Tuesday, January 13, 2009

Respirasi Muzik: 'Garau jantan' Ibnor masih berbisa


Album: Senandungku
Artis: Ibnor Riza

USAHA penyanyi yang suatu ketika dulu cukup popular dengan lagu Berdirinya Seorang Perindu sekitar 1980-an, Ibnor Riza menghasilkan album baru seharusnya dipuji.

Ini kerana lagu dendangan orang lama dan berpengalaman perlu diperbanyakkan bagi mengimbangi kehadiran penyanyi baru yang membanjiri industri dengan konsep muzik lebih segar serta pelbagai.

Bagaimanapun, karya yang diketengahkan penyanyi lama menerusi album dihasilkan mutunya perlu baik agar ia dapat bersaing.

Sayang apabila album ke-14 dihasilkan Ibnor Riza ini mempunyai sedikit kekurangan dari sudut susunan muziknya yang kedengaran longgar.

Dinilai secara keseluruhan 10 lagu dimuatkan boleh dikatakan separuh daripadanya memiliki melodi agak kuat. Sebagai bukti cuba dengarkan lagu ciptaan Adam Ahmad iaitu Rajuk Kasih dan Senandungku Untukmu yang turut menjadi judul album ini.

Ternyata Adam Ahmad masih tidak hilang sentuhannya dan bayangkan kalau ia digubah secara penuh dalam instrumen bertali seperti biola sebagai rencah irama melatari lagu dicipta, ia pasti mampu membuai perasaan.

Apatah lagi vokal Ibnor masih seperti dulu, gemersik dan 'garau jantan' dimiliki penyanyi ini membuatkan dia masih diminati dan digilai. Dalam pasaran sekarang, kita susah untuk mencari penyanyi lelaki yang mempunyai kekuatan suara seperti itu.

Menambahkan lagi rencah album dihasilkan, Ibnor cuba menampilkan beberapa irama yang sesuai dengan suara 'jantannya' seperti salsa menerusi lagu Dusta yang diciptanya sendiri.

Tidak ketinggalan lagu irama Malaysia dan etnik kreatif menerusi Rajuk Kasih yang dicipta Mat Din dan lirik nukilan Ilham Fansuri. Ia boleh menambahkan lagi khazanah lagu berunsur tradisi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: