Friday, January 30, 2009

Merah Lawit dikerat lima


ARAFIN dengan ikan merah seberat 10 kilogram yang kemudian dikerat lima sejurus tiba di jeti.
ARAFIN dengan ikan merah seberat 10 kilogram yang kemudian dikerat lima sejurus tiba di jeti.

KUALA TERENGGANU: Dua tahun lalu, hampir tiga tong pelbagai spesies ikan dipunggah dari perairan Lawit oleh Geng Bangi dan impian sama menggunung ketika turun sekali lagi ke sana bersama Tekong Pak Awang, baru-baru ini.

Justeru, seminggu sebelum berangkat, mereka melakukan persiapan rapi supaya tidak berputih mata. Bagi Geng Bangi - diketuai Arafin Jahar selain Fauzi, Azmi, Md Noh, Nordin Misnan dan Mohd Zain (Giant), perairan Lawit, Dulang serta di sekitarnya bukan asing kerana mereka ke sana setiap tahun.

Perjalanan enam jam dari Bangi ke sini dan 18 jam lagi ke Lawit bukan satu jarak yang menyulitkan.

Arafin berkata, sebelum memulakan cabaran, umpan hidup atau segar mesti dicari atas ‘permintaan’ penghuni di Lawit.

“Boleh dikatakan ikan Lawit memilih umpan. Tapi kalau tidak ada umpan hidup, sotong mati atau ikan pasar pun dihentam juga. Jadi, kalau mahu hasil tangkapan lumayan, kita perlu mencari ikan umpan dengan apollo,” katanya.

Sebanyak 7 kilogram (kg) sotong dan 3kg anak pelaling dibeli. Bakinya, umpan yang akan dipancing di lokasi.

Beberapa unjam dikunjungi tetapi hanya 15 ekor anak kembung dan selar kuning mengena mata apollo. Pak Awang turut gusar kerana umpan sukar diperoleh. Namun, Geng Bangi meneruskan perjalanan ke lubuk pertama yang memakan masa empat jam.

Keadaan laut sedikit berombak. Fauzi, Azmi dan Md Noh merasa kurang selesa terutama ketika bot berlabuh. Mereka bertiga yang kurang bermaya akhirnya tersandar di dinding bot.

Pak Awang sibuk membetulkan kedudukan bot. Dua pembantunya melabuhkan sauh. Sebaik saja diberi lampu hijau, masing-masing yang kemaruk memancing, terus melabuhkan joran.

Md Noh yang menggunakan anak selar kuning diuji terlebih dulu oleh penghuni Lawit. Tali joran Daiwa Saltiga ditarik rakus sehingga hujungnya mencecah air.

Berpeluh beliau mengendalikan mesin Penn Kingfish Combos yang tidak putus berdecit hampir 20 minit. Akhirnya tewas seekor ikan merah seberat 7kg. Sedang mereka rancak berbual, joran Arafin pula disambar kerapu seberat 5kg. Menggunakan tali braided Sulfix, beliau tidak menghadapi masalah memunggah mangsa ke atas bot.

Selepas itu, seorang demi seorang pemancing menaikkan ikan pelbagai jenis termasuk kerapu, alu-alu, aruan tasik dan kerisi bali. Adegan itu berlarutan hampir lima jam sebelum berhenti seketika untuk memberi peluang pemancing berehat dan menikmati hidangan makan malam.

Keesokannya, jam 7 pagi Geng Bangi dikejutkan dengan jeritan Fauzi. Seekor kerapu bara kira-kira 2 kg mengena mata kail Mustad 1/0. Dengan bantuan awak-awak, ikan itu berjaya dinaikkan dan menjadikan tangkapan paling bernilai pada hari berkenaan.

Melihat kerapu itu, Azmi yang masih belum memperoleh sebarang tangkapan memberangsangkan mula memasang angan-angan. Beliau memasang anak pelaling dan tanpa menunggu masa lama, kekili Abu Ambasador miliknya berdecit ditarik sesuatu. Selepas beraksi hampir 15 minit, seekor gerepoh seberat 12kg menunjukkan kelibat. Pak Awang menggancu ikan itu dan menaikkannya ke dalam bot.

Tiba-tiba kekili Penn International milik Arafin berbunyi kuat dan menyaksikan joran Penn Senator melentur hingga membentuk huruf C. Mangsa mengasak Arafin ke sana dan ke sini. Akibatnya, talinya bersimpul dengan tali pancing Md Noh. Setelah mengasak ke serata sudut bot hampir 20 minit, mangsa akhirnya lemah.

Dibantu Giant seekor ikan merah hampir 10kg dinaikkan ke bot. “Macam menarik anak seladang,” katanya.

Tepat jam 2 petang, bot bergerak meninggalkan perairan Lawit dengan hasil lumayan. Selain ikan merah dan gerepoh gergasi, dua tong lain dipenuhi ikan lauk.

Setibanya di jeti, mereka membahagikan tangkapan sama rata. Ini termasuk ikan merah milik Arafin yang dikerat lima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: