justeru, saya sangat bersyukur apabila yang 'ditunggu' kini makin menjadi nyata dan paling penting penantian berhasil juga akhirnya.

"Terus terang, saya katakan rindu untuk membuat promosi album. Bayangkan, ketika promosi itulah boleh bertemu peminat dan beramah mesra dengan mereka. Melihatkan sokongan diberi, saya akan pastikan album ini adalah yang terbaik.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur album yang bergenre pop rock ini mendapat sentuhan komposer dan penerbit terkenal tanah air. Antaranya Aidit Alfian, Ajai, Alim (kumpulan The Times) dan Edry Hashim yang membuat saya puas hati," katanya.

Oleh itu, ditanya taruhan lagu baru yang dijangka 'meletup', anak ketiga daripada enam beradik ini berkata Kalimah Indera ciptaan Edry Hashim, Fantasia (Aidit Alfian), Kau Bernama Cinta (Ajai) dan Tak Pernah Ada (Alim The Times).



Katanya lagi, menariknya album baru itu kerana susunan muziknya ada 'watak' dan berjiwa muda. Justeru, ia bersesuaian selera pendengar. Sebagai penyanyi, cita rasa pendengar perlu diambil kira dan diutamakan.



Berbicara mengenai kontrak dengan Maestro, Farah berkata ia akan berakhir Ogos ini. Dia mula membuat pertimbangan sama ada mahu terus bersama syarikat pengurusan itu atau sebaliknya. Akui Farah, Maestro banyak berbudi padanya.

"Justeru, sukar untuk saya memberi jawapan sekarang mengenai pilihan antara Maestro dan mengurus karier sendiri. Dalam soal ini, saya tidak boleh terburu-buru membuat keputusan kerana perlu memikirkan pro dan kontranya jika pilih jalan sendiri.

"Apapun saya tidak akan ketepikan Maestro dengan mudah. Bahkan saya akui sangat bersemangat bekerja dengan adanya Pegawai Kanan Maestro, Norliza Ilias (Kak Liza). Sejak mengenali Kak Liza, dia banyak memberikan motivasi.

"Ia membuatkan saya berfikir perlu gigih bekerja kerana bidang seni terlalu banyak persaingan. Kemunculan muka baru silih berganti dan saya perlu sedia menyahut cabaran. Sebab itulah saya katakan sangat terhutang budi dengan Maestro," katanya.

Menyentuh soal apakah dia tidak 'rimas' sering ditemani bapa, Anuar Ali dan adik, Najwa, ketika bekerja, jelas Farah dia senang dengan kehadiran mereka. Bersama ahli keluarga lebih selamat dan sekali gus terhindar daripada gosip liar.

"Saya sangat bersyukur sehingga kini tiada gosip negatif mengenai diri ini. Namun, pada masa sama saya akui gosip juga penting buat artis. Apapun, saya tidak akan mudah melatah jika gosip ditulis kerana cinta monyet atau mengenai karier diceburi.

"Asalkan tidak menyentuh maruah keluarga, buat apa hendak marah melulu. Lagipun bapa saya orangnya sangat mesra. Dia tidak mengongkong saya menjadi artis walaupun tahu tidak semua keluarga suka anak gadis mereka memilih bidang seni.

"Oleh itu, apa saja nasihatnya sentiasa menjadi pegangan saya. Walaupun pernah satu ketika terfikir mahu bebas seperti orang lain tetapi sekarang saya sedar bersama keluarga lebih seronok. Jadi biarlah sentiasa bersama bapa saya," katanya.

Berusia 24 tahun, Farah berkata selagi dia belum berumah tangga semua tanggungjawab keselamatan digalas bapanya. Justeru, biarlah apa orang hendak kata dan dia tidak kisah. Apa yang pasti, tiada sekatan untuknya berkawan dengan sesiapa.

Profil
NAMA SEBENAR: Farah Diana Anuar
PANGGILAN: Farah Breep Breep
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
USIA: 24 tahun
KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, pengacara
ALBUM: Antara Dua, Fantasia
DRAMA: Akademi, Popular
FILEM: Man Laksa
PENCAPAIAN: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: