NAMANYA di pentas lakonan agak kurang dikenali namun bakat lakonan aktres berwajah ala Cina ini wajar diberi pujian. Biarpun baru berlakon filem buat kali pertama, pelakon Sabrina Hassan ternyata bijak membawakan watak Farah dalam filem Maut dengan baik.
Lakonan berkesannya sebagai Farah dalam filem terbabit membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah gerangan wanita jelita ini.
Ketika diajukan soalan terbabit kepada empunya diri, Sabrina hanya tersenyum lebar.
“Sebenarnya saya dah lama berlakon, kalau orang tengok drama bersiri Dinasti Bilut mesti ingat wajah saya dalam drama tersebut. Mungkin sebab saya jarang berlakon sebab tu orang ingat saya ni pelakon baru,” ujar Sabrina memulakan bicara.
Menceritakan mengenai pembabitannya secara serius dalam dunia lakonan, Sabrina berkata segalanya bermula dengan drama Ika pada 2002 dan diikuti beberapa lagi siri komedi dan telefilem termasuklah Agensi Melor.
Pasti ramai yang tidak tahu, Sabrina memulakan kerjaya seninya sebagai pelakon bermula di pentas teater lagi.
“Sudah hampir sepuluh tahun saya terlibat dalam teater dan saya memulakan kerjaya saya sebagai pelakon teater dan lewat kebelakangan ini saya sudah terlibat sebagai pengarah di pentas teater di negara ini,” katanya ceria.
Antara pementasan yang pernah dijayakannya adalah teater muzikal Rubiah, Broadaway Paradieslah, teater muzikal Puteri Gunung Ledang malah menonjolkan bakat sebagai pengarah menerusi teater muzikal remaja, Jalan Impian.
Bagi anak kepada pelakon veteran terkenal Ahmad Tamimi Siregar ini dia lebih suka dikenali kerana bakat berbanding paras rupa semata-mata.
“Saya memang macam ni lebih suka bersikap low profiledan tak suka publisiti murahan,” katanya.
Teruja bekerja dengan Bade
Menceritakan pengalamannya bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Bade Hj Azmi dalam filem Maut, Sabrina nyata teruja dengan watak serta jalan cerita filem terbabit.
“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Abg Bade, sebab dalam drama Dinasti Bilut saya sudah bekerjasama dengannya.
“Saya suka bekeja dibawah Abg Bade, dia seorang pengarah yang sangat membantu para pelakon. Dalam masa yang sama dia juga suka memberi tips-tips yang akan membuatkan kita senang melakonkan karekter seperti yang dikehendakinya.
“Dia bukan seorang pengarah yang hanya tahu mengarah sahaja. Dia akan bimbing kita jadi pelakon yang baik,” ujar Sabrina.
Tidak fikir soal kontroversi
Begitupun, bagi orang baru sepertinya, watak kontroversi seperti Farah, seorang wanita yang sosial dan memaparkan babak-babak ‘panas’ dalam filem Maut dilihat mampu mencetuskan cerita kurang enak.
Namun, kerana menggalas tugas dan kepercayaan diberikan pengarah, dia tetap perlu menjiwai watak berkenaan.
“Watak seorang gadis yang dipenuhi dengan dosa-dosa besar apabila sering terjebak dalam masalah sosial dan gaya hidup yang terlalu bebas adalah watak yang sukar buat saya. Begitupun, sebagai pelakon baru, saya harus mencubanya.
“Sebenarnya, ketika mula membaca skrip yang diberikan, tidak pernah terlintas di fikiran saya mengenai kontroversi atau sebagainya. Apa yang penting bagi saya adalah mutu persembahan itu nanti.
“Walau apapun hakikatnya, saya hanya mahu mesej yang dibawa watak berkenaan berjaya disampaikan dengan baik,” katanya.
Bagi pelakon teater ini, penghayatan watak adalah penting bagi seseorang pelakon. Meskipun Maut adalah landasan untuknya dalam dunia lakonan, Sabrina terus memberanikan diri mencuba watak berkenaan.
Bahagia dengan Zara
Melihat kepada susuk tubuhnya pasti ramai yang tidak menyangka Sabrina sebenarnya sudah mempunyai anak yang berusia setahun setengah.
“Kenapa ramai ke orang ingat saya belum kahwin?,” katanya dalam nada ketawa.
Menurut Sabrina, ramai wartawan yang mengemukakan soalan sedemikian, namun hakikatnya dia sudah pun bergelar ibu kepada seorang puteri, Zara Safeena.
“Alahamdulillah puteri saya ni semakin keletah dan suka diberi perhatian. Kalau ditinggalkan pasti dia akan merengek.
“Kadang-kadang itu suami saya, bawa dia masa saya sibuk dengan latihan teater. Lagi pun sejak kecil lagi dia dah dibawa untuk melihat saya berlakon,” ujar isteri kepada Mohamed Feizal ini.
Tambahnya lagi, kehadiran Zara sememangnya membawa sinar bukan hanya kepada dia dan suaminya malah kepada kedua ibu bapanya lama dinantikan.
Arahkan teater amal
Sibuk dengan promosi filem pertamanya Maut tidak melunturkan semangat wanita kelahiran Kuala Lumpur ini terus bergiat aktif di pentas teater.
Terbaru Sabrina bakal mengarahkan teater muzikal amal berbahasa Inggeris berjudul DanSing Thru Broadway.
“DanSing Thru Broadway adalah pementasan amal kami yang kelima bertujuan mengutip sebanyak mana dana untuk disumbangkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Istimewa (PKKI), Hulu Langat.
“Pendekatan seperti ini kini menjadi tarikan kepada pertubuhan teater amal yang berniat murni membantu badan kebajikan menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.
Sebanyak 20 lagu yang ditampilkan dalam teater ini diadaptasi daripada lagu popular seperti muzikal Hello Dolly, Miss Saigon, Annie, A Chorus Line, Oliver, My Fair Lady dan banyak lagi.
Teater ini bakal dipentaskan pada 19 hingga 21 Februari di Audiotorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Ia dibarisi pelakon seperti Aidil (AF), Peter Ong, Radhi Khalid, Doreen Tang, Tria, Ho Soon Yoon, Nicole-Anne Thomas, Brian Mac, Sabrina Hassan, Johan Yusof serta penari Sayang Dancers dan Sayang Junior Dancers.
Bagi Sabrina masyarakat sudah mula menerima teater seperti ini memandangkan corak persembahan yang bukan saja memberi mesej kepada masyarakat malah unsur hiburan yang diketengahkan mudah mendekati jiwa penonton.
“Kepuasan menonton teater bukan saja bergantung kepada pelakon utamanya tetapi garapan kemas yang membabitkan pelakon, penari, muzik, set, kostum, skrip dan sebagainya.
“Bagi teater muzikal sudah tentu muzik, tarian dan lakonan yang dapat diseragamkan kemas menjadi kejayaan pementasan sebegini, sebab itu kami memilih muzikal untuk dipentaskan," katanya yang turut mendapat kerjasama daripada Helen Yap sebagai pengarah muzik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: