Monday, January 26, 2009

Depan Mata: Isteri WHI, suami Melodi


AHAD minggu lalu saya tidak melepaskan peluang berada di Stadium Putra, Bukit Jalil untuk meyaksikan kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-23.

Kehebatan kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) dan Faizal Tahir pada malam itu masih diperkatakan peminat sepanjang minggu sudah.

Apa yang mampu saya katakan ialah majoriti (mungkin tidak semua) bersetuju dengan keputusan yang diumumkan. Pada saya inilah malam yang membuatkan ramai pihak tidak mampu mempertikaikan keputusan barisan juri yang agak ramai jugalah pada malam itu.

Tahniah kepada TV3 dan semua kru terbabit dengan AJL23. Mungkin juga kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi lebih semangat kepada semua pihak yang terbabit pada malam kemuncak AJL23.

Persaingan hebat tentulah antara lagu Sampai Syurga (Faizal) dan Lagu Untukmu (MUH) yang menjuarai kategori balada dan pop rock.

Apabila Faizal diumumkan Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik, saya dapat agak tidak mungkin lagu itu juga diumumkan juara AJL23.

Tapi kedua-duanya lagu itu memang layak untuk menjadi juara, tetapi untuk lebih adil lebih baik MUH juara tidaklah nanti Faizal bolot semua.

Dalam kejayaan dan kemeriahan AJL23, ada juga cerita-cerita lain yang disampaikan kawan-kawan. Biasalah, mana ada orang yang puas hati tanpa memberi sebarang komen.

Contohnya perlakuan Faizal ketika MUH membuat persembahan selepas diumumkan juara.

Kata mereka, tindakan Faizal mengambil topi vokalisnya, Nor Azlan Roslee seolah-olah ingin mencuri tumpuan ramai. Begitu juga pakaian pengacara wanitanya, Cheryl Samad dikatakan agak seksi.



Tapi saya lebih tertarik dengan kemunculan isteri penyanyi Nash, Sosilawati Lawiya dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, Selasa lalu.



Ia menjadi tumpuan apabila memberi peluang kepada Sosilawati berkongsi cerita dengan penonton mengenai dilema dirinya yang kini masih berstatus isteri, tetapi kehidupannya tidak seperti pasangan suami isteri lain.

Program khusus untuk kaum wanita yang kini berwajah baru, mula menjadi perhatian pada minggu sebelumnya apabila memberi peluang kepada pelakon muda kontroversi, Suhaiza Suhaimi atau Memey tampil secara eksklusif selepas dua bulan bersembunyi selepas ditangkap khalwat dengan pelakon Norman Hakim pada Oktober tahun lalu.

Tahun lalu, kisah rumah tangga Nash-Sosilawati menjadi tumpuan masyarakat apabila Sosilawati membuat permohonan cerai, tetapi mahkamah memutuskan mereka sah sebagai suami isteri.

Memang sukar untuk dibayangkan masa depan perkahwinan usahawan kosmetik dengan penyanyi kumpulan Lefthanded itu.

Selepas berjuang di mahkamah mengenai perceraian, tetapi diputuskan masih suami isteri yang sah. Isteri mendakwa keputusan mahkamah itu tidak mengubah kehidupannya kerana suami tidak pulang ke rumah untuk tinggal bersama.

Kisah rumah tangga pengarah Aziz M Osman dan ustazah Siti Nor Radiah juga menjadi perhatian apabila perkahwinan mereka pada Mei lalu diragui statusnya.

Mereka kini masih menanti mahkamah memutuskan apakah pernikahan mereka sah atau sebaliknya. Ini juga tentu sesuatu yang sukar digambarkan bagaimana kehidupan mereka apabila keputusan diumumkan nanti.

Saya agak tertarik dengan dua kisah rumah tangga mereka ini kerana membabitkan mereka yang dilihat punya latar agama yang kuat.

Isteri Aziz dikenali sebagai ustazah manakala Nash juga dikenali sebagai lelaki warak kerana percakapannya sering dihiasi ayat-ayat Al-Quran.

Difahamkan, itulah juga yang membuatkan Sosilawati tertarik untuk memilih Nash sebagai suami kerana inginkan seseorang yang boleh membimbing dirinya dan anak-anak selepas sekian lama hidup sendiri.

Ternyata apabila hidup bersama, tidak semua yang dibayangkan itu menjadi kenyataan.

Kita orang luar tentu tidak tahu apa yang berlaku anatra mereka berdua, tetapi apabila mereka ini artis, ia mendapat perhatian media hingga masyarakat turut bercakap mengenainya.

Jika Sosilawati membuat pendedahan melalui WHI, Nash pula mengulas dalam program Melodi, semalam.

Bagi media, sudah tentu mahu berlaku adil dengan memberi peluang kedua-dua pihak untuk membuat kenyataan.

Tapi malangnya apa yang diluahkan Nash itu tidak melambangkan dirinya sebagai lelaki budiman yang punya latar agama yang kuat.

Maaflah, kalau kata-kata saya ini agak keras, tapi saya melihat seolah-olah isterinya itu berada pada kedudukan yang begitu rendah pada mata Nash.

Mungkin juga Nash bengang dan marah apabila isterinya tampil membuat kenyataan secara terbuka mengenai kemelut rumah tangga mereka hingga satu Malaysia tahu.

Tapi ego Nash sebagai seorang suami cukup terserlah dengan kenyataannya itu.

Dengan apa yang berlaku, saya rasa agak sukar untuk mereka berdua kembali menjalani kehidupan bahagia sebagai suami isteri kecuali kalau kedua-duanya sanggup berkorban dengan membuang ego masing-masing.

Hari ini, masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina dan simbol tahun ini adalah lembu.

Tahun ini diramalkan juga berlakunya kegawatan ekonomi sebagaimana menimpa kita pada 1997 dan mereka yang bekerja keras mampu menghadapi segala rintangan yang dihadapi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: