Friday, January 30, 2009

Nabila enggan ikut jejak langkah Amy Search?

LAGU 'X-Ray' nyanyian anak perempuan kepada rocker terkenal tanahair, Amy Search ini saban hari semakin kerap diputarkan di radio-radio. Tidak dinafikan, lagu yang 'catchy' ciptaan sepenuhnya oleh Edry Hashim itu cukup sesuai dengan 'jiwa' Nabila Huda.

Meskipun lagu tersebut makin mendapat tempat di hati ramai peminat muzik tempatan, populariti yang diraih oleh lagu itu nyata mengejutkan tuan empunya diri, apatah lagi Nabila sendiri tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi agar lagu 'X-Ray' itu berjaya mencuri tumpuan ramai.

Tutur pelakon yang baru mendirikan rumahtangga dengan suaminya Zaidy Zailani pada 2 Disember lalu, idea menghasilkan single itu sebenarnya dibuat atas dasar 'suka-suka'.

"Lagu single itu memang sudah lama saya rakamkan. Rasanya lima bulan sebelum saya berkahwin. Itu pun atas cadangan Papa. Kebetulan pula saya memang minat menyanyi, jadi saya 'try' sajalah.

Nabila terkejut lagu single 'X-Ray' nyanyiannya berjaya mendapat sambutan baik peminat muzik tempatan

"Tapi memang tidak terlintas langsung di fikiran saya untuk hasilkan album penuh. Saya tidak bersedia ikut jejak langkah Papa bergelar penyanyi walaupun dia sendiri cukup 'supportive'," kata pelakon berusia 24 tahun ini.

Menurut Nabila lagi, andai kata dia ditawarkan membuat album berdasarkan sambutan yang baik terhadap lagu tersebut, dia tetap akan cuba menolak dengan baik kerana belum bersedia dengan komitmen yang tinggi dalam bidang tersebut.

"Sejujurnya, saya memang tidak ada masa untuk hasilkan album. Prosesnya bukan mudah dan memakan masa juga. Lagipun, jadual harian saya memang padat dengan aktiviti lakonan.

"Setakat diundang untuk buat 'show', saya rasa tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi apapun, bidang lakonan tetap menjadi keutamaan saya," kata Nabila.

Sibuk bahagi masa antara karier dan rumahtangga

Hampir dua bulan bergelar isteri, akui Nabila, dia merasakan hidupnya kini lebih terisi. Jika dulu, segala-galanya dilakukan untuk dirinya sendiri, tetapi kini pelakon ini perlu memikirkan tanggungjawab terhadap si suami pula.

Tutur Nabila, walau sesibuk mana pun jadual hariannya sebagai pelakon, dia akan tetap cuba pulang ke rumah dan menyediakan makan malam untuk suami tercinta.

"Banyak perubahan sebenarnya setelah saya bergelar isteri. Saya sedar saya tidak boleh ambil mudah terhadap tanggungjawab saya.

"Makan pakai suami perlu saya juga. Seboleh mungkin, setiap hari saya akan sediakan sarapan pagi dan kalau berkesempatan, saya akan segera pulang untuk sediakan makan malam juga.

"Penat macam mana pun, saya perlu galas tanggungjawab dengan baik," ujar Nabila yang kini menetap di rumah ibunya, Farida Fadzil.

Malah, kesibukan di lokasi penggambaran juga membuatkan pasangan ini belum berkesempatan untuk berbulan madu sejak berkahwin kira-kira dua bulan yang lalu.

"Kami tidak sempat merancang apa pun. Memang dulu saya pernah kata berkemungkinan untuk mengerjakan umrah bersama suami dan ahli keluarga yang lain.

"Tetapi setelah masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, kami tangguhkan dulu sebarang perancangan itu. Insya-Allah, saya akan cuba curi masa sedikit tahun ini untuk pergi berbulan madu," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri cinta Untuk Ain bersama pelakon-pelakon seperti Sherry Ibrahim dan Rozie Othman.

Selain sibuk dengan drama, Nabila juga sedang menantikan tayangan untuk dua buah filem lakonannya pada tahun ini iaitu Bohsia dan Duhai Si Pari-Pari.

Mengulas tentang filem Bohsia arahan Shamsul Yusof yang mendapat klasifikasi 18 PL daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF), kata Nabila, dia tidak merasakan filem itu akan mencetuskan kontroversi gara-gara label 18 PL itu.

"Saya tiada masalah bila filem itu diklasifikasikan 18 PL. Bagi saya, filem itu sarat dengan mesej yang ingin disampaikan, bukan untuk mencetuskan kontroversi," tuturnya yang memegang watak utama dalam filem tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: