Friday, January 23, 2009

Transisi hidup Yasin

KEHIDUPAN diakui terlalu banyak pancaroba. Baik ataupun buruk, tiada siapa yang bakal terlepas daripada ujian Yang Maha Esa kecuali dengan izin-Nya.

Apa yang pasti, segalanya sudah tentu terkandung hikmah yang bukan kecil pengajarannya.

Penyanyi Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 34, antara yang berjaya melewati waktu sukar dalam kehidupannya.

Menghidapi krisis identiti ketika mula-mula bergerak secara solo dalam nyanyian (2001 hingga 2005) antara detik yang paling mencabar buatnya.

Kecelaruan diri yang dialaminya hampir menghanyutkan bahtera hidup yang dikemudinya ketika itu.

Lima tahun merupakan tempoh yang bukan singkat bagi lelaki berkulit cerah yang pernah dibesarkan di tanah Arab, Mekah ini dalam 'mencari' diri.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah tiga tahun bebas daripada krisis tersebut, walaupun sebelum itu terpaksa bergelut untuk tempoh lima tahun.

"Bagi saya, penyakit krisis dalaman ini merupakan perkara biasa dan lazimnya dialami oleh remaja yang mula meningkat dewasa.

"Ia bukanlah sesuatu yang asing sebab penyakit ini sebenarnya sudah mula menyerang manusia sejak zaman dahulu lagi cuma orang ramai tidak begitu arif dan tidak ambil peduli.

"Kenyataannya, lebih 80 peratus jumlah manusia di muka bumi ini melalui masalah yang sama ketika meningkat dewasa," kata bapa kepada dua anak, Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan itu ketika ditemui Hits di studio Utusan baru-baru ini.

Dia yang ditemani isterinya Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain dan anak keduanya pada pertemuan itu mengakui berasa takut dan bimbang untuk membuat pengakuan tentang penyakit yang dideritainya itu pada awalnya.

Bagaimanapun, kata Yasin, untuk pulih dia memandang perkara tersebut dari sudut positif dan perlahan-lahan kegusarannya beransur kurang.

"Bagi saya tidak perlu sembunyi sebab ia bukan satu perkara yang luar biasa. Kalau kita fikir ia sebagai satu perkara yang luar biasa sudah tentu kita susah nak pulih.

"Kita perlu tangani secara akademik, jumpa pakar ataupun banyakkan membaca sudah pasti ada jalan keluar," kata Yasin berkeyakinan.

Tambah Yasin, selain keluarga terapi terbaik buat dirinya ialah dengan meluahkan rasa hati melalui lagu-lagu ciptaan dan nyanyian.

Malah, katanya transisi yang dialami dalam kehidupannya cuba dialirkan ke dalam lagu-lagu yang dimuatkan dalam album terbaru terbitannya, Arus Qudus yang dipasarkan sejak Disember lalu.

Mengandungi sembilan buah lagu termasuk Arus Qudus, Kau Yang Mengetahui dan Bismillah, album yang diterbitkan lima tahun selepas album Salsabila membawa kelainan berbanding beberapa siri albumnya yang lebih fokus kepada elemen padang pasir.

"Apa yang boleh saya katakan, album saya kali ini lebih matang berbanding album-album terdahulu sebab konsepnya sudah lain kerana tidak terlalu fokus kepada world music.

"Album ini saya rakam lebih kepada jiwa saya sendiri. Seperti mana perubahan yang berlaku dalam diri, perubahan turut dilakukan dalam album kali ini.

"Nak cakap ia satu eksperimen untuk saya beralih genre tidak juga sebab semua lagu saya boleh layan.

"Cuma mungkin agak berisiko untuk menarik perhatian orang sebab ia lebih kepada mesej, kejujuran dan kepuasan diri saya sendiri," kata Yasin yang turut menyelitkan unsur balada, rock dan etnik dalam album terbarunya itu.

Menganggap lima tahun masa yang sesuai untuknya menghasilkan album baru, kekuatan untuk album tersebut juga bergantung kepada susunan muzik dan kepelbagaian genre muzik yang ditampilkan.

Antara pemuzik-pemuzik ternama tanah air yang terlibat dalam pembikinan album tersebut ialah Zahid Ahmad (drum), Ramli Rebana (perkusi), Nan (gitar), Akbar dan Joe Flizzow.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: