Tuesday, January 13, 2009

Liku kehidupan empat wanita


BERMULA 22 Januari ini, Astro akan menyiarkan drama komedi romantik 13 episod berjudul Kasut Tumit Tinggi. Ia membariskan pelakon pelakon jelita seperti Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evans.

Drama itu akan ditayangkan di Astro Prima, setiap Khamis, jam 10 malam.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Astro tidak pernah jemu untuk terus membekalkan drama berkualiti yang menghiburkan di samping memberi pengajaran untuk disajikan kepada pelanggan.

"Pemilihan drama Kasut Tumit Tinggi sebagai satu daripada barisan drama Astro Megadrama ini sememangnya tepat kerana selain menghiburkan, mesej mengenai realiti kehidupan turut diselitkan supaya dapat diteladani penonton," katanya.

Kasut Tumit Tinggi berkisar liku kehidupan empat wanita jelita, Sofia (Nanu Baharudin), Ida (Norish Karman), Ros (Amy Mastura) dan Mai (Juliana Evans) yang berpewatakkan menarik. Mereka mempunyai banyak persamaan dari segi personaliti tetapi masing-masing mempunyai nasib yang ternyata jauh berbeza terutama membabitkan keluarga, cinta dan karier.

Sofia, janda yang berumur 38 tahun, seorang yang romantik bekerja dari rumah sebagai penterjemah novel cinta. Dia popular sebagai penasihat cinta yang memberi nasihat cinta dan perhubungan dalam ruangan akhbar. Dia juga penyayang dan amat menyayangi anaknya, Mai dan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan anaknya bahagia.

Mai, gadis berumur 17 tahun sangat baik hati tetapi bersifat sinis. Hanya dua perkara yang menjadi kesukaannya dalam dunia iaitu ibunya dan cerita penyiasatan. Dia bangga dengan dirinya yang rasional.

Pelbagai kekecohan yang lucu dan menghiburkan berlaku selepas Mai genap berumur 17 tahun apabila Sofia menyatakan hasrat untuk cuba menjalinkan hubungan dengan lelaki semula. Mai cemburu dan sedih kerana bimbang dengan kehadiran orang baru dalam hidup ibunya. Manakala Sofia pula tersepit di antara perasaan sunyi dan bersalah.

Akhirnya, dua beranak ini membuat perjanjian iaitu mana-mana lelaki yang ingin menjalinkan hubungan dengan Sofia perlu ditapis dan mendapat kelulusan Mai terlebih dulu. Bagaimanapun, dalam diam Mai bertindak lebih cepat dengan cuba menyiasat latar belakang setiap lelaki yang hadir dalam hidup ibunya untuk menilai sejauh manakah keikhlasan mereka.

Ida juga berumur 38 tahun, adalah kawan Sofia. Dia dalam proses penceraian selepas mengetahui kecurangan suaminya. Akhirnya, dia teruskan hidup tanpa kepercayaan pada cinta dan lelaki. Tetapi, anaknya, Amir tetap orang yang paling disayangi dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: