Thursday, January 22, 2009

Perkahwinan Mazidul, isteri masih sah

PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam memutuskan wartawan penyiaran yang juga pengacara rancangan 360 terbitan TV3, Mazidul Akmal Sidik, 41, dan Khairul Fazlin Kamaruddin, 38, masih sah sebagai suami isteri kerana tidak melanggar syarat cerai taklik.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad memutuskan sedemikian selepas meneliti afidavit yang difailkan Khairul Fazlin dan afidavit pembelaan oleh Mazidul selain mendengar keterangan kedua-duanya pada perbicaraan lalu.

Sebelum ini, Khairul Fazlin selaku plaintif memfailkan permohonan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, iaitu tuntutan pengesahan cerai taklik didakwa dilafazkan di rumah mereka.

Ketika perbicaraan Khairul Fazlin mengesahkan bahawa Mazidul ada melafazkan kata-kata: “Kalau dia orang datang, I ceraikan you."

Menurutnya, lafaz itu dibuat di rumah mereka di Apartmen Salbia, Bukit Damansara dekat sini pada jam 11.30 malam, 13 Oktober tahun lalu.

Khairul Fazlin memberitahu, sebelum itu berlaku pergaduhan antara mereka yang menyebabkan dia benar-benar tertekan dan menelefon ibunya untuk meminta kedua-dua orang tuanya datang ke rumah.

Sementara itu, Mazidul mengakui melafaz, “Kalau diaorang datang, i (saya) ceraikan you (awak),” terhadap plaintif.

Perkataan ‘diaorang’ merujuk kepada ibu dan bapa Khairul Fazlin memandangkan ibu mentuanya tidak pernah datang berseorangan sekiranya datang ke rumah pada waktu malam.

Ibu plaintif hadir bersama dua anaknya kira-kira setengah jam panggilan itu dibuat sementara bapa plaintif tidak hadir.

Ghazali dalam alasan penghakimannya berkata, sehingga dibicarakan hari ini (semalam), belum lagi berlaku perlanggaran terhadap syarat tersebut.

Menurutnya, maksud datang ke rumah malam itu ialah ibu dan bapa plaintif sahaja, tetapi yang hadir pada malam itu ialah ibu plaintif dan dua adik plaintif.

“Talak wujud tetapi tertangguh dengan perkara yang disyaratkan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Mazidul mengucapkan syukur dengan keputusan berkenaan.

Sebelum itu Mazidul terlebih dahulu memberitahu, perkara berkenaan timbul kerana selepas isterinya merujuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengetahui status perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, jelasnya, pihak Jais meminta isterinya membawa perkara itu ke mahkamah kerana ia melibatkan lafaz talak.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 21 Mei 1997 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhamad Afif Faiq, 10, dan Muhamad Azard Faez, 7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: