|
|
ANDAI diputar kembali waktu, Sheera tidak mahu mempersia-siakan masa bersama adik kandungnya. Namun, nasi sudah menjadi bubur, usahkan bersantai malah selama dua tahun hayat adiknya dikandung badan, Sheera tidak berpeluang berjumpa adiknya itu sehinggalah dia terkorban dalam kebakaran, Khamis lalu. |
“Saya rasa terkilan sangat sebaik diberitahu adik saya meninggal dunia. Perasaan kesal tidak dapat saya sembunyikan kerana selama dua tahun hayatnya ada, saya tidak pernah menatap wajahnya.
“Barulah saya sedar kerana sibuk shooting, saya terlepas pandang betapa pentingnya ikatan sesama adik-beradik. Saya reda dengan takdir dan percaya Allah lebih menyayangi adik saya itu,” luah pelakon Tengku Shaheera (Sheera) Illani, 23, yang baru kehilangan adiknya, Tengku Idris, 2.
Menurut Sheera, berita kematian adiknya itu diketahui melalui ibunya, Aznah Hamid selepas dimaklumkan ayahnya, Tengku Iskandar Tengku Ahmad. Ketika kejadian dia sibuk di lokasi Gerak Khas.
“Ketika kejadian saya sedang shooting di Bukit Tinggi, Pahang. Terkejut saya mendengar kemalangan menimpa adik saya itu. Dalam keadaan tidak keruan itu, saya terus menatap wajah adik saya melalui kiriman MMS daripada ahli keluarga. Lebih sebak melihat berita kematian itu tersiar di akhbar.
“Saya dapat rasakan kesedihan papa dan ahli keluarga saya lain di Kota Bharu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang Khamis lalu, dua sepupu, Tengku Idris Tengku Iskandar, 2, dan Khairul Bariah Wan Illias, 5, ditemui rentung selepas terperangkap dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah di Lorong Pak Da Well, Berek 12, Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menonton televisyen bersama seorang lagi sepupu mereka, Fakrul Razi Khairul Anuar, 6, manakala nenek mereka, Khairul Nisa Merican, 63, dan seorang lagi sepupu mereka berada di tingkat bawah.
Bagaimanapun, Fakrul Razi, nenek serta sepupunya, Qistina Maira, 8, dapat diselamatkan bapa Fakrul Razi, Khairul Anuar Mohd Yusof, 30.
Mayat Tengku Idris dan Khairul Bariah ditemui dalam keadaan berpelukan di atas katil dalam bilik rumah terbabit kira-kira jam 6.30 petang oleh anggota bomba dan penyelamat.
Tiga jentera bersama 35 anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Kota Darul Naim dan Pengkalan Chepa dihantar ke tempat kejadian sebelum dapat mengawal kebakaran 20 minit kemudian.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu.
Ketika kejadian, ayahanda Sheera, Tengku Iskandar berada di Johor menziarahi Sultan Johor, Sultan Iskandar yang dirawat di Hospital Pakar Puteri. Tengku Iskandar yang juga kerabat Sultan Kelantan dan adinda Sultanah Johor, Sultanah Zanariah, menerima panggilan jam 6.30 petang.
Kedua-dua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Langgar di sini selepas solat Jumaat.
Menurut Sheera, tahun lalu dia menemui ayahnya di Kota Bharu selain kakaknya Karen Iskandar, tetapi tidak sempat bertemu dengan adiknya itu.
“Saya tidak lama di sana kerana ziarah papa yang kurang sihat. Walau berlainan ibu, saya tetap menyayangi adik beradik saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: