Friday, January 23, 2009

TV3 cuit penonton dengan Senda Pagi

JADUAL pagi penonton TV3 tentunya lebih ceria dengan slot terbaru, 'Senda Pagi', platform terbaik kepada penonton untuk berhibur selain mendapatkan informasi dalam gaya penyampaian bersahaja, pelbagai topik semasa dibincangkan diselitkan dengan isu keluarga dan rumahtangga.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, idea untuk menghasilkan slot baru datang setelah ‘board team’ mengadakan perbincangan dan mereka rasakan tajuk Senda Pagi bersesuai dengan sesuatu yang santai.

“Setelah 25 tahun bersiaran, pihak kami mengambil langkah yang lebih efisyen dengan memperkenalkan slot Senda Pagi untuk menarik lebih ramai penonton di waktu tayangan pagi.

“Kini, pihak kami tidak hanya membekalkan program-program bermutu di waktu perdana sahaja, malah setiap waktu merupakan saat penting untuk dikongsi bersama penonton,” kata Nurul Aini ketika majlis pelancaran slot Senda Pagi di Capital Studio, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain melihat celoteh pengacara menerusi Apa-Apa Aje, aksi lucu kehidupan di dalam drama Berek, penonton juga berpeluang memiliki hadiah istimewa yang ditawarkan di dalam ‘gameshow’ Ewah-Ewah.

Apa-Apa Aje dengan suntikan baru

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar (lima dari kanan), bersama krew TV3, tenaga produksi dan barisan artis yang terlibat dalam slot Senda Pagi. foto The Star oleh RICKY LAI

Bermula tahun 2009, musim kelima Apa-Apa Aje memperkenalkan gabungan pengacara baru, Amy Mastura dan Shamsul Ghau Ghau untuk menggamatkan suasana pagi penonton pada setiap hari Isnin dan Khamis, pukul 10 pagi.

Objektif musim baru ini ialah untuk menarik minat lebih ramai penonton dan menggalakkan penyertaan daripada mereka.

Apa-Apa Aje masih mengekalkan konsepnya iaitu diskusi mengenai perbezaan pendapat antara lelaki dan wanita serta menyelitkan unsur-unsur spontan, elemen kejutan, audio visual ceria, faktor ‘pedas’ dan segmen sponsor.

Ujar Penerbit Apa-Apa Aje, Che Rozaini Ahmad, kali ini program tersebut memberikan suntikan baru iaitu penambahan sesi menggunakan lokasi luar melibatkan pengacara Din Beramboi, Danny x Factor dan Intan Suraya.

Pada hari Isnin, Apa-Apa Aje akan dimulakan dengan segmen Kickstart yang dikendalikan oleh Din Beramboi dengan mengadakan aktiviti seperti aerobik dan ‘line-dance’ di studio.

Juga dipaparkan beberapa tip membeli-belah dan produk kecantikan terbaru di pasaran melalui segmen ‘Jamilah Jakiman Beauty’ (JJ Beauty).

Segmen AAA Panas memberi peluang kepada penonton di studio menyertai ‘Battle of The Sexes’ yang pastinya menggamatkan studio.

Selain itu, segmen Dari Dapur akan menyiarkan demo masakan secara langsung. Juga diadakan segmen Cuaca AAA yang dikendalikan oleh Din Beramboi yang mencuit hati.

Pada hari Khamis, Apa-Apa Aje dimulakan dengan segmen Tanya Si Kecil di mana penonton akan dihiburkan dengan celoteh adik cilik bersama Danny X Factor. Juga audio visual keletah anak-anak yang dihantar oleh penonton di rumah.

Raja Azura (Ewah-Ewah) dan Shamsul Ghau Ghau (Apa-Apa Aje) merupakan antara pengacara yang terlibat dalam salah satu program slot Senda Pagi.

Seterusnya, Che AAA akan membawa penonton mengunjungi ke tempat-tempat menarik untuk membeli-belah dan bercuti.

Segmen siapa hebat tentunya mengundang gelak tawa apabila peserta lelaki dan perempuan akan bertanding melalui permainan ringkas.

Hari Khamis turut memaparkan segmen-segmen seperti Sana-Sini iaitu menghebahkan mengenai majlis yang berlangsung di sekitar Kuala Lumpur, segmen 'Fillers' pula menampilkan Din Beramboi manakala Gosip JJ mendedahkan gosip-gosip terkini.

“Disebabkan terdapat pelbagai segmen di dalam program ini, kita telah mengurangkan masa untuk hos mengacarakannya. Oleh itu, kuranglah juga masa untuk mereka ‘bertekak’,” kata Che Rozaini.

Beliau juga menafikan pertukaran pengacara dan pelakon Sheila Rusly dengan Amy Mastura disebabkan masalah dalaman.

“Kami perlukan perubahan sebab program ini sudah bersiaran selama lima tahun. Konsep kali ini lebih sesuai dengan hos yang dipilih.

“Kami memilih Amy kerana beliau merupakan seorang artis dan ‘fit’. Kami rasakan Amy paling layak antara lima orang yang menghadiri ujibakat untuk bergelar hos Apa-Apa Aje sebelum ini.

“Sheila tidak mempunyai apa-apa perselisihan faham dengan kami. Lagipun, sebelum Shamsul pun, hos lelaki pertamanya adalah Azlee,” ulas Che Rozaini lagi.

Ewah-Ewah berkonsepkan ‘variety gameshow

Salah sebuah 'gameshow', Cabaran Blue Screen yang menarik di dalam Ewah-Ewah.

Ewah-Ewah, rancangan berkonsepkan ‘variety gameshow’ sebanyak 13 episod akan mula bersiaran pada 2 Februari ini, setiap hari Isnin hingga Rabu, pukul 11 pagi.

Program yang menampilkan barisan artis terkenal tanah air bergandingan bersama peserta yang terpilih melalui saringan uji bakat ini diterajui oleh dua pengacara berbakat iaitu Nabil dan Raja Azura.

Pelbagai permainan yang disediakan di dalam program Ewah-Ewah ini seperti permainan fizikal, kuiz menguji minda dan diselangi dengan persembahan nyanyian daripada artis terkenal tanah air serta gimik-gimik persembahan yang pasti membuatkan pagi anda lebih ceria daripada biasa.

Setiap episod, tiga kumpulan yang terdiri daripada artis dan orang awam akan bergabung dan bertanding di antara satu sama lain.

Segmen 1 akan dimulakan dengan persembahan pembukaan dari artis jemputan diikuti dengan Permainan Pusingan 1, Cabaran Penonton, Permainan Pusingan 2, Pusingan Bonus dan Persembahan Penutup.

Pelbagai jenis permainan yang dipertandingkan ialah Cabaran Fizikal seperti penyepit gergasi, tiup bola, pecah belon, Cabaran Mental seperti permainan memori, ejaan, bina ayat dan Cabaran Blue Screen di mana peserta akan meniru gaya yang terdapat di skrin tersebut.

Kata Nurul Aini, program Ewah-Ewah diterbitkan setelah pertama kali diperkenalkan ketika siaran Aidilfitri lalu.

Barisan pelakon drama komedi ringan Berek.

“Pencapaian dan maklumbalas yang memberangsangkan mendorong kepada penerbitan rancangan Ewah-Ewah ini dengan pengisian yang lebih mantap untuk memenuhi kehendak penonton,” jelasnya.

Berek- drama ringan tentang isteri polis

Tambah Nurul Aini, Berek merupakan drama ringan yang mampu membuatkan kaum wanita terhibur dengan telatah lucu isteri-isteri polis yang menjalani kehidupan di Berek.

“Namun, ianya bukan sekadar hiburan tetapi mempunyai teladan yang boleh diambilkira oleh semua lapisan masyarakat disebalik insiden yang dipaparkan,” ujarnya.

Ikuti Berek lakonan Sharifah Shahira, Ani Mayuni, Hamidah Wahab, Norseha, Keifli, Roy Azman dan ramai lagi sebanyak 13 episod yang akan mula bersiaran pada 29 Januari ini, setiap Khamis, pukul 11 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: