Sunday, January 25, 2009

30 hari melamar Sari ‘Kaisara’


Bak pinang dibelah dua. Sari Yanti bahagia bersama suaminya Mohd Eddy Casmady Che Hussin.


BIARPUN baru dalam hitungan jam setelah rasmi bergelar isteri, pelakon muda, Sari Yanti, 25 menunjukkan keterujaan melayari kehidupan berkeluarga bersama sang suami. Dalam temubual usai majlis akad nikah pelakon drama Kisah Kaisara itu dan suaminya Mohd Eddy Casmady Che Hussin, 29 di kediaman Sari Yanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada malam 16 Januari lepas, mereka penuh bersemangat bercerita tentang perkahwinan tersebut dan masa depan.

“Saya tidak kisah untuk menimang cahaya mata secepat mungkin, dan kalau boleh lima anak, kami suka keluarga yang ramai,” katanya manja sambil menjeling ke sang suami yang kelihatan agak tersipu-sipu malu. Tidak mahu kalah Eddy juga menceritakan pengalaman ‘cemas‘nya ketika majlis ijab kabul yang disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Mohamad Nazari Mohd Nor, 49.

“Memang cemas sampai lima kali kena ulang lafaz akad tetapi semuanya berjalan lancar,” kata Eddy yang merupakan seorang ahli perniagaan. Dalam majlis akad nikah itu, Sari Yanti menerima mas kahwin RM500 serta tujuh dulang hantaran, termasuk sirih junjung, jam tangan, senaskhah al-Quran, minyak wangi, alat solek dan kek yang dibalas sembilan dulang. Sari Yanti bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran yang diterimanya atas alasan ia terlalu peribadi dan tidak perlu digembar-gemburkan.

Untuk majlis pernikahan tersebut, Sari Yanti menggenakan busana serba putih bergaya Asia Barat ilham daripada pereka muda, Lynda Rahim. Lynda yang juga bertindak sebagai Wedding Planner bagi majlis tersebut menaja pakaian untuk Sari Yanti bagi majlis persandingannya di Kuala Pilah dan satu resepsi menyambut pengantin perempuan di Subang.

Konsep kontemporari moden menjadi pilihan Sari Yanti untuk majlis perkahwinannya yang diindahkan dengan dekorasi serba putih dan 5,000 bunga segar. Majlis persandingan Sari Yanti yang diadakan keesokan harinya diraikan oleh 7,000 jemputan termasuk rakan artis seperti Hattan, Aziz M Osman dan Zarina Zainuddin.

Di sebalik pelbagai kesibukan dan kepenatan mengatur persiapan bagi majlis nikah dan persandingan itu, masih terpancar kegembiraan dan keserian di wajah mempelai.

Sari Yanti sendiri tidak henti-henti melahirkan rasa syukur kerana percintaan yang terbina antara dia dan buah hatinya itu akhirnya berlabuh juga ke jinjang pelamin walaupun jauh di sudut hatinya dia masih terkejut dengan takdir indah itu. Siapa dapat menyangka lelaki yang cuma dianggap teman biasa itu dulu kini sudah menjadi ‘raja’ dalam hidupnya.

“Dulu kami teman biasa saja sehingga dia melamar saya setelah beberapa tahun kami mengenali antara satu sama lain, itu pun saya anggap dia bergurau, “ ceritanya yang sudah tiga tahun berkenalan dengan Eddy setelah diperkenalkan oleh sepupunya.

Bercerita tentang lamaran Eddy, kata Sari Yanti, dia pada mulanya cuma menganggap ia satu gurauan apatah lagi mereka cuma berstatus kawan ketika itu.

“Saya masih ingat dalam tempoh sebulan itu tiap-tiap hari apabila berjumpa atau berhubung melalui telefon dia akan berkata, Jom kahwin! atau Nak tak you jadi isteri I? Ingatkan dia bergurau saja sampailah dia benar-benar melahirkan hasrat untuk berkahwin dan kemudian menghantar rombongan meminang.

Terus terang Sari Yanti memberitahu bahawa mereka belum lagi mengecapi kenikmatan bercinta dan gembira kerana semua dirasai selepas bergelar suami isteri.

Rencana untuk berbulan madu pula terpaksa ditangguh ke waktu yang bersesuaian kerana kesibukan masing-masing termasuk Sari Yanti sendiri yang harus bersiap sedia ke lokasi penggambaran filem terbarunya.

Setelah berkahwin kelak, Sari Yanti akan berpindah ke rumah baru mereka yang sudah disediakan oleh sang suami di Subang untuk melayari kehidupan baru itu.

Menurut Sari Yanti, biarpun kini sudah bergelar isteri, dia akan tetap meneruskan kerjayanya sebagai pelakon apatah lagi Eddy sudah lama memberi lampu hijau dan tidak pula menyekatnya.

“Saya bersyukur kerana suami amat memahami dan tidak menghalang. Apa pun selepas ini keutamaan saya adalah untuk keluarga,” katanya. Menurut Sari Yanti lagi, sebelum ini dia bulat dengan keputusannya untuk berkahwin ketika namanya sebagai pelakon sedang menggunung kerana mempercayai lelaki yang dikahwininya adalah cinta sejatinya.

“Lagipun saya tidak percaya jika perkahwinan boleh menghalang saya mencari rezeki dalam bidang ini kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana,” katanya menutup perbualan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: