|
ULANG tahunnya yang ke-36 cukup bermakna kerana bukan saja diraikan keluarga dan sahabat handai, malah butik kafe miliknya turut dilancar bersama. |
Itulah yang dirasai pelakon Umie Aida apabila kakaknya, Erma Fatima dan suami juga pengarah terkenal, Bade Azmi memberi kejutan sempana ulang tahunnya, Sabtu lalu.
Ia turut diserikan dengan kehadiran rakan artis seperti Erra Fazira, Zahida Rafik, Aleeza Kassim, Zarina Zainuddin, Nor Aliah Lee, Ann Abdullah, Ezlynn, Fazura, Raja Farah, Ainul Aishah, Umi Nazeera dan Remy.
Tambah membuatkan Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad Ali terharu ialah pada hari sama turut diadakan majlis pelancaran butik kafe Belicious oleh ibunya, Asmah Ali.
Memeriahkan lagi majlis diadakan pertunjukan fesyen koleksi pakaian yang terdapat di butik cafe terletak di Pusat Perniagaan Emerald, Damansara Perdana itu, persembahan artis dan jualan murah.
Sebahagian hasil jualan diserahkan bagi mengisi tabung bantuan untuk mangsa kekejaman Zionis di Gaza, Palestin.
Namun ada pihak membuat andaian pembukaan Belicious bermakna pelakon utama drama bersiri Kekasihku Seru itu akan mengundurkan diri dari dunia lakonan.
Mungkin Umie mahu menjalani hidup lebih tenang selepas ini sekali gus membolehkan dirinya berkahwin dan menumpukan perhatian pada rumah tangga?
Namun dengan tenang Umie mengakui dia tidak mungkin berkahwin dalam waktu terdekat ini kerana belum mempunyai calon.
“Saya sendiri tidak tahu mengapa. Bukan tidak ada lelaki yang datang mendekati, tetapi hati saya belum lagi terbuka untuk berkahwin.
“Saya anggap apa yang berlaku sebagai dugaan Tuhan walaupun dalam waktu sama hati memang teringin untuk mengakhiri zaman solo.
“Kalau adapun lelaki yang datang, sama ada dia masih muda atau sudah beristeri. Daripada mencari masalah, pada saya lebih baik bersendirian begini,” katanya.
Akui Umie, hendak diikutkan dalam hidupnya sudah mempunyai segala-galanya iaitu kerjaya yang kukuh dan keluarga yang sangat mengambil berat.
“Dua anak bujang saya yang sentiasa berada di sisi dan teman yang sering menggembirakan hati. Melihat daripada situasi itu, saya tidaklah begitu terdesak hendak berkahwin semata-mata kerana mahu mengisi kekosongan hati.
“Kehidupan saya cukup terisi dan bahagia memandangkan mereka yang ada dikeliling tidak pernah membuatkan diri saya berasa sunyi,” katanya.
Mengenai butik kafe Belicouse, kata Umie, ia dibuka bukan sebagai persediaan untuk meninggalkan bidang lakonan sebaliknya mengharapkan ia dapat menyumbang kepada pendapatan seharian.
“Tidak dinafikan dengan adanya butik kafe ini saya dapat menambahkan lagi sumber rezeki kerana seperti yang umum ketahui sebagai pelakon pendapatannya tidak tetap.
“Hendak kata saya mahu meninggalkan terus bidang lakonan ini tidak juga, tetapi sekurang-kurangnya apabila ada sumber pendapatan lain, saya boleh bersikap memilih dengan hanya membintangi drama mahupun filem benar-benar bagus.
“Sejak dulu kalau penonton drama mahupun filem tempatan perasan, saya jarang muncul di kaca televisyen. Sebagai pelakon, pada saya menjaga ‘ekslusif wajah’ penting kerana kalau selalu sangat muncul di kaca televisyen orang akan muak dan lama kelamaan pelakon itu akan hilang.
“Ia berbeza kalau kita muncul sekali sekali, tetapi memberikan impak kepada penonton. Itu lebih bagus dan mampu membuatkan pelakon bertahan lama dalam industri,” katanya.
Selain itu, kata Umie, dia tidak terlalu bimbang mengenai sumber pendapatannya kerana selain butik dia sebelum ini mempunyai beberapa pelaburan hartanah yang memberikan pulangan agak baik.
Tambahan pula sejak menceburi bidang lakonan, Umie berkata dia mengamalkan sikap berjimat cermat dan sering menyimpan wang hasil lakonan.
“Saya jarang bersosial dan kebanyakan masa dihabiskan bersama keluarga di rumah. Jadi kos hidup saya tidaklah terlalu tinggi kerana kalau selalu bersosial saya kena selalu berbelanja untuk membeli itu dan ini. Pada saya ia satu pembaziran.
“Apabila mempunyai wang lebih, saya laburkan dalam bidang perniagaan hartanah dan pulangannya agak besar dan boleh dikatakan lumayan.
“Pada waktu sama, saya tidak menolak bahawa segala yang berlaku adalah rezeki kurniaan Allah. Ini juga rezeki yang harus saya kongsi bersama anak dan keluarga.
“Seperkara saya membuka butik kafe kerana ingin membantu Betty yang sudah lama mengusahakan perniagaan pakaiannya. Saya bangga dengan usahanya yang bermula dengan kecil-kecilan dengan menjual koleksi menerusi Internet.
“Kemudian apabila ada modal sikit, dia menyewa sebahagian ruang di rumah milik Erma Fatima untuk membuka butik.
“Melihat akan kerja kerasnya itu, sebagai kakak saya terpanggil untuk membantu. Alhamdulillah walaupun baru beroperasi dalam masa tujuh bulan ia sudah boleh dianggap berjaya,” katanya
Kata Umie lagi sebagai seorang usahawan muda dia benar-benar berharap sokongan diberikan rakan dan orang ramai terhadap butik diusahakan berterusan dan impiannya agar suatu hari boleh membuka cawangan butik kafe Belicious di pusat beli-belah ternama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: