Thursday, January 29, 2009

Asyik FM anjur Fiesta Jis Pai 31 Januari



ANI Mayuni akan turut memeriahkan Fiesta Jis Pai di Tapah, Perak.

SEKALI lagi Asyik FM dengan kerjasama Yayasan Orang Asli Perak Berhad (YOAP Bhd) menganjurkan Fiesta Sambutan Jis Pai 2009 (dalam bahasa Semai) atau Fiesta Sambutan Tahun Baru 2009 pada 31 Januari ini, bertempat di Padang TNB, Batu 7 Kuala Woh, Tapah, Perak.

Kali ini Fiesta Jis Pai 2009 yang disambut oleh masyarakat Orang Asli di negeri Perak membawa tema utama Perpaduan Melalui Kebudayaan.

Pihak penganjur berharap, Fiesta Jis Pai akan menjadi antara produk pelancongan yang dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri itu sambil menikmati kepelbagaian budaya yang ada di negara kita.

Perayaan Jis Pai disambut suku kaum Orang Asli di negeri Perak sepanjang Januari sehingga Mac setiap tahun. Perayaan ini lebih memberi gambaran terhadap hidup bermasyarakat suku kaum Orang Asli yang mengutamakan muafakat dan bercirikan hidup berkongsi satu budaya.

Matlamat utama dalam sambutan Jis Pai adalah untuk melahirkan rasa kesyukuran atas kurniaan yang dianugerahkan Allah pada sepanjang tahun.

Sambutan Jis Pai ialah amalan turun-temurun. Pada hari berkenaan mereka mengadakan rumah terbuka, beramah mesra dan menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah dengan hidangan lazat. Selain itu, pada malamnya pula, tetamu akan diraikan dengan majlis tari-menari yang memperlihatkan keunikan masyarakat Orang Asli di negeri Perak ketika menyambut perayaan terbabit.

Amalan yang dulunya diisi dengan majlis tari- menari seperti tarian sewang, kini diambil alih oleh persembahan ‘live band’ atau persembahan kugiran di tapak fiesta.

Sudah menjadi kebiasaan, menu utama perayaan ialah hidangan lemang pulut dengan beraneka jenis lauk-pauk dan kuih-muih.

Pada hari itu, pelbagai acara atau aktiviti akan diadakan dari pagi hingga larut malam. Antaranya ialah pertandingan bola sepak tujuh sebelah dan bola jaring, pameran kraftangan, demonstrasi masakan tradisional dan jualan kraftangan Orang Asli.

Sebelah malam, Asyik FM memeriahkan sambutan unik ini dengan penganjuran Malam Gerenti Asyik dengan barisan artis yang bakal menggamatkan Fiesta Jis Pai 2009.

1 comment:

  1. Minat dengan lagu suku kaum jahut..xtau lagu apa..tp memang rock habis..boleh saya dapatkan lagunya..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: