Thursday, January 8, 2009

Tini Pilih 22 Februari


SETAHUN berjauhan dengan buah hatinya dan tatkala itu dia pasrah andai si jejaka mula berubah hati atau sudah tidak mampu bertahan dengan keadaan yang memisahkan mereka.

Baginya, apa yang lebih penting dia perlu melengkapkan pengajiannya peringkat Sarjana Kewartawanan Televisyen di University of London sebaik mungkin kerana pelajaran adalah jaminan masa depan.

Namun, setahun yang cukup menguji tidak sedikit pun merubah hati si dia malah saban hari hubungan yang terjalin sebagai sahabat pada mulanya kian intim dan membuahkan rasa cinta mendalam.

"Kami sering berhubung menerusi telefon, e-mel dan chatting. Walaupun berjauhan dia tetap mengambil berat sama seperti sebelumnya, ketika saya masih berada di Kuala Lumpur," kata penyampai Hot FM, Kartini Kamarul Ariffin (Tini), 30.

Kesetiaan, Nur Sulhi Jasmin (Sol), 28, itu menambat hatinya, lalu sekembali Tini ke tanah air sekitar Ogos 2007, mereka mula memikirkan secara serius ke mana akhirnya arah tujuan percintaan itu.

"Memandangkan ada keserasian dan saling memahami, kami mengambil keputusan berkahwin. Syukur, keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan ini dan tidak menghalang niat baik kami.

"2009 adalah tahun yang paling sesuai memandangkan tahun lalu saya tidak sempat merancang apa-apa kerana fokus dan keutamaan adalah pada Hot FM," katanya.

Penyampai Menu Muzik Hot FM yang ke udara Isnin hingga Jumaat dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang ini memilih 22 Februari 2009 untuk mengakhiri zaman gadisnya.

Majlis pernikahan akan diadakan pada waktu pagi dan disusuli majlis persandingan (tengah hari) apabila kedua-dua upacara itu akan dilangsungkan di Dewan Perdana Felda. Manakala majlis resepsi sebelah lelaki pula diadakan 28 Februari di Kota Tinggi, Johor.

Tini mengimpikan sebuah majlis perkahwinan ringkas namun praktikal serta memberi keselesaan kepada semua tetamu. Tanpa melupakan adat budaya orang Melayu, harapan Tini agar majlis itu meninggalkan kenangan manis kepada setiap orang.



Menyingkap detik perkenalan, Tini mengenali jejaka itu sekitar 2006 ketika terbabit dalam satu tugasan sebuah program hiburan terbitan TV3. Mengenai usia pemuda itu yang dua tahun lebih muda daripadanya juga bukan masalah bagi Tini.



"Dia orang dalam industri juga dan terbabit dalam acara pengurusan pentas. Kami kenal sewaktu sedang bekerja. Mengenai perbezaan usia, saya tidak melihat ia sebagai satu isu, yang penting dia matang.

"Memanglah kalau boleh, sebagai perempuan mengharapkan pasangan kita itu lebih berusia daripada umur kita tapi kalau jodoh hendak buat macam mana? Walaupun dua tahun lebih muda, saya rasa dia lebih matang kerana seorang yang penyabar dan tenang sementara saya ini agak baran," katanya.

Bercerita mengenai perancangan untuk 2009, selain berusaha memantapkan Hot FM dengan menyediakan wadah terbaik, Tini yang turut mengendalikan segmen English Chart Show (20 lagu terbaik antarabangsa) bersama Leya di Hot FM, dia akan kembali mengacara program 3R musim ke-14 yang tampil dengan pelbagai kelainan serta isu lebih hangat.

Mengembangkan lagi bakat mengacara, Tini mengintai peluang untuk mengendalikan bercorak travelogue yang lari daripada kebiasaan program kendaliannya.

Meminati program 'Travel & Living', Tini cukup tertarik dengan konsep program itu yang memaparkan pelbagai tempat menarik, keunikan budaya serta makanan tradisi sesebuah masyarakat.

"Tidak hanya mensasarkan program berbentuk dokumentari, untuk 2009 juga saya akan membabitkan diri secara serius dalam bidang penulisan skrip. Sebelum ini saya pernah menyumbang idea untuk program seperti 3R, bagaimanapun, kali ini saya menulis skrip untuk drama TV.

"Proses itu sudah dimulakan dan saya mengharapkan percubaan ini berjaya lantas membuka laluan untuk terus bergiat secara aktif. Insya-Allah, jika ada keizinan daripada-Nya saya juga merancang menerbitkan program sendiri," katanya.



>Profil

Nama: Kartini Kamalul Ariffin

Panggilan: Tini

Tarikh lahir: 24 Oktober 1978

Asal: Petaling Jaya

Hobi: Bersukan, futsal dan termenung ingat nasib!

Siri TV / Drama / Filem: 3R (Respect, Relax, Response, Prelude Kemuncak AIM Ke 15, Gol & Gincu

Penyanyi pujaan: Mariah Carey, Dewa 19, Ning Baizura, Anuar Zain

Siri TV kegemaran: America's Next Top Model & Travel & Living Channel

Filem kegemaran: Gol & Gincu dan Cinta

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: