Thursday, January 15, 2009

Tudung bukan halangan


WALAUPUN mengenakan imej bertudung, ia bukan halangan buat Siti Zulaikha Mazlan berkecimpung dalam bidang peragaan. Hasilnya, gadis berusia 18 tahun ini berjaya menjuarai pertandingan Mini Personaliti Gadis Metro sempena Jomheboh di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Zulaikha, dia percaya dengan keterbukaan masyarakat menerima gadis bertudung sebagai model di pentas mahupun iklan. Senario kini menyaksikan makin ramai model bertudung mula mendapat tempat dalam bidang glamor ini.

Biarpun kemunculan model bertudung mencetuskan persoalan dari aspek agama tetapi Zulaikha mempertahankan masih ada batasan agama yang mengawal tingkah laku.

"Sejak di tingkatan satu lagi saya berminat mengasah bakat seni dalam diri sama ada nyanyian mahupun peragaan. Saya pernah mencuba nasib dalam pertandingan Bintang Kecil anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Selepas tamat belajar sekolah menengah, saya berhasrat mahu meneruskan minat seni ini secara lebih serius. Tidak sangka saya menang menerusi pertandingan Mini Personaliti Gadis Metro anjuran akhbar harian bahasa Malaysia nombor satu negara ini.

"Jika boleh, selepas ini saya mahu aktif dengan agensi peragaan. Saya lihat sudah ramai model bertudung tampil memperagakan busana muslimah dan berharap lebih banyak peluang diberikan pada model bertudung.

"Justeru, pertandingan seperti ini sepatutnya diteruskan pada masa akan datang kerana ini adalah salah satu cara untuk mencungkil bakat model baru," katanya.

Atas kemenangan sebagai juara, Zulaikha membawa pulang hadiah RM150. Tempat kedua dimenangi Nor Shapila Abdullah dengan hadiah RM100 manakala tempat ketiga, Nur Mas Affira Abdul Rahim (RM50).

Peserta diadili personaliti televisyen, Wan Anita Banun Salleh dan turut menaja hadiah sampingan kepada pemenang berupa produk Pesona Anita iaitu kopi nikmat perawan, jus rozel kolegen, teh misai kucing, teh mas cotek dan minyak kelapa dara serta kad keahlian percuma yang memberi diskaun pada ahli membeli produk berkenaan.

Wan Anita berkata, kriteria memilih pemenang berdasarkan empat aspek utama iaitu penampilan, kreativiti, bakat dan komunikasi. Pada pertandingan ini, setiap peserta bebas membuat persembahan sama ada catwalk mahupun berlakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: