|
|
MANIS dan sepadan, begitulah komen diberikan tetamu dan wakil media yang hadir pada majlis sambutan hari jadi ke-20 penyanyi, Muhamad Aizat (Aizat) Amdan selepas melihat kemesraan pelakon cilik, Liyana Jasmay dengan bintang Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu. |
Kemesraan antara mereka bukan lagi rahsia apabila di majlis 'post party' Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini, mereka dilihat duduk berdua dan menikmati hidangan dalam satu pinggan.
Bukan itu saja, pada majlis 21 Januari lalu itu, Aizat yang pada awalnya hanya mengenakan baju-T hitam menukar kemeja berwarna biru sedondon dengan baju yang digayakan pelakon utama filem Maut itu.
Liyana hadir pada majlis yang dianjurkan keluarga Aizat, di Restoran The Lodge, Jalan Sultan Ismail agak lewat dan ditemani ibunya.
Melihat daripada gaya dan cara pasangan ini berkomunikasi tidak syak lagi keakraban dua artis muda ini membabitkan soal hati dan perasaan.
Bagaimanapun, penyanyi yang cukup popular dengan lagu, Lagu Kita menafikan dia sedang bercinta dengan Liyana atau lebih senang dipanggil, Nana.
"Sebagai seorang kawan memanglah saya sayang kepada Nana tetapi setakat itu saja. Tiada yang lebih daripada itu.
"Sudah menjadi fitrah lelaki sukakan wanita dan saya memang menyukai Nana tetapi sebagai seorang kawan," katanya cuba mengelak bercerita lanjut mengenai soal cinta.
Jelas Aizat, dia mengenali Liyana menerusi Ajai yang turut bertindak sebagai penerbit albumnya yang kini dalam proses pembikinan.
"Saya difahamkan untuk album Nana, Ajai sudah mencipta tiga lagu dan satu lagu ciptaan anggota kumpulan Coco iaitu AG. Ajai sendiri menyarankan kepada Nana supaya minta saya menghasilkan satu lagu yang belum diberikan judul.
"Selepas mendengar lagu yang saya hasilkan untuknya, Ajai memberi cadangan mengapa tidak kami berduet. Sejak itu kami jadi rapat," katanya
Menyentuh mengenai kerjaya nyanyian, Aizat boleh dikatakan bertuah kerana dalam usia masih muda dia sudah mencapai impian untuk bergelar penyanyi disegani.
Dalam masa singkat album sulung dihasilkan, Percubaan Pertama berjaya meletakkan namanya dalam industri muzik tanah air.
Antara kejayaan besar diraih penyanyi berasal dari Ampang, Selangor ini ialah layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke 23 dengan lagu dan lirik ciptaan sendiri, Lagu Kita.
Selain itu single pertamanya Hanya Kau Yang Mampu turut mencipta sejarah apabila menjadi antara lagu yang mendapat sambutan hangat jualannya menerusi muat turun ke telefon bimbit sehingga mencecah sejuta unit.
Dinilai daripada pembabitan awalnya apabila menjadi peserta awal tersingkir ketika menyertai AF5, seharusnya Aizat bersyukur dengan kejayaan singkat diperoleh.
Menyentuh mengenai perkara itu jelas Aizat, dia tidak menafikan bersyukur dengan perjalanan seninya yang berlangsung begitu baik dan laluannya nampak mudah, namun pada waktu sama berasakan apa yang dicapai belum cukup.
"Saya sebenarnya meletakkan harapan terlalu tinggi kepada diri sendiri. Memang kejayaan diraih itu mampu meletakkan karya seni saya dalam peta industri seni muzik tempatan tetapi impian saya sebenarnya mahu menakluk dunia dengan muzik yang dihasilkan.
"Kejayaan Hanya Kau Yang Mampu dengan jualan mencecah sejuta unit tidak boleh terlalu dibanggakan begitu juga apabila Lagu Kita layak bertanding di AJL23.
"Pada saya wang bukanlah segalanya dan apa yang berlaku masih kecil sedangkan impian saya kalau boleh mahu memasuki pasaran di Amerika Syarikat dan Eropah.
"Buat permulaan saya mahu memperkenalkan muzik dihasilkan dengan mendapat sokongan peminat tempatan sendiri. Kemudian cuba memasarkan lagu saya di rantau Nusantara dan Asia.
"Sekarang ini syarikat pengedaran saya, Universal Music Malaysia sedang berbincang dengan rakan kerja mereka di Indonesia untuk memasarkan Percubaan Pertama di sana.
"Saya turut bercadang melanjutkan pelajaran di kolej muzik di Berkeley, Amerika Syarikat. Perancangan itu akan dibuat dalam masa dua tahun lagi. Pada saya itu saja antara jalan yang dilihat dapat mengetengahkan karya dihasilkan di negara 'Uncle Sam' itu," katanya lagi.
Selain menyanyi, kata Aizat dia juga mahu menjadi penulis lagu secara serius dan setakat ini selain album Liyana, dia turut menyumbang lagu untuk artis seperti Jaclyn Victor, Nurul Abdul Wahab dan Eliza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: