|
|
Itu kes tahun lepas tetapi tahun ini Faizal Tahir telah mencuci “kekotoran” tersebut apabila dia berjaya membuktikan kejayaannya dalam Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL-23) pada Ahad lalu.
Faizal merangkul hadiah menerusi lagu Sampai Syurga untuk tiga kategori iaitu Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Balada yang membolehkan beliau berkongsi wang tunai sebanyak RM32,000.
Bagaimanapun tiba-tiba peminat dikejutkan dengan laporan media menyebut Faizal mahu bersara untuk menjadi penyanyi? Kenapa? Adakah dia kecewa dengan kejayaannya selama ini ataupun nak buat gimik lagi?
“Siapa kata saya nak bersara?” tanya Faizal semula. Suami kepada Siti Raihanim Noran, 26, yang juga bapa kepada dua anak iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, 4, dan Siti Raudhah Nur Iman, 2, ini menjelaskan dia hanya mahu berehat untuk memberi tumpuan kepada keluarga.
Adakah selama ini Faizal mengabaikan tanggungjawab kepada keluarganya itu? Kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH Faizal jawab!
- Tahniah Faizal, siapa sangka AJL tahun ini Faizal hampir-hampir nak sapu bersih. Apa komen Faizal?
Syukurlah. Tahun 2009 ini dibuka dengan baik untuk hidup saya. Kalau tahun lepas penuh dengan kontroversi, saya kena gamlah tapi tahun 2009 ni tahun yang agak cemerlang untuk saya. Syukur sangat-sangat.
- Apakah kesimpulan Faizal? Tahun 2008 dibuka dengan kes buka baju itu tapi tahun ini dibuka dengan kejayaan. Dapat RM32,000 lagi.
Tahun 2009 ini dah nampak sudah ada permulaan yang sihat. Harap-harap boleh bertahan baiklah. Saya percaya kepada ujian Allah. Bila Dia uji kita macam yang saya kena tahun 2008, Dia nak bagi sesuatu yang baik pula. Cuma kita saja yang tak tahu.
- Tapi kenapa tiba-tiba kata nak bersara menyanyi?
Perkara ini sebenarnya salah faham. Orang tersalah tafsir saja. Saya tak nampak kenapa ketika industri muzik kita ini semakin naik saya nak mengundurkan diri ataupun bersara. Sekarang ini kumpulan muzik kita ramai yang berjaya macam Hujan, Meet Uncle Hussein dan juga Aizat. Saya tak nak ketinggalan untuk sama-sama dengan dia orang. Yang saya nak bersara, jadi pengacara kerana minat saya dalam muzik. Takut tak boleh fokus pula nanti.
- Macam mana boleh timbul Faizal nak bersara jadi penyanyi?
Masa PC (sidang media) selepas AJL malam tu, saya ada kata yang saya nak berehat sementara. Hasrat tu dah lama saya simpan. Sebelum masuk AJL lagi. Saya nak tumpukan perhatian kepada keluarga. Tapi tak sangka orang salah faham ingat saya nak berhenti menyanyi.
- Tumpukan pada keluarga? Macam mana tu?
Kebetulan pula isteri saya nak bersalin anak ketiga hujung bulan depan. Saya rasa inilah masanya untuk saya berehat sekejap. Nak bagi tumpuan pada keluarga. Isteri nak bersalin bukan senang. Takut nanti tak ada orang nak jaga anak-anak, susah pula. Jadi lebih baik saya cuti untuk berehat. Itu saja.
- Selama ini tak ada masa untuk keluarga?
Masa tak sepenuhnya untuk dia orang. Sejak dua tahun lalu saya sibuk sangat nak kejar impian saya. Apa salahnya tahun ini saya ambil peluang untuk cuti dem keluarga. Saya nak gunakan masa cuti saya untuk bayar balik waktu-waktu yang dah terlepas. Dalam masa yang sama saya ada juga projek besar tahun ni. Cuma orang terkejut bila saya buat kenyataan itu lepas AJL.
- Adakah Faizal hilang keistimewaan berkeluarga sejak jadi artis ni?
Saya tak ada apa-apa masalah besar dengan keluarga pun. Cuma kadang-kadang saya sedar saya terlalu sibuk nak kejar sana sini tetapi sebenarnya saya ini seorang suami dan seorang ayah. Jadi tahun ini saya nak bersama mereka selepas dua tahun seperti mengenepikan mereka.
- Kenapa selepas dua tahun baru rasa begitu?
Dah lama saya rasa begitu tapi tahun ni adalah waktu yang sesuai. Kebetulan pula isteri saya mengandung dan nak bersalin tak lama lagi. Saya akan ambil peluang ini nak bagi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak dan isteri. Dalam kehidupan berkeluarga juga saya amat gembira kerana saya mempunyai keluarga yang hidup bersederhana.
- Duit yang menang dalam AJL itu nak didermakan? Semua ke?
Sebelum AJL lagi saya dah niat. Saya kata kalau memang, saya nak derma duit itu kepada Tabung Palestin. Tak semua. Sebahagian saja. Tujuan saya nak bantu sesama Islam. Sebagai penyanyi, tak banyak benda yang saya mampu buat. Macam ini sajalah sumbangan saya.
- Dengar cerita Faizal tak nak anak-anak tengok ayah mereka di akhbar atau di TV. Kenapa?
Memang saya ada bagi tahu isteri saya kalau saya keluar di TV ataupun di akhbar, majalah, saya pesan jangan bagi anak-anak tengok. Bukan apa, anak-anak tengah membesar. Biarlah mereka tengok benda lain daripada saya di TV.
- Tak mahu anak-anak jadi artis seperti bapa mereka? Macam tu?
Kalau boleh saya memang tak nak anak saya jadi artis. Tapi saya tak halang. Bila dia orang dah besar nanti dia orang boleh buat keputusan sendiri. Jadi artis bukan mudah. Kena ada ketahanan mental yang tinggi kerana cabaran dia besar.
- Dalam tempoh bercuti apa yang Faizal nak buat selain bersama keluarga?
Saya nak tumpukan perhatian saya untuk kerja-kerja penggubahan lagu. Saya minat dengan kerja-kerja belakang tabir. Sebab tu saya nak bagi tumpuan sepenuhnya dengan kerja-kerja tersebut. Sebelum ni sibuk sangat dengan macam-macam aktiviti sampai tak sempat. Ini masa yang sesuai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: