|
FILEM aksi permotoran, Evolusi KL Drift (EKLD) mencatat sejarah tersendiri apabila meraih kutipan lebih RM4.5 juta kutipan ketika ditayangkan di pawagam pada awal tahun lalu. |
Di samping memberi dimensi baru dalam dunia perfileman, filem yang diilhamkan pengarah muda berbakat, Syamsul Yusof itu turut mendapat reaksi positif penonton dan karyawan seni tanah air.
Kejayaan filem itu memberi semangat kepada anak bujang Datuk Yusof Haslam ini dengan karya keduanya, Bohsia (belum ditayangkan) dan terbaru, EKLD II bernilai RM2.1 juta yang masih meneruskan jalan cerita filem pertama berkaitan sukan permotoran.
Syamsul berkata, di samping mengekalkan aksi drift, filem berkenaan menumpukan kepada nilai persahabatan dan isu gangsterisme.
“Saya masih mengekalkan jalan cerita yang sama dengan mengekalkan aksi membabitkan perlumbaan kereta, cuma untuk filem kali ini, penceritaan lebih kepada nilai persahabatan dan gangsterisme.
“Jika sebelum ini cerita berkisar kepada perlumbaan haram, untuk siri kedua ini, semua pelumba berkenaan sudah menceburi perlumbaan drift secara profesional.
“Untuk filem pertama kami hanya memusnahkan satu kereta RX7, tetapi untuk siri kali ini, kami mengorbankan dua kereta iaitu kenderaan jenis Supra dan RX7. Boleh dianggarkan pelakon utama menggunakan lima kereta dengan keseluruhannya membabitkan 10 kereta yang sudah diubah suai,” katanya pada majlis sidang akhbar filem itu, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Mahyiddin Muztakim serta Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah.
Antara barisan pelakonnya ialah Farid Kamil yang melakonkan watak Sham, Remy Ishak (Inspektor Kamal), Shaheizy Sam (Ery), Hetty Sarlene (Vee), Scha (Aleya) dan Rizal Ashraf (Muz).
Dalam kegembiraannya mengenai kejayaan EKLD, Syamsul mengakui sedikit kecewa apabila dimaklumkan ada sesetengah pihak menganggap filem berkenaan berjaya disebabkan teknik fotografi dan kesan khasnya.
Katanya, penghasilan filem berkenaan membabitkan kerja sama berpasukan.
Malah, dia sendiri mahu membuktikan tanggapan itu ternyata tidak benar.
Untuk filem yang bakal memulakan penggambarannya Februari ini, Syamsul turut mengetengahkan Pengarah Fotografi, Omar Ismail dan Mie Congo.
“Selain mengekalkan sebahagian besar teraju utama sebelum ini, filem kali ini turut menampilkan Remy Ishak dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir (Scha) yang membawa watak Inspektor Kamal serta Aleya.
“Tiada konflik cinta yang berat dipaparkan dalam siri ini. Selain persahabatan dan gangsterisme. Ia juga banyak berkisar kepada perlumbaan profesional membabitkan watak utama. Penggambaran membabitkan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Selain memperkenalkan Remy dan Scha, Syamsul pula masih memainkan watak utama sebagai Zack untuk filem ke-23 terbitan Skop Productions dan kelapan usaha sama dengan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu.
Kali ini, pelakon jelita, Diana Danielle tiada dalam barisan pelakon EKLD II, tetapi itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan ekoran kontroversi membabitkan mereka.
Namun Syamsul berharap perkara itu tidak dianggap sebagai isu yang perlu diperbesarkan.
Katanya, mengikut perancangan asal, nama Diana berada dalam senarai pelakon begitupun selepas beberapa perubahan dia mahu cuba tampil kelainan dari segi penceritaan.
“Sebelum menyiapkan skrip, nama Diana memang terlintas. Begitupun, saya mahu melakukan perubahan dan mahu mencuba muka baru. Ketika hendak menyiapkan skrip berkenaan saya sudah membayangkan seseorang dengan watak perempuan yang agresif dan lasak.
“Kebetulan pula saya melihat lakonan Scha dalam drama bersiri Astro, Awan Dania dan ia menepati karakter dicari.
“Saya juga yakin dengan barisan pelakon yang ada memandangkan penceritaan tertumpu kepada persahabatan dan gangsterisme.
“Perkara ini pula adalah dua benda yang paling dekat dengan remaja. Sudah pasti ia sesuatu yang menarik untuk dikupas,” katanya.
betul, aku pun sokong ko amik scha.. best giler dia belakon beb..mcm real ja..ku tgk awan dania pun coz nk tgk dia belakon ja, anak2 aku pun suka ngan dania.. mcm ngam jer ngan benjy..
ReplyDelete