PERSOALAN tentang kisah rumah tangga penyanyi kecil molek, Ramlah Ram bagaikan tidak pernah lekang diajukan kepadanya.
Namun, apa yang menarik tentang penyanyi lagu Selamat Jalan Romeo ini, dia masih lagi bersikap tenang biarpun kisah peribadinya terus diperkatakan.
Dia yang sering menghadiri majlis-majlis anugerah mahupun persembahan pentas tanpa ditemani suami, Kamal Roslim sedikit sebanyak menimbulkan spekulasi kurang enak di kalangan peminat.
Bagi peminat yang mengikuti perkembangan dan membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya, cerita-cerita sedemikian mungkin sudah dianggap biasa kerana mereka sedia maklum bahawa Ramlah antara artis yang selesa menjalani aktiviti seni tanpa melibatkan suami.
Namun, bagi peminat-peminatnya yang baru sudah pasti cerita-cerita sedemikian sedikit sebanyak 'meracuni' dan mempengaruhi pemikiran mereka.
Lantas, pada pertemuan yang diatur di studio Utusan Malaysia baru-baru, Ramlah tenang menjelaskan, perkara sebenar tentang dakwaan kononnya berlaku masalah dalam hubungan rumah tangganya.
"Sebenarnya tiada masalah dalam rumah tangga saya, semuanya okey. Cuma kalau orang kata kami sudah tak bersama kerana saya selalu dilihat bersendirian memang tidak betul.
"Dari dahulu lagi saya kalau menghadiri mana-mana acara ataupun persembahan pentas tak pernah bawa suami.
"Bukan saya berniat nak sorok suami, cuma kerja dia dan saya berbeza. Dia ada jadual dia sendiri dan begitu juga dengan saya.
"Sebab itulah apabila ada yang nak buat sesi bergambar antara saya dengan dia (suami) susah sebab faktor masa dan jadual memang saya tidak boleh nak janji dan tetapkan. Sehingga kini kami memang tiada masalah dan masih bersama," jelas Ramlah.
Lali dengan spekulasi negatif masyarakat terhadap kisah rumah tangganya, kata Ramlah, biarlah masyarakat membuat apa jua telahan namun dia tetap akan bersikap tenang dan tidak mahu mengambil peduli.
"Kalau nak tutup mulut orang dari bercakap memang susah sebab mereka akan tetap berkata. Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya cerita tentang masalah rumah tangga saya.
"Susah jadi artis, bila nampak keluar bersendirian saja orang dah mula fikir yang bukan-bukan.
"Setakat ini saya memang tidak terasa hati dengan kata-kata orang sebab saya tahu apa yang sebenarnya. Lagipun, sudah selalu sangat orang bertanya jadi saya pun dah lali," kata Ramlah tanpa berselindung.
Album solo selepas 10 tahun.
Ramlah yang hadir pada pertemuan itu tampil dengan imej terbaru, berambut pendek kelihatan lebih muda berbanding usia sebenarnya yang bakal mencecah ke angka 44 tahun pada 19 Februari ini.
Bercerita tentang imej terbarunya, menurut Ramlah, ia merupakan kali pertama dia tampil dengan imej sedemikian.
"Sebenarnya untuk imej berambut pendek dahulu saya pernah sekali tetapi lebih pendek daripada sekarang. Untuk imej yang gayanya sebegini, ini adalah yang pertama.
"Ia ringkas dan senang nak diuruskan terutamanya ketika bersiap untuk persembahan ataupun sesi bergambar," kata penyanyi yang berasal dari Muar, Johor itu.
Menyingkap aktiviti terbaru, dalam nada ceria kata Ramlah dia kini muncul dengan single terbaru Langit Cinta ciptaan dan lirik oleh Hazami.
Menurut Ramlah, Langit Cinta merupakan single ketiga yang dimuatkan dalam album terbarunya yang bakal dilancarkan pada Mac ini.
Dua single iaitu Ketentuan dan Cinta Beralah yang hangat diputarkan di corong-corong radio sebelum ini turut dimuatkan ke dalam album tersebut.
Tahun lalu, lagu Ketentuan ciptaan komposer terkenal Azlan Abu Hassan dinobatkan sebagai lagu terbaik pertandingan akhir Hits 1 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Kembali merakam album selepas 10 tahun tidak tampil dengan mana-mana album solo kata Ramlah, selain berdebar menanti reaksi peminat, dia mula merasakan keseronokan kerana dapat bersama-sama artis baru dalam merancakkan lagi industri hiburan.
"Nak bersaing bersama-sama artis baru sebenarnya saya rasa seronok. Lagi seronok apabila lagu-lagu saya turut diterima dan diputarkan di radio.
"Bukan senang nak jadikan sesebuah lagu hit pada zaman sekarang. Mula-mula rakam dahulu memang saya risau dengan penerimaan pelbagai pihak tetapi bagi saya dugaan memang tetap ada.
"Sehingga kini, Alhamdulillah saya begitu bersyukur kerana peminat saya sentiasa memberikan sokongan," kata juara Bintang RTM 1985 itu lagi.
Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang penyanyi ini layari www.ramlahram.com atau myspace.com/ramlahram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: