|
| NAMANYA meniti di bibir peminat pada era 1980-an. Siapa tidak kenal Ibnor Riza, penyanyi berkulit hitam manis yang cukup popular menerusi lagu Meneka Dalam Kesamaran, Berdirinya Seorang Perindu dan Mimpi Tak Sudah pada zaman kegemilangannya dulu?. |
Selepas 23 tahun bergelar anak seni, Ibnor, 47, bapa kepada seorang anak perempuan ini masih gigih berkarya.
Tanpa publisiti meluas pun, satu demi satu album penuh dan kompilasi dihasilkannya khusus buat pengikut setia. Ternyata, nama penyanyi ini tetap utuh di hati pengikutnya kerana semua bingkisan 13 albumnya mendapat sambutan menggalakkan dari peminatnya sejak dulu.
Terus terang, kata Ibnor, dia tidak merasai keperitan kegawatan pasaran album dan ekonomi global yang membimbangkan semua orang ketika ini.
"Siapa kata album tidak boleh jual sekarang? Kegawatan ekonomi sepatutnya menjadikan kita lebih produktif menghasilkan album.
"Apa yang penting, penyanyi itu masih ada pengikut setia yang menyokongnya dari belakang. Hanya syarikat rakaman yang sering buat kenyataan sedemikian kerana mereka perlu menampung kos hiburan.
"Sebab itu, selepas tamat kontrak dengan syarikat rakaman Sony BMG Music Entertainment, setahun lalu, saya memutuskan bergerak sendiri dengan penubuhan syarikat, Kris Entertainment Sdn Bhd (KESB).
"Saya tubuhkan syarikat ini bersama teman rapat untuk melihat sejauh mana penjualan album terjejas ketika kegawatan ekonomi seperti diuar-uarkan ramai pihak," katanya.
Ibnor berkata, dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi, album penuhnya itu mendapat sambutan dari peminat nanti.
"Saya cari makan dalam bidang seni dan bersyukur kepada Tuhan kerana tiada cerita buruk dikaitkan dengan saya sepanjang pembabitan dalam bidang nyanyian.
"Setakat ini, semua album saya dapat dijual dengan baik. Sebab itu, saya sanggup keluar bajet sendiri untuk bikin album baru.
"Pada pandangan saya, album artis yang tidak dapat dijual sebab ramai peminat mereka yang tidak dapat album itu. Cuma yang tidak boleh nak dielakkan ialah masalah lanun cetak rompak.
"Selain album, undangan untuk menjayakan persembahan pentas tidak pernah putus di serata tanah air," katanya.
Jika artis lain malu untuk turun padang untuk menjual sendiri album mereka, Ibnor pula tidak kisah untuk berbuat demikian.
Bagi penyanyi berpengalaman ini, tiada apa yang nak dimalukan.
"Saya berasa bangga dapat jual album sendiri secara terus kepada peminat. Ia lebih mendekatkan saya dengan peminat yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang.
"Setiap kali jayakan mana-mana persembahan, saya akan bawa album baru sekali untuk diberikan kepada peminat dan selalunya ia kehabisan. Sambutan peminat memang di luar dugaan.
"Selain itu, stesen radio juga memainkan peranan penting untuk memutarkan lagu artis lama kerana bimbang peminat akan lupa pula nanti," katanya.
Apapun sikap tidak 'demand' dengan penganjur persembahan banyak membantu Ibnor untuk terus bertahan di persada muzik tanah air.
"Bukan cara saya untuk meletakkan harga yang tinggi untuk jayakan persembahan. Selain itu, saya juga suka berbincang dengan penganjur persembahan mengenai bajet mereka. Kalau mereka tidak mampu untuk membayar pada harga yang saya minta, saya tidak ada masalah untuk bertolak ansur dengan mereka," katanya.
Dalam pertemuan dengan Rap di Balai Berita di sini, baru-baru ini, Ibnor hadir dengan ditemani pengurusnya, Mohd Noor Ariffin
Dia juga tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya tampil dengan bingkisan album ke-14 berjudul Senandungku terbitan KESB.
"Sudah sepuluh tahun saya tidak muncul dengan album penuh selepas album terakhir pada 1994.
Penting bagi seorang penyanyi untuk muncul dengan album baru bagi memastikan dia sentiasa dihati peminat.
"Saya sendiri sering ditanya peminat mengenai album baru setiap kali buat persembahan? Takkanlah, saya nak menyanyi lagu lama saja? .
"Ramai penyanyi yang tampil dengan single sekarang tapi bagi saya tiada bezapun antara buat single dan album penuh.
"Daripada buat single, lebih baik saya buat album penuh saja kerana kepuasannya lebih," katanya.
Bercerita lanjut mengenai proses pembikinan album barunya itu, Ibnor berkata, proses pengumpulan materialnya dimulakan sejak awal 2007.
"Banyak cabaran dihadapi dalam pembikinan album ini kerana saya terpaksa membahagikan masa antara proses rakaman dan undangan persembahan.
"Saya terpaksa berjumpa setiap seorang dari komposer ternama yang terbabit dalam album ini kerana inginkan hasilnya berbaloi.
Contohnya, komposer Adam Ahmad yang sudah lama menyepikan diri kembali bekerjasama dalam album ini.
"Mungkin orang kata ini 'album rojak' tapi pada pemerhatian saya, ia album yang menepati selera peminat golongan muda dan tua.
"Kekuatan album itu ialah berkonsep variasi kerana ada lagu pop, jazz, latin, ballad, rock dan asli. Industri muzik memang beralih alih tapi melodinya tetap sama. Keindahan lagu juga terletak pada melodinya.
"Lagu yang menjadi sasaran saya pada album ini ialah Kini Kau Pergi (lagu/lirik Adam Ahmad), Dusta (lagu Ibnor/lirik Shahril) dan Kembali Seorang Perindu (Mat Din/Ilham Fansuri)," katanya.
Lagu lain ialah Rajuk Kasih (Mat Din/Ilham Fansuri), Kaca Dalam Permata (M.Nasir/Tapai), Senandungku Untukmu (Adam Ahmad), Pelangi Rindu (Mat Din/S Dino), Seribu Penyesalan, Sejuta Keinsafan (Ibnor Riza), Sepi (Ibnor/Ilham Fansuri), Restu Naluri Mu (Adam Ahmad).
Berkongsi cerita peribadinya pula, hasil perkongsian hidup dengan warga Brunei Darussalam, Dayang Norhayati Mohd Nor, 42, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Norizah, 17, yang juga mengikut jejak bapanya menjadi anak seni.
"Isteri dan anak tunggal saya menetap di Brunei dan mereka selesa dengan kehidupan di sana. Anak saya juga menjadi penyanyi dan sudah menghasilkan lima album di negara berkenaan.
"Saya pula sanggup berulang-alik dari Brunei ke Kuala Lumpur setiap kali ada undangan persembahan demi cinta mendalam pada bidang nyanyian. Malah, saya juga mempunyai rumah sendiri di Kuala Lumpur," katanya.
Sebelum bergelar penyanyi, Ibnor pernah bekerja sebagai Pegawai Kebudayaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 13 tahun sejak 1980.
Dia pernah menetap di Brunei selama dua tahun pada 1996 untuk mencuba nasib di sana. Bagaimanapun, dia hanya sempat menjadi penyampai radio selama dua tahun sebelum berhenti dan meneruskan kerjaya nyanyiannya.
Antara album pernah dihasilkannya ialah Meneka Dalam Kesamaran (1987), Berdirinya Seorang Perindu (1988), Sudah Terluka Merindu Pula (1990), Rahsia Ukiran Duka, album kompilasi The Best Of Ibnor Riza dan Keronsang Jiwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: