Saturday, January 31, 2009

@Sinepleks: Chui Mui terus bina nama





Dilantik juri Festival Filem Antarabangsa ke-38 di Rotterdam, Belanda

BAKAT pengarah muda negara ini, Tan Chui Mui, nampaknya kian mendapat perhatian penganjur festival filem antarabangsa. Setelah menyertai beberapa festival di luar negara serta menerima anugerah pada beberapa festival yang lain, termasuk Festival Filem Antarabangsa Rotterdam Ke-36 dan Festival Filem Antarabangsa Pusan Ke-11, Chui Mui terus memahat nama di persada dunia perfileman.

Bermula 21 Januari lalu hingga esok, pengarah berusia 30 tahun ini terbang sekali lagi ke Rotterdam. Kali ini, bukan mempertandingkan filem arahannya, sebaliknya Chui Mui berada di kota negara Belanda itu kerana memenuhi undangan sebagai juri Pertandingan Anugerah Harimau untuk Filem Pendek pada Festival Filem Antarabangsa Rotterdam Ke-38.

Festival berkenaan dilihat sebagai antara lima festival filem terbesar di Eropah di samping festival serupa di Cannes, Venice, Berlin, dan Locarno. Harimau ialah maskot untuk festival terbabit.

Antara juri lain yang mengadili anugerah itu kali ini ialah pembeli dan pembikin rancangan bagi syarikat penyiaran Sepanyol, Maria Pallier, serta wartawan yang juga kurator dan artis British, George Clark.

Manakala bagi sesi tayangan perdana dunia pada festival berkenaan, tujuh filem pendek Chui Mui yang berada di bawah program All My Failed Attempts akan ditayangkan. Sebuah daripada filem pendek terbabit, Everyday Everyday, kini turut bersaing pada Festival Filem Clermont-Ferrand yang mengkhususkan kepada filem pendek saja.

Chui Mui menghasil tujuh filem pendek terbabit pada tahun lalu. Khabarnya, dia berazam menghasilkan sebuah filem pendek pada setiap bulan dan pengarah wanita itu berjaya melaksanakannya.

"Saya seronok menghasilkan filem pendek kerana ia selalunya dilakukan pada hujung minggu bersama rakan-rakan. Nyata, ia lebih menyeronokkan daripada menghasilkan filem panjang," katanya.

Sementara itu, bagi penggemar hiburan berbentuk pengembaraan menyeronokkan, usah lupa berkunjung ke Genting Highlands Kota Keriangan apabila Taman Tema Tertutup di pusat peranginan berkenaan kini membawakan dua judul filem baru dalam bentuk 4D untuk hiburan orang ramai.

Dua filem yang ditayangkan di 4D Motion Master itu ialah The Adventures Of Jett & Jin serta Monsters Of The Deep. Ia mula menemui penonton sempena sambutan Tahun Baru Cina.

The Adventures of Jett & Jin ialah pengembaraan selama lapan minit dua watak utamanya yang berusaha mencari jalan paling pendek daripada langit ke bilik darjah. Sertai Jett, seorang budak lelaki yang mempunyai imaginasi tinggi, serta kucing kesayangannya, Jin apabila mereka menunggang kenderaan ciptaan sendiri untuk ke sekolah.

Jika anda berasakan Jerung Putih ialah makhluk paling menakutkan di laut dalam, nampaknya ada sesuatu yang tidak kena pada anda. Cuba kenakan pakaian selam anda dan bersama-sama filem Monsters Of The Deep, anda akan mengikuti penjelajahan mengenali beberapa makhluk laut gergasi di dasar.

Namun, sudah tentu tidak kesemua makhluk berkenaan mengerikan. Seekor penyu hijau yang mempunyai susur-galur 75 juta tahun keturunannya, akan mengetuai rombongan selam anda bagi menyaksikan kehidupan lebih 20 jenis raksasa laut dalam bentuk 4D yang mengagumkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: