Bukan mudah menjadi anak seni popular. Ramai pihak memerhatikan setiap gerak geri. Tapi ia langsung tidak mematahkan semangat Dafi untuk terus mengharungi hidup sebagi anak seni
Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke lima (AF5) ini boleh dikatakan bertuah atas kemunculan album terbarunya, Seumur Hidup yang sudahpun dilancarkan pada 14 Disember yang lalu.
Memang bertuah menjadi anak muda ini, segala-galanya sudah dirasai. Pernah menjadi pengacara, menjadi pelakon dan boleh dikatakan mahu menceburi semua cabang seni yang ada.
Tidak hairanlah dia terus disambar untuk menjadi artis naungan KRU Music Group selepas tamat AF5. Album yang memuatkan 10 buah lagu ini setidak-tidaknya menjadi bukti Dafi komited untuk terus menjadi anak seni.
Kata Dafi, lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut kebanyakannya ciptaan KRU Publishing dan hanya dua buah lagu sahaja ciptaan komposer Indonesia.
Bukan menidakkan bakat komposer tempatan, tapi ia adalah strategi untuk album terbarunya menembusi pasaran Indonesia. Di Antara adalah ciptaan penuh Badai Kerispatih dan lagu Dua Hati Menjadi Satu hasil karya Yovie Widianto.
Jelasnya lagi, tidak banyak perbezaan merakamkan lagu sama ada di Malaysia ataupun di Indonesia. Masing-masing mempunyai kelebihan dan tahap profesional yang tinggi.
Mahu terus jadi anak seni
Ramai yang meragui keupayaan Dafi dalam bidang lakonan. Mana kan tidak, sebelum ini Dafi pernah muncul dalam filem Apa Kata Hati sebagai cameo sahaja. Itu pun muncul hanya seketika sahaja dalam filem tersebut.
Kali ini peminat boleh melihat lakonan Dafi menerusi filem Sayang You Can Dance arahan Bjarne Wong yang bakal menemui penonton 12 Mac depan.
Dalam filem tersebut Dafi berlakon bersama-sama dengan Sharifah Amani, Samuel Rizal, Ebi dan ramai lagi. Filem yang berkisar tentang tarian ini boleh bakal memperlihatkan bakat lakonan yang dimiliki oleh Dafi.
Bakat yang dimiliki oleh Dafi tidak hanya terhenti setakat itu sahaja, malah dia kini menjadi rebutan untuk berlakon iklan. Ramai yang boleh melihat wajah Dafi iklan Walls dan Brands. Selepas ini, peminat boleh menatap wajah Dafi menerusi iklan Silky pula.
Ramai yang beranggapan Dafi 'mencantas' Mawi yang terkenal dengan iklan tersebut. Katanya, dia tidak menggantikan sesiapa termasuklah Mawi dan Mawi tetap akan kekal dalam iklan tersebut.
Dalam usianya yang baru menginjak 20 tahun, Dafi mahu terus menjadi anak seni yang berjaya. Tapi semua ini perlu disulam dengan usaha yang berterusan.
Walaupun dihujani dengan pelbagai tawaran, tumpuannya tetap dalam bidang muzik. Tidak hairanlah penuntut kursus Diploma Profesional Sound and Music Design masih lagi mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai landasan utama.
"Kalau boleh nak terus buat album Inggeris pada masa akan datang, nak tembusi pasaran Indonesia dan Asia," ujarnya ringkas.
Ragam peminat
Adat orang popular, sudah tentu akan menjadi tumpuan ramai. Macam-macam ragam yang pernah dilalui oleh Dafi sejak bergelar artis. Tapi, dia merasakan semua itu adalah asam garam menjadi orang popular dan langsung tidak dikesalkan.
Katanya, dia pernah menerima hadiah senaskah al- Quran pemberian peminatnya. Memang agak terkejut dengan hadiah tersebut, tetapi semua itu diterima dengan hati yang gembira.
Cerita Dafi, pemberian peminatnya kadang kala sukar untuk dijangka. Sewaktu diawal pembabitannya dulu, ada peminat yang menghadiahkan pakaian dalam kepadanya.
Memang terkejut tapi kini dirinya sudah biasa berhadapan dengan situasi tersebut. Malah ada peminat yang menghantar surat berbaur lucah kepadanya. Ia langsung tidak menjadi masalah yang besar kepadanya.
"Paling Dafi ingati apabila bercuti bersama kelab peminat ke Pulau Pangkor. Memang banyak kenangan manis yang sukar untuk dilupakan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: