Wednesday, January 28, 2009

Anak-Anak Sidek kembali di TV


SELAMA 10 tahun dipasarkan sejak 1995 hingga November 2006, siapa yang tidak tahu mengenai komik Anak-Anak Sidek? Ditambah lagi dengan rancangan kartunnya yang pernah disiarkan RTM suatu ketika dulu.

Namun, selepas tiga musim siri animasi itu diberhentikan penyiarannya dan dikatakan memberi laluan kepada kartun baru. Justeru, bagi 2009 ini kemungkinan Anak-Anak Sidek akan kembali disiarkan televisyen. Bahkan, sebanyak enam episod sudah disiapkan.

Pengarahnya, Shadan Hashim, berkata jika semua perancangan berjalan lancar, dia perlu menyiapkan 26 episod animasi Anak-Anak Sidek untuk musim keempat dan kelima. Bagaimanapun, bila akan disiarkan dan stesen televisyen mana belum diputus lagi.

"Buat masa ini, apa yang penting di fikiran saya untuk menyiapkan animasi ini. Bagi saya, bukan mudah menghasilkannya kerana berpandukan ilham. Lagipun, Anak-Anak Sidek mengisahkan peristiwa seharian lima beradik yang akrab.

"Malah, paling utama cerita minat Datuk Mohamad Misbun Sidek, Mohd Jalani, Mohamad Razif, Abdul Rashid dan Abdul Rahman dalam sukan badminton. Saya tahu pasti ramai ingin mengetahuinya berikutan anak Sidek mempunyai pencapaian tersendiri.

"Mereka pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila berjaya menjulang Piala Thomas untuk negara ini. Oleh itu, jasa yang besar pernah ditaburkan semestinya dikenang. Jadi, menerusi komik dan animasi diyakini membantu ia terus diingati," katanya.

Menurut Shadan, memandangkan Anak-Anak Sidek ini 'dihidupkan' semula, isi kandungan jalan ceritanya perlulah yang baru dan segar. Justeru, setiap gambaran cerita diperoleh daripada lima beradik itu berdasarkan perbincangan dibuat.

"Sebenarnya, bekerjasama dengan mereka sangat mudah. Semuanya akan berkumpul selepas dimaklumkan ada perbincangan kerana kediaman masing-masing berdekatan. Malah menerusi maklumat diberikan dapatlah ilham untuk komik dan animasi.

"Apapun, bagi menyiapkan satu episod animasi, masa diperlukan kira-kira sebulan. Saya tidak boleh terburu-buru kerana perlu meneliti semua perkara. Ia penting supaya kesinambungan jalan cerita dan kartun selari.

"Sehubungan itu, siri Anak-Anak Sidek yang baru kini sudah ada di pasaran. Bahkan, peminat boleh memiliki komik dan video cakera padat (VCD) serentak dengan harga hanya RM6.90," katanya memaklumkan permintaan diterima menggalakkan.



Sementara itu, Ketua Penyunting Komik Anak-Anak Sidek, Puteri Suraya Mohd Jalani berkata, selama tujuh bulan dipasarkan semula, sambutan diterima agak baik.



Katanya, mungkin orang masih mahu tahu 'rahsia' hidup anak Sidek.

"Malah, saya dapati ia bukan saja mampu memberi motivasi kepada kanak-kanak dan remaja tetapi juga ibu bapa. Maksudnya, jika anak kurang cemerlang dalam pelajaran bukan bermakna hidup mereka 'sudah tamat', namun sukan juga boleh menjadi karier.

"Pokok pangkalnya, bagaimana membangunkan minat anak untuk cintakan sukan badminton. Saya dapati negara memang memerlukan pelapis untuk meneruskan kecemerlangan badminton. Justeru, usaha perlu dipupuk daripada sekarang," katanya.

Berbicara lanjut mengenai komik Anak-Anak Sidek terbitan Pengedaran JAS Sdn Bhd itu, Suraya berkata sudah lapan siri dikeluarkan. Namun, dalam siri Januari dan Februari 2009 saja baru disertakan dengan VCD. Setakat ini, judul VCD yang ada, Bun Pasang Perangkap dan Mimpi Ngeri.

Kata Suraya, sesiapa yang membaca siri komik terbaru itu pasti seronok kerana banyak kelainan dibuat. Selain tampil dengan VCD, kualiti kertas juga diambil kira. Kalau dulu, kertasnya mudah menjadi kuning tetapi sekarang bertambah baik.

"Malah, harganya pun sangat berpatutan. Jika komik saja, harga RM3.90. Apapun, mengikut rekod jualan komik Anak-Anak Sidek pernah melebihi 50,000 unit. Daripada jumlah itu, senang saya katakan permintaan ke atas komik tetap ada," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: