Wednesday, January 21, 2009

Dua sudah jadi tiga


BELUM sempat berbulan madu, Nuriylia Jailani atau Nieyl, 25, disahkan hamil enam minggu.
Nieyl, bintang yang dilahirkan menerusi program Mentor terbitan TV3, melangsungkan perkahwinan dengan Dazman Shah, 32, pada 25 Oktober lalu.

Begitupun, khabar gembira itu disambut dengan tangan terbuka dengan harapan supaya rezeki kurniaan Allah itu dapat menambahkan sinar bahagia dalam rumah tangga yang baru dibina.

Menurut Nieyl, pada awal kehamilan rahimnya tidak begitu kuat, tetapi selepas mendapat rawatan doktor dan makan ubat kandungannya sudah stabil cuma sekarang dia alahan pada bau makanan.

“Saya tidak tahan bau minyak wangi dan tak boleh memasak terutama menggoreng. Saya juga tidak suka makan ayam goreng dan mual apabila cuba menjamah sesetengah makanan, namun saya cuba makan juga takut perut ‘masuk angin.’

“Mujur Dazman sabar melayan kerenah saya. Selama tiga tahun bertunang, dia faham benar sikap saya. Dia bukanlah lelaki romantik, tetapi sangat penyabar. Sebab itu kasih saya tidak pernah berubah terhadapnya walaupun sudah bergelar penyanyi.

“Sepatutnya kami sudah pergi berbulan madu, tetapi selepas mendapat tahu saya hamil, rancangan itu terpaksa ditangguh dulu. Bagaimanapun, bulan ini (Januari), Dazman terpaksa ke Jerman kerana ada urusan kerja. Oleh itu kami mengambil kesempatan itu untuk berbulan madu sekali. Saya harap kandungan saya tidak apa-apa.

“Pun begitu saya teringin hendak pergi ke UK (United Kingdom). Mungkin selepas balik dari Jerman kami ke UK. Kalau jadi nanti, kami bercuti selama dua minggu. Dalam pada itu aktiviti seni masih diteruskan seperti biasa, tetapi tidak boleh aktif sangat. Hendak ditinggalkan sayang pula kerana tawaran untuk membuat persembahan masih ada.

“Cuma saya terpaksa berhati-hati di pentas, tak boleh lincah sangat. Walaupun sudah ada anak nanti, saya akan tetap menyanyi. Bersusah payah saya menyertai Mentor.

“Takkan apa yang dipelajari selama ini disia-siakan begitu saja. Apatah lagi Dazman tidak pernah menyekat minat saya bahkan dia yang menggalakkan saya masuk Mentor dulu.

“Dazman juga yang memenuhi impian saya untuk menghasilkan album. Dia sanggup mengeluarkan seluruh bajet pembikinan semua lagu. Lima lagu siap dirakamkan.



“Tetapi melihat pasaran yang masih belum pulih, kami keluarkan single dulu satu persatu. Untuk permulaan kami akan keluarkan dua lagu, Dua Hati dan Siul.



“Selepas itu barulah keseluruhan album. Dalam pada itu kami akan mencari syarikat yang dapat mengedarkan album itu. Ini kerana bukan senang untuk mengedarnya sendiri,” katanya.

Nieyl juga pernah mencuba bakat lakonan dalam drama Cinta Medik musim kedua, tetapi hatinya tidak menaruh minat pada bidang itu.

“Saya malu berlakon kerana ramai mata memandang. Saya memang tidak boleh berlakon, bukan saja penonton tengok lakonan saya ‘keras’, malah saya sendiri dapat merasakan lakonan saya kaku. Cukuplah sekali berlakon kerana tidak mahu merosakkan produksi orang.

“Biarlah saya buat apa yang saya minat dan dirasa boleh melakukannya. Saya tak tertekan dan pada masa tidak menyusahkan orang lain. Kalau malu macam mana hendak berlakon.

“Tambahan watak saya dalam Cinta Medik memerlukan saya berkahwin dan mengandung. Lagilah ‘tebal’ muka saya untuk melakonkan babak bermesra dengan suami.

“Ramai yang mahu saya terus berlakon. Bukan menolak rezeki, tetapi dah cuba memang tak boleh. Bahkan saya malu tengok lakonan sendiri,” katanya.

Walaupun sudah berkahwin, tetapi Niely dan Dazman masih menetap di rumah orang tua.

Kebetulan keluarga Dazman tinggal di Petaling Jaya (PJ) dan keluarga Nieyl pula di Ampang.

“Kami berulang alik antara PJ dan Ampang. Selepas saya berkahwin emak tiba-tiba jatuh sakit iaitu pendarahan otak. Jadi selepas kahwin saya terus duduk rumah emak kerana menjaganya. Sekarang keadaan emak beransur baik dan bila ada masa terluang dapatlah saya bermalam di rumah mentua.

“Pasangan yang baru berkahwin mesti ada rancangan hendak tinggal di rumah sendiri, tetapi saya ingat biarlah dulu. Lagipun dengan keadaan kesihatan saya sekarang, lebih selesa tinggal dengan emak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: