jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Wednesday, January 28, 2009

‘Saya masih menyanyi’


LAMA tidak mendengar suara gemersik Adila Idris, 37, selepas dia berkahwin dan dikurniakan empat cahaya mata. Sebenarnya dalam kesibukan dia menguruskan rumah tangga, Adila masih menyanyi tetapi kebanyakannya pada majlis makan malam.

Menurut Adila, dunia nyanyian tidak dilupakan terus cuma kini tumpuannya kepada anak. Sekarang mereka semakin membesar dan Adila mempunyai sedikit ruang untuk aktif menyanyi semula.

“Saya akan tampil dengan album baru berkonsepkan keroncong kerana ramai berpendapat, suara saya sesuai mengalunkan lagu seperti itu. Bagaimanapun, saya akan buat album mini dulu dengan memuatkan lima lagu.

“Album itu dibiayai suami saya (Tengku Ngah Putera Tengku Ahmad Tajudin, 42) dan diterbitkan abang saya, Jari (Jaafar Abdul Rahman Idris). Saya akan memasukkan vokal pada Febuari ini.

“Walaupun tiada album, saya masih menyanyi. Dalam sebulan dapatlah dua tiga jemputan. Cuma masyarakat tidak tahu saya masih aktif kerana tidak membuat persembahan dalam televisyen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adila yang mempunyai Sijil Jurulatih Senaman Bertauliah daripada Kementerian Belia dan Sukan akan membuka pusat kesihatan, Adila Fitness Studio di TTDI Jaya, Shah Alam.

“Saya mula bersenam selepas melahirkan anak sulung kerana tubuh semakin berisi. Oleh itu, saya menyertai sebuah pusat kesihatan di Shah Alam. Pemilik pusat kesihatan itu menjadi mentor saya. Apabila beliau nampak saya berminat untuk mendalami ilmu senaman ini, beliau mengajar saya dan kemudian saya berkursus di sana.

“Di samping itu, saya sering mengikuti beliau menghadiri seminar penjagaan kesihatan dalam dan luar negara. Orang mula kenal saya sebagai jurulatih senaman apabila wajah muncul di TV1 mengajar senaman kepada penonton setiap pagi sebelum siaran Selamat Pagi Malaysia,” katanya.

Tambah Adila, ramai bertanya kenapa dia tidak buka pusat kesihatan selaras kemahiran yang ada. Masyarakat sekarang sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan. Jadi dengan sokongan suami dan rakan sealiran, Adila membuka pusat kesihatan itu.

“Buat masa ini, pusat itu dalam pengubahsuaian dan akan dibuka secara rasmi pada 2 Februari. Peralatan sudah ada dan saya sudah mula menggunakan pusat kesihatan itu sebagai persediaan sebelum ia dibuka kepada orang ramai.



“Kelas ini menawarkan senaman aerobik, impak tinggi dan rendah, pergerakan yang menggabungkan tarian dan aerobik, tarian latin, tinju dan tarian poco-poco kerana banyak permintaan daripada rakan.



“Saya akan masukkan juga senam seni yang mempunyai langkah senaman tradisional seperti tarian zapin, joget, inang, tarian India dan tarian Cina. Sambil bersenam, mereka akan tahu setiap pergerakan itu tarian apa kerana ramai yang tidak boleh membezakan jenis tarian itu.

“Untuk memperkenalkan senam seni itu kepada masyarakat, saya dan rakan menjelajah seluruh negara di mana sasaran utama mengajar tarian itu kepada pelatih PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) untuk diajar kepada peserta program itu. Syukur senam seni itu mendapat sambutan,” katanya.

Kepada wanita yang segan untuk bersenam bersama lelaki, jelas Adila, dia menyediakan jurulatih wanita dan ditempatkan di ruang khas. Pusat kesihatan itu akan dibuka mulai jam 9.30 pagi hingga 10 malam. Yuran bulanan sebanyak RM70. Selain Adila, dia melantik dua lagi rakannya menjadi jurulatih.

Adila yang baru melahirkan anak keempat, Puteri Tengku Rania, setahun lalu, kini semakin langsing.

“Setiap pagi saya berjoging selama setengah jam dan menjaga pemakanan. Saya jadikan senaman amalan harian. Sementara menunggu pusat kesihatan itu siap sepenuhnya, saya mengajar aerobik secara percuma. Saya mengajar dua sesi, tambah kuruslah badan.

“Sewaktu dalam pantang, saya tidak makan nasi. Selepas tubuh susut, saya makan nasi seminggu sekali. Hari lain, saya makan pasta, buah-buahan dan sayuran. Jika malam terasa lapar, saya minum milo. Saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pelanggan. Jika saya tidak berusaha menjaga penampilan, orang tak akan yakin dengan saya,” katanya.

Kehadiran Adila pada majlis ulang tahun pemilik Kuzie Catering, Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih popular dengan panggilan Pak Engku yang ke-49 membuatkan ramai mata memandangnya. Adila hadir bersama suami yang segak dengan baju Melayu.

Adila dan suami turut membuat persembahan pada malam itu yang berkonsepkan malam irama 60-an dan 70-an. Hadir sama memeriahkan majlis, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Haiza, Maya, Raja Azura, Juliza Adzlizan, Datuk Aziz Satar dan isteri.

2 comments:

  1. salam boleh saya dapatkan contact number adilla fitness studio..tq

    ReplyDelete
  2. Kat mana agaknya Adilla Fitness Studio. Saya kenal sangat kawasan TTDI Jaya tu, tapi tak nampak pulak signboard Fitness Studio ni.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: