Monday, January 26, 2009

Soseh Soseh: Lidah Melayu tetapi...


KEBANGKITAN kumpulan indie tidak dinafikan memainkan pengaruh tersendiri dalam dunia hiburan tanah air. Daripada golongan muda hingga yang sudah berusia, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan persembahan mereka.

Ada antara band indie dijadikan ikon kepada remaja sehingga terikut-ikut dengan penampilan dan gaya mereka.

SS pasti ramai yang terkena fenomena muzik indie. Tidak dinafikan pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dianjurkan TV3 turut mendapat sambutan yang di luar jangkaan apabila dihadiri ramai khususnya remaja yang meminati kumpulan itu.

Tahniah juga SS ucapan kepada kumpulan yang semakin mencipta nama dalam dunia seni suara tanah air seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussan yang baru dinobatkan pemenang AJL ke-23.

Begitupun, SS bukan hendak berkongsi cerita mengenai kumpulan indie yang sudah popular.

Sebaliknya kumpulan yang baru dibentuk daripada satu pertandingan.

SS dimaklumkan, kumpulan yang dianggotai empat pemuda Melayu itu berlagak tidak kena pada tempatnya.

Sudahlah tidak dikenali, kumpulan berkenaan menunjuk-nunjuk pula ketika menjayakan persembahan. Tidak dinafikan memang berbakat kumpulan itu.

Ada antara mereka yang berkebolehan menyanyi dan bermain peralatan muzik dengan baik.

Begitupun, kumpulan berkenaan perlu sedar keupayaan mereka. Kumpulan itu pula masih baru hendak bertapak dalam dunia hiburan tanah air.



Apa yang menyedihkan SS, walaupun semua anggota kumpulan itu mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan dan warganegara Malaysia, mereka bangga memaklumkan agak janggal menyanyikan lagu Melayu.



Perihal artis muda janggal menyanyikan lagu Melayu bukan juga perkara baru dalam dunia seni.

Bagi SS terpulang kepada artis berkenaan untuk menyanyikan lagu dalam bahasa apa sekali pun.

Tapi kalau mahu mencipta nama di negara sendiri, mereka perlu akur dengan selera peminat kita mahukan lagu Melayu.

Kalau lagu Inggeris, baik dengar lagu penyanyi Amerika atau Eropah.

Lihatlah apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kumpulan yang mempertaruhkan lagu Ingegris, susah hendak mendapat tempat, tetapi bila ada diselitkan satu lagu Melayu, mereka menjadi tumpuan kerana satu lagu itu.

Tidak perlulah memaklumkan atau seperti menghina martabat lagu Melayu. Simpanlah saja perasaan itu kerana ia akan membuatkan orang yang mendengarnya hilang hormat. Sebagai pendatang baru dan berasal daripada rumpun Melayu, seharusnya seseorang artis itu memartabatkan lagu Melayu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: