| AKTOR kacak dan berbakat, Keanu Reeves pernah membintangi pelbagai watak mencabar sebelum ini. Menerusi filem Speed pada 1994, Reeves melakonkan watak pegawai polis, Jack Traven yang berhadapan dengan risiko menyelamat penumpang bas yang hampir maut dalam satu letupan. |
Berbeza sebagai Neo menerusi filem trilogi Matrix, Reeves memiliki kuasa luar biasa yang mampu menyelamatkan manusia dari pengaruh komputer.
Namun dalam filem terbarunya, The Day The Earth Stood Still, Reeves bertukar watak menjadi makhluk asing iaitu Klaatu. Jika makhluk asing dalam filem sebelum ini mempunyai motif jahat untuk memusnahkan bumi, sebaliknya watak lakonan Reeves bertindak menyelamatkan penduduk bumi dari kemusnahan.
Filem genre sains fiksyen ini yang mula ditayangkan di Amerika Syarikat sejak lapan minggu lalu hanya berjaya mencatat kutipan RM251.6 juta (AS$74 juta).
Walaupun kutipan filem ini masih belum mampu menampung kembali kos pembikinan RM272 juta (AS$80 juta) tetapi kejayaan awal filem ini didorong dengan lakonan hebat Reeves. Dalam filem ini, Reeves turut bergandingan bersama Jennifer Connelly, Kathy Bates dan Jaden Smith.
Kata Reeves, filem ini bukan sekadar filem sains fiksyen biasa yang ingin dikongsi bersama penonton sebaliknya mengajak penonton untuk berfikir mengenai kemusnahan bumi yang berpunca daripada manusia.
Bagaimanapun, untuk dua filem baru lakonannya termasuk Street Kings yang menampilkan Reeves kembali memainkan watak pegawai polis, masih kurang membantu pencapaian kariernya pada tahun lalu.
Malah Reeves antara calon yang dikategori untuk Aktor Terburuk pada majlis Anugerah Razzie ke-29 yang akan berlangsung pada 21 Februari ini. Aktor lain yang turut disenaraikan adalah Zac Efron, Dane Cook, Eddie Murphy, Al Pacino, Sylvester Stallone, Tom Cruise, Will Ferrell, Ashton Kutcher, Mike Myers, Adam Sandler dan Mark Wahlberg.
Untuk kategori wanita pula menyaksikan calon seperti Paris Hilton, Jessica Alba, Camilla Belle, Cameron Diaz, Kate Hudson, Diane Keaton, Jennifer Connelly, Zooey Deschanel, Vanessa Hudgens, Eva Longoria-Parker dan Reese Witherspoon.
Reeves, 44, dikritik memberi persembahan terburuk pada tahun lalu menerusi filem The Day The Earth Stood Still yang juga dicalonkan untuk kategori filem terburuk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: