Thursday, January 29, 2009

Gaya kasar Scha pikat Syamsul


Syamsul

Evolusi KL Drift 11 lebih utamakan aspek penceritaan, pembikinan

SELEPAS melakar kejayaan menerusi filem Evolusi KL Drift (EKLD) yang memungut RM4.5 juta pada tahun lalu, pengarah muda, Syamsul Yusof diberikan kepercayaan oleh bapanya, Datuk Yusof Haslam, untuk tampil bersama sekuel Evolusi KL Drift II. Mengekalkan kebanyakan pelakon asal, filem berkenaan bakal menjalani penggambaran pada 1 Februari.

Diterbitkan secara bersama oleh Skop Productions Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd, filem aksi berkenaan menampilkan Syamsul sendiri sebagai pelakon utama, di samping Farid Kamil, Scha, Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Shaifudin Hashim, Hetty Sarlene dan Rizal Ashraf.

Rizal juga bertindak sebagai penolong pengarah bagi filem ini, di samping membantu Syamsul memperkemaskan skrip.

Pada awalnya, filem berkenaan dikatakan bakal mengangkat Diana Danielle sebagai teraju wanita. Begitupun, pada majlis pelancarannya di Kompleks Finas, Hulu Klang, pelakon baru, Scha nampaknya diberikan tanggungjawab memegang watak wanita utama, Aleeya.

Insiden salah faham yang membabitkan Syamsul dan Diana pada Disember lalu nampaknya mengubah perancangan awal. Selain Scha (Antoo Fighter), turut membuat kemunculan pertama menerusi filem berlatarkan dunia perlumbaan kereta itu ialah Remy, yang sebelum ini dikenali menerusi filem Anak Halal.

REMY ISHAK dan Scha berlakon kali pertama di bawah arahan Syamsul.

Syamsul sendiri mengaku, watak Aleeya pada dasarnya adalah untuk Diana. Namun, kini ia digantikan dengan Scha setelah Syamsul mendapati aktres itu menepati karakter yang digambarkannya menerusi watak berkenaan.

"Saya pernah melihat lakonannya dalam Awan Dania dan Histeria. Gayanya yang kasar sesuai dengan watak Aleeya yang saya gambarkan sebagai wanita lasak dan ranggi," ujar Syamsul yang menegaskan, filem itu tidak mengutarakan tema percintaan semata-mata kerana ia lebih kepada persoalan gangsterisme dan persahabatan.

Mengenai pembaharuan yang bakal ditonjolkan, katanya, EKLD II akan lebih menekankan kepada aspek penceritaan dan pembikinannya.

"Skrip yang dihasilkan kali ini jauh lebih baik. Ia cukup sukar untuk ditulis, bagi menghasilkan cerita lebih baik daripada siri pertama. Saya juga ingin membuktikan, saya mampu membikin filem yang baik walaupun menggunakan pengarah fotografi berbeza. Sebelum ini saya terdengar beberapa pihak berkata, EKLD cemerlang kerana usaha juru kameranya, Raja Mukhriz," kata Syamsul yang kini menggunakan khidmat dua jurukamera, Omar Ismail dan Mie Congo untuk filem ketiganya.

AARON AZIZ kembali memegang watak Joe yang mendendami Zack.

Perbezaannya juga, kata Syamsul, apabila babak perlumbaan bukan lagi kini berlaku secara haram. Sebaliknya ia dilangsungkan secara profesional di litar lumba, kecuali babak kejar-mengejar kereta di dalam bandar.

Mengenai pemilihan tema gangsterisme, dia menegaskan, topik itu diangkat ke layar perak menerusi filem ke-23 terbitan Skop berikutan hubungannya yang dikatakan paling dekat dengan permasalahan golongan muda hari ini. Begitupun, bukan hanya gejala samseng yang dikupas Syamsul kerana ia turut menonjolkan tema persahabatan menerusi judul arahannya itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai situasi perhubungannya dengan Diana, Syamsul memberitahu mereka tidak lagi berhubungan sejak beberapa minggu lalu.

"Tidak, saya belum mempunyai pengganti. Saya juga tidak mencari-cari. Nampaknya, ketika ini tumpuan adalah lebih kepada kerja yang dipertanggungjawabkan ke bahu saya.

"Begitupun, jika saya dipertemukan dengannya semula, saya pastinya akan bersikap biasa saja. Saya juga boleh bekerja dengannya, sebagai seorang profesional," kata Syamsul yang teringin untuk berlakon di bawah pengarah lain juga.

Ketika diminta ulasannya mengenai filem Bohsia yang diberikan klasifikasi 18PL oleh pihak penapisan filem, Syamsul menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan klasifikasi itu kerana dia percayakan pada rezeki serta ketentuan Tuhan.

"Sejak awal lagi saya sedar, filem ini tidak akan muncul sebagai filem meyakinkan jika saya tidak menonjolkan elemen kebenaran di dalamnya. Saya mahu memaparkan apa sebenarnya berlaku dalam dunia itu. Begitupun, pastinya tidak 100 peratus mampu kami paparkan," katanya.

Bagi Syamsul, filem yang dianggapnya berani itu usah dilihat sebagai judul yang mengeksploitasi golongan bohsia. Lebih daripada itu, ia sebuah karya yang sarat dengan pesanan berguna. Lalu, dia tidak mahu orang ramai menghukum Bohsia hanya kerana judulnya. Dia mahu mereka menonton filem terbabit dan menghayati isi kandungannya.

Filem kedua Syamsul itu sekali lagi dilakonkan dirinya sendiri, Aaron dan Shaheizy Sam, di samping Nabila Huda serta Salina Saibi. Ia bakal menemui penonton di pawagam mulai 23 April nanti.

INFO:

  • EKLD II yang akan dirakam selama 38 hari di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pelabuhan Klang menelan belanja sekitar RM2.1 juta.

  • SYAMSUL juga ingin mencuba teknologi CGI dalam arahan terbarunya, bagi memantapkan lagi visual filem ini.

  • DIA turut berbangga apabila siri kedua filem perlumbaan kereta itu berjaya menarik lebih ramai penaja termasuk Toyo Tires, Toms Stickers, Sin Heng Autowork, AVS Power, Ace Suspension, Evercoast Paint, Torq, Active Motorwork dan banyak lagi.

  • DUA kereta utama yang digunakan ialah Toyota Supra dan Mazda RX7. Secara keseluruhan, kira-kira 10 kereta lumba akan digunakan dalam filem terbabit. Sebahagiannya diubah suai khas untuk EKLD II.

  • SERAMAI lima pelumba drift digunakan untuk menggantikan pelakon asal bagi babak lasak. Begitupun Syamsul berharap dapat menggunakan pelakon sebenar bagi adegan yang tidak membahayakan nyawa mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: