Thursday, January 29, 2009

Mahu 'meletup'


Atilia

Atilia cari formula terbaik pada 2009 jana kerjaya muzik yang sudah menjadi darah dagingnya sejak sekian lama

MENYEDARI album perdananya, Sangkar, kurang mendapat perhatian berikutan ketiadaan lagu yang kononnya mesra radio, penyanyi Atilia Haron berusaha memastikan percubaan kedua akan lebih berjaya dalam memperkenalkan dirinya sebagai seorang daripada artis disegani di tanah air.

Mendapat kritikan yang baik daripada pengulas muzik, namun Sangkar belum mampu untuk benar-benar memperkenalkan lagu Atilia di kalangan pendengar dan peminat, seterusnya membuatkan mereka menghafal irama berkenaan. Nasib baik, klip video yang cukup menarik yang dihasilkan penyanyi ini banyak membantu mempromosikan lagu daripada album itu seperti Sangkar dan Ranjau.

Kononnya, genre muzik yang diketengahkan Atilia dalam album sulung agak menyimpang daripada kegemaran peminat di negara ini. Biarpun dinyanyikan dengan baik serta disokong muzik yang bagus, namun akibat ketiadaan lagu yang mesra radio, album itu kurang menyerlah di kalangan peminat.

Tidak berputus asa dengan hakikat itu, Atilia meneruskan langkah mencari formula terbaik dalam menjana karier muzik yang sudah menjadi darah dagingnya sejak sekian lama. Kini, dia berkeyakinan sudah menemui lagu yang dikira mesra pendengar - Gelombang, nyanyian asal ibunya, Salamiah Hassan, dan Leka, irama petikan teater muzikal P Ramlee yang turut dilakonkan olehnya.

"Mudah-mudahan, Gelombang dan Leka akan menjadi lagu ‘komersial’ saya daripada album kedua yang dijangka menemui peminat sekitar Jun depan. Saya sendiri sudah begitu lama berazam untuk menyanyikan semula lagu Gelombang yang pernah mempopularkan ibu saya.



“Kali ini, muziknya akan diberikan sentuhan baru dengan memasukkan sekali elemen jazz. Saya sedar, ibu saya sukakan lagu jazz, cuma dia tidak berkesempatan merakamkannya ke album. Lagipun, lagu itu sendiri ialah hasil tangan pencipta pujaan kami, Kassim Masdor.

"Leka juga diubah semula susunan muziknya. Saya memilih lagu ini untuk dimuatkan kerana ia paling digemari peminat yang berkunjung ke laman web. Apatah lagi lagu itu sendiri sebuah melodi yang cukup indah," katanya.

Selain dua lagu terbabit, Atilia juga sudah pun merakamkan tiga lagu lain iaitu Harus Bagaimana, Sampai Nanti dan lagu Inggeris pertama yang dirakamnya, Old Love.

Jika Gelombang menyaksikan si kecil molek ini berduet bersama ibu sendiri, Harus Bagaimana pula dinyanyikannya bersama Malique (Malique N D'essentials), manakala Sampai Nanti pula diharap dapat dinyanyikannya bersama seorang lagi penyanyi Indonesia, Marcell.

"Ketika ini, kami masih lagi berbincang mengenai perancangan itu dan nampaknya, Marcell sendiri menyukai idea untuk menyatukan kami berdua dalam sebuah lagu," ujar Atilia.

Menerbitkan sendiri album terbabit, Atilia merujuk kepada produser yang juga komposer terkenal, Roslan Aziz bagi memastikan kualiti albumnya benar-benar terjaga.

"Memang sukar untuk mengekalkan mutu yang tinggi bagi album susulan. Justeru, saya menjadikan cara kerja Sheila Majid sebagai ikutan. Seboleh mungkin, saya menggunakan formula kerja yang digunakan oleh Sheila dalam memastikan setiap album yang dikeluarkan mempunyai mutu yang cukup memuaskan. Apatah lagi penasihat album ini, Roslan, ialah orang yang sama pernah bekerjasama dan menaikkan nama penyanyi berkenaan," katanya.

Dapat rakan lepas geram dalam berkarya

ATILIA tidak mahu dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai begitu banyak album tetapi peminat tidak mengingati produk terbabit. Justeru, penerbitan setiap album haruslah perlu teliti.

Begitupun, kata Atilia, dia tidak mahu mengambil masa begitu lama untuk menerbitkan produk kedua, sebagaimana ketika menghasilkan album pertama. Jika boleh, Jun nanti, dia ingin melihat album terbabit sudah pun berada di rak kedai muzik seluruh negara.

"Saya memang ingin mempunyai album penuh, bukannya CD dalam bentuk single. Saya sudah berusia 35 tahun, tidak banyak masa lagi yang tinggal," katanya sambil ketawa kecil.

Mengenai keazaman dan perancangannya pada tahun ini, tanpa berselindung Atlia memberitahu, dia ingin namanya ‘meletup’ pada 2009! Justeru, dia berusaha menghasilkan yang terbaik dalam apa juga yang dirancang, sama ada album, klip video ataupun filem.

Pada 17 Januari lalu, Atilia turun ke lokasi klip video ketiga, kali ini untuk lagu Selagi. Rakaman dijangka mengambil masa selama dua hari dan penggambaran pula akan dilakukan di sekitar ibu kota.

"Saya sedar, ketika ini tidak ramai penyanyi yang mahu menerbitkan klip video berikutan kekurangan peluang atau ruang untuk menayangkan video berkenaan. Namun, saya tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan kerana saya percaya, klip video yang baik mampu mempromosikan lagi lagu kita. Begitulah caranya saya dikenali tidak lama dulu, apabila banyak pihak, termasuk dari luar negara yang membuka mata terhadap video Sangkar," tegasnya.

Atilia berasakan dirinya cukup bertuah apabila pengalamannya bekerja dalam bidang produksi membolehkannya muncul dengan klip yang baik. Begitu juga apabila rakan-rakan yang dianggapnya ingin ‘melepas geram dalam berkarya’ dengan rela hati membantu menjayakan klip terbabit.

Selepas penggambaran klip video Selagi, Atilia akan turun pula ke lokasi filem pertama lakonannya, Bisikan Puaka. Filem seram yang bakal menyaksikannya beraksi sebagai Sasha itu dijangka memulakan penggambaran pada penghujung Februari.

Pada April pula, Atilia akan menjalani penggambaran filem Ransan di samping pelakon Aaron Aziz. Ia bakal muncul filem pertama arahan jurukamera terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Sebelum itu, Atilia dijadualkan terbabit dalam beberapa festival muzik termasuk Festival Java Jazz Jakarta dari 6 hingga 8 Mac, serta Festival Muzik Antarabangsa Sunburst KL 2009 yang berlangsung beberapa hari kemudian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: