Monday, January 26, 2009

Finas perjelas Skim Belaan Artis


RAZALI bertanyakan keadaan kesihatan ahli Persatuan Meiwa, Blabagasee Abdul Karim (kanan).

Perbadanan itu hanya bertindak mewakili kelompok terbabit dalam aspek perfileman

SISTEM pengagihan yang tidak menyeluruh terhadap Skim Belaan Artis membangkitkan rungutan beberapa pihak, terutama apabila penerima skim yang mendapat kelulusan Kabinet sejak 18 Oktober 2006 lebih tertumpu kepada pelakon.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Razali Ibrahim berkata, definisi artis itu sendiri mempunyai skop yang luas meliputi mereka yang terbabit dalam aktiviti kreatif termasuk penyair dan pelukis.

Finas bagaimanapun, katanya, hanya bertindak mewakili kelompok yang terbabit dalam aspek perfileman termasuk kru kerana kesemua mereka juga tertakluk di bawah Skim Pembelaan Artis.

“Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) bertindak atas permohonan yang diterima dan Finas pula mengemukakan permohonan tertakluk kepada mereka yang bernaung di bawah badan ini.

“Penyanyi tidak berada di bawah tanggungan Finas, justeru mereka harus merujuk kepada badan berkaitan yang menyelia kebajikan untuk membuat permohonan yang sama,” katanya mengulas mengenai aduan ketidakpuasan hati penyanyi berkaitan sistem pengagihan skim berkenaan.

NOORKHIRIAH turut memeriahkan Hari Terbuka Finas.

Razali berkata, Finas turut menerima permintaan pemuzik yang ingin bernaung di bawah badan itu disebabkan tiada persatuan khusus mewakili mereka.

Bagaimanapun, katanya, Finas akan cuba membantu setakat yang termampu atas kapasiti KPKKW untuk membela kebajikan pemuzik.

Skim Belaan Artis diperkenalkan di bawah Program Belaan Hidup Artis dan Karyawan Seni Budaya dan Warisan dengan mendapat kelulusan awal dana berjumlah RM5 juta.

Setakat ini hanya RM263,100 sudah diagihkan kepada penggiat industri hiburan yang memerlukan iaitu RM96,300 diagihkan kepada 17 anak seni pada 2007, manakala RM139,800 lagi diserahkan pada 2008.

Bantuan berjumlah RM3,000 hingga RM10,000 diberikan kepada individu di bawah Skim Belaan Artis untuk meringankan beban kewangan dan membela nasib penggiat seni, khususnya mereka yang daif sebagai menghargai jasa serta sumbangan untuk membangunkan industri seni, budaya dan warisan.

“Kami juga ada menerima cadangan supaya sebahagian dana diambil dan dilaburkan menerusi Skim Insurans Berkelompok sebagai satu alternatif supaya lebih ramai penerima dapat memanfaatkan dana itu. “Ketika ini, kami masih lagi mengkaji tawaran terbaik daripada syarikat insurans supaya wang yang dilaburkan dapat memberi pulangan berbaloi untuk dimanfaatkan penggiat seni,” katanya.

Pada sidang media yang diadakan untuk memaklumkan Hari Terbuka Finas itu, Razali turut memberitahu cadangan supaya pekerja hiburan dibenarkan mencarum pendapatan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang diteliti Kabinet.

Perkembangan itu katanya, adalah sesuatu yang positif dan berharap menghasilkan pindaan akta kecil oleh Kementerian Sumber Manusia supaya pekerja kontrak seperti penggiat muzik dan filem dibenarkan mencarum dalam KWSP.

“Ini membuktikan kebajikan penggiat seni juga mendapat perhatian di peringkat yang lebih tinggi, malah menjadi tugas kami untuk memperjuangkan usaha ini supaya berhasil,” katanya.

Pada sidang media itu, Razali turut menyampaikan sumbangan keseluruhan bernilai RM28,000 kepada enam ahli Persatuan Penghibur India Malaysia (MIEWA) di bawah Skim Belaan Artis.

Hari Terbuka Finas dua hari mulai 31 Januari

SEJAK ditubuhkan pada 1981, Finas melaksanakan pelbagai program pembangunan industri perfileman termasuk menyediakan Skim Latihan Industri, pembiayaan kewangan, pemasaran, penguatkuasaan skim tayangan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, agak kurang aktiviti yang mendekatkan Finas dengan khalayak pencinta filem justeru, penganjuran Hari Terbuka Finas pada 31 Januari dan 1 Februari ini di Kompleks Studio Merdeka, Finas membuka ruang kepada peminat untuk lebih memahami badan itu.

Selain itu, kata Razali, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan antara Finas dan pihak industri di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi dan peranannya dalam memajukan industri perfileman negara.

Acara yang sama juga bakal menyaksikan majlis perasmian Studio Digital Mixstage yang menelan belanja RM53 juta oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Razali berkata, Hari Terbuka Finas itu juga sekali gus melenyapkan andaian mengenai pembinaan studio berkenaan yang memakan belanja besar.

“Masyarakat boleh melihat kelengkapan serta kemudahan canggih yang ada dalam studio berkenaan, malah saya difahamkan pembinaannya mampu menjimatkan kos antara RM250,000 hingga RM400,000 dalam penerbitan sesebuah produksi.

“Kemudahan yang ada dalam studio ini setaraf dengan produksi Hollywood, bahkan akan membuat negara berbangga kerana keupayaannya yang pasti membanggakan nama Malaysia.

“Pembinaannya turut mendapat khidmat nasihat daripada pakar bunyi terkenal, Dolby dan akan dikendalikan kakitangan tempatan yang menerima latihan kemahiran di negara luar.

“Bagaimanapun, untuk permulaan perkhidmatan ini akan diketuai oleh pakar bunyi dari luar yang bakal melatih tenaga kerja tempatan seterusnya mengambil alih tanggungjawab itu dalam tempoh setahun dua lagi,” katanya.

INFO: Acara Hari Terbuka Finas

  • Pameran perfileman
  • Jualan produk perfileman
  • Persembahan hiburan
  • Tayangan/diskusi filem
  • Perjanjian Persefahaman Antara Finas dan History Channel
  • Perasmian Studio Digital Mixstage
  • Taklimat kerjaya
  • Sesi uji bakat lakonan
  • Sesi artis bersama peminat

  • Antara artis terbabit ialah AR Badul, Ellie Suriaty, Ahmad Idham, Vanidah Imran, Radhi Khalid, Noorkhiriah, Pierre Andre dan Nanu untuk sesi uji bakat.

  • Sesi bertemu peminat pula dijayakan Riezman Khuzaimi, Irma Hasmie, Aaron Aziz, Kenchana Dewi, Dafi, Jehan Miskin, Liyana Jasmay dan Farid Kamil.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: