Friday, January 23, 2009

Farahdhiya ketagih menyanyi dan berlakon

Farahdhiya bakal muncul dengan album ketiganya tidak lama lagi.

MULA menceburkan diri dalam bidang seni sebagai penyanyi, namun wanita jelita Farahdhiya mengakui lewat kebelakangan ini karier lakonannya lebih menonjol.

Mengakui hakikat ini penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bertakhta Dihati ini akur dengan perjalanan karier seninya.

“Saya akui ramai yang seakan lupa saya masih lagi jadi penyanyi sebab saya sibuk berlakon. Namun hakikatnya ramai tak tahu apa sebenarnya yang terjadi pada album kedua saya,” ujarnya memulakan bicara.

Semuanya berlaku gara-gara kurangnya promosi oleh syarikat rakaman, NAR Records yang pernah dinaunginya sedikit masa lalu menyebabkan album keduanya hampir tidak diketahui umum.

“Bukan nak menyalahkan mana-mana pihak cuma entah di mana silapnya album tersebut tidak diketahui kewujudannya.

"Bila saya cakap saya akan hasilkan album ketiga ramai peminat bertanya bila saya hasilkan album kedua,” kata Farah dalam nada kecewa.

Jadi artis Maestro

Bangkit daripada kekecewaan tersebut Farah terus mengambil tindakan drastik sebaik menerima pelawaan syarikat rakaman terkenal, Maestro Talent Management Sdn. Bhd. untuk menguruskan karier seninya.

Lagipun katanya, hubungan baik dengan Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez serta reputasi Maestro dalam industri hiburan menambahkan keyakinannya untuk mengikat perjanjian selama tiga tahun.

“Bila Mr Freeddie sendiri memberi tawaran kepada saya terus bersetuju. Semuanya saya lakukan sebab saya fikir sudah tiba masanya saya seimbangkan bidang nyanyian dan karier lakonan saya.

"Perjanjian ini bukan kerana hubungan baik antara saya dan Freddie semata-mata tetapi disebabkan hati saya kuat mengatakan ini pilihan yang tepat. Selama empat tahun, bukan tiada syarikat rakaman lain yang membuat tawaran tetapi saya perlu memilih syarikat yang dapat memberi jaminan kepada kerjaya saya seperti Maestro kerana pengalamannya menguruskan ramai artis.

Jelas Farah lagi, dengan termeterainya perjanjian tersebut dia berharap akan ada perubahan positif bakal berlaku kepada kerjaya nyanyian setelah empat tahun ia bergerak perlahan.

"Saya harap apabila Maestro menguruskan kerjaya saya, hidup saya menjadi teratur.Saya berasakan perjanjian ini tidak mengongkong kerana semuanya sudah dipersetujui bersama," katanya.

Bakal muncul dengan album ketiga

Terbaru Farah sedang mengumpul bahan untuk album ketiganya yang dijangka dapat dipasarkan pada bulan Mac nanti.

“Untuk album ketiga ini masih mengekalkan konsep ‘Pop Ballad’ dengan memuatkan kembali 8 buah lagu dalam album kedua saya. Sebab lagu dalam album itu tak pernah disiarkan lagi.

Farahdhiya mengaku sedang mengenali hati budi seorang jejaka bujang.

“Lagu Ku Milikmu yang dicipta sepenuhnya oleh Tam Spider. Lagu ini juga merupakan lagu tema drama bersiri Ku Milikmu

Ketagih berlakon dan menyanyi

Bagi aktres kelahiran Sarvana Itali ini, jika disuruh membuat pilihan antara nyanyian dan lakonan, dia tidak mampu membuat pilihan.

“Saya sangat cinta kepada kedua-dua bidang ini. Saya tak boleh pilih bidang nyanyian sebab berlakon merupakan minat saya.

“Bagi saya kedua-duanya memberi kepuasan yang berbeza kepada saya. Menyanyi dan berlakon ini buat saya ketagih, bila tak dapat rasa ada yang tak lengkap dalam hidup,” ujarnya serius.

Bawa watak baik

Banyak membawakan watak sebagai penggoda dalam drama membuatkan ramai yang membuat telahan aktres jelita kacukan Melayu-Itali, ini sama seperti apa yang digambarkan.

Namun bagi Farahdiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin ini semuanya itu hanya terjadi ketika di set semata-mata.

“Mana ada kat luar saya bukan macam tu, kalau nak tahu dalam drama Kau Curi Cintaku saya bawa watak seorang isteri yang baik dan terpaksa harungi pelbagai dugaan dalam kehidupan seharian.

“Drama ini akan ditayangkan di RTM pada bulan Mac depan. Selain saya drama ini dibarisi oleh pelakon-pelakon berkaliber seperti Heryanto Hassan, Fizzow Omar, Balkis dan ramai lagi,” katanya yang tidak sabar menantikan reaksi penonton terhadap lakonannya itu.

Sedang mengenali hati budi

Memang tidak sah jika tidak mengorek kisah cinta gadis kacukan ini, namun nyata Farah tidak mahu kisah cintanya itu digembar-gemburkan.

“Apa yang boleh saya katakan saya sedang mengenali hati budi seseorang. Yang penting dia bukan suami orang ye. Dia masih bujang lagi. Siapa dia biarlah rahsia.

"Lagipun masih terlalu awal untuk bicara soal kahwin,” katanya yang sudah dua tahun menjalin cinta dengan jejaka berkenaan.

Ditanya bila dia mahu menamatkan zaman anak daranya, Farah berkata:

“Siapa yang tidak mahu kahwin. Saya tak kisah cepat ke lambat. Cuma buat masa sekarang saya rasa belum sampai seru lagi.

“Saya target nak kahwin sebelum umur 30 tahun. Sekarang ini baru nak masuk 25 tahun, mungkin 4-5 tahun lagi. Tapi kalau jodoh awal pun saya terima.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: