Thursday, January 22, 2009

Liyana Jasmay semakin ‘demand’!



image
Jika sebelum ini pelakon remaja, Liyana Jasmay dikatakan bersikap memilih kawan dan tidak mahu bergaul dengan pelakon-pelakon baru dalam filem lakonannya Histeria, kali ini Liyana dikatakan sudah pandai ‘demand’ untuk memilih pelakon yang akan digandingkan dengannya.

Perkara ini bukanlah gosip atau pun khabar angin semata-mata, kerana ia secara tidak sengaja telah terbongkar ketika satu majlis sidang media filem terbaru, Merempuh Karma terbitan Second Life Pictures yang diadakan di pejabat produksi tersebut, di Taman Melawati, baru-baru ini.

Ketika sesi memperkenalkan barisan pelakon, penulis skrip yang bertindak sebagai pengerusi majlis, Shahriman Wahap, sempat mengusik Liyana dengan berkata, Liyana agak ‘demand’ ketika ditawarkan untuk berlakon filem tersebut. Kata Shariman, kali pertama dia menghubungi Liyana untuk menawarkannya berlakon, Liyana menyoal senarai pelakonnya terlebih dahulu, tanpa menilai skrip filem itu.

“Perkara pertama yang dia tanya saya, siapa pelakonnya? Bila saya sebut nama-nama kesemua pelakon, termasuklah pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Que Haidar, Ahmad Yatim dan Sidi Oraza, dia terus kata setuju, ” kata Shariman.

Mendengar kenyataan itu, jelas menunjukkan Liyana kini sudah pandai bersikap ‘demand’ untuk membintangi sesuatu filem. Bagaimanapun, pelakon kelahiran Kuantan, Pahang, ini mempunyai alasan dan jawapan yang tersendiri kenapa dia harus berbuat demikian.

“Jangan salah faham, saya bukannya memilih pelakon, saya cuma nak tahu sahaja siapa pelakonnya. Lagipun sebagai orang baru dalam industri ini, saya harus tahu dengan siapa saya akan bekerjasama. Kalau saya berpeluang berlakon dengan nama-nama besar, secara tidak langsung ia boleh membantu saya dalam lakonan. Lagipun sebelum ini Abang Rosyam dan Abang Bade (pengarah) pun pernah berpesan kepada saya, kalau nak terima mana-mana ‘job’, kena tanya siapa dulu pelakonnya,” kata Liyana tanpa berselindung.

Tambah Liyana, selain teruja untuk berlakon di samping pelakon-pelakon hebat, terutama pelakon veteran Ahmad Yatim yang sangat disanjungnya, dia juga tertarik dengan konsep dan jalan cerita yang mengisahkan tentang kehidupan ‘mafia’ dalam filem tersebut.

“Memandangkan filem ini menampilkan pelakon yang hebat-hebat, maka rugilah kalau saya menolaknya. Terus-terang saya memang minat sangat dengan Ahmad Yatim. Sebenarnya saya pernah berhajat untuk belajar berlakon dengannya di ASK, tapi tak kesampaian sebab saya sambung belajar di tempat lain. Jadi bila dah dapat peluang macam ini, saya takkan lepaskan. Insya-Allah, bila bertemu dalam filem ini nanti, bolehlah saya timba ilmu dengannya.

“Selain pelakon yang hebat, saya juga percaya konsep ‘mafia’ dalam filem ini dapat menarik minat penonton. Kalau kita perhatikan, penonton sekarang memang cukup minat dengan filem-filem aksi dan ganas. Jadi filem ‘Merempuh Karma’ ini bertepatan dengan selera mereka dan Insya-Allah filem ini akan ‘meletup’!” kata Liyana yang semakin laris di layar perak.

Bermula dengan filem ‘Castello’, gadis lincah ini mula mendapat perhatian pengarah dan berjaya membintangi beberapa filem lain. Antaranya Syaitan, Kami The Movie, Histeria dan Maut yang kini sedang ditayangkan di pawagam. Manakala dua lagi filem lakonannya, Duhai Si Pari-Pari, dan Papadom pula menunggu masa untuk ditayangkan.

Berubah jadi gadis berjilbab

Sebelum ini, Liyana sering membawakan watak-watak ‘posisi gelap’ dalam filem lakonannya, namun menerusi filem ‘Merempuh Karma’, dia berpeluang melakonkan watak yang berbeza. Kata Liyana, dia akan membawa watak seorang gadis yang berjilbab labuh bernama Aqilah dan ini akan memberikan satu pengalaman yang baru buatnya.

“Apa yang saya tahu, dalam filem ini, saya membawakan watak Aqilah, gadis berjilbab yang baru pulang belajar dari Mesir. Selebihnya saya tak dapat nak jelaskan, sebab saya pun tak tahu sejauh manakah perjalanan watak ini. Tapi saya harapkan watak ini tidaklah terlalu ‘simple’ dan dapat berikan ‘sesuatu’ kepada saya. Biarlah saya dapat mendalami karakter itu dengan lebih baik.

“Setakat ini, saya baru sekali baca skrip ini dan apa yang saya nampak, watak Aqilah ada ‘posisi gelapnya’ dan ada juga cabarannya. Terdapat kronologi terhadap semua watak dalam filem ini dan saya sendiri pun masih menunggu-nunggu apakah yang terjadi dengan watak saya,” jelas Liyana.

Sebagai persediaan untuk melakonkan watak tersebut, Liyana memberitahu, dia akan mengikuti kelas lakonan dengan Fauziah Nawi. Bagi Liyana, latihan sedemikian sangat berguna untuk membantu pelakon mengenali karakter mereka terlebih dahulu, sebelum bermulanya sesuatu penggambaran.

Filem ‘Merempuh Karma’ yang menelan belanja RM1.8 juta ini bakal menjalani penggambaran selama dua bulan dan melibatkan beberapa lokasi termasuklah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan mungkin juga di luar negara.

Selain Liyana Jasmay, filem ini dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Ahmad Yatim, Sidi Oraza, Fauziah Nawi, Rosyam Nor, Que Haidar, Raja Farah, Hasnol Rahmat, Faizal Hussien dan akan mula menjalani penggambaran pada 18 Mac ini.

Sedia tampil dengan album 'single'

Dalam perkembangan lain, Liyana memberitahu hasratnya untuk bergelar penyanyi akan tercapai dengan kemunculan album 'singlenya' tidak lama lagi. Menurut Liyana, albumnya itu akan memuatkan tiga buah lagu iaitu, Tak Percaya Cinta, Aku jatuh Cinta dan Pelik.

Dia yang baru sahaja selesai menjalani rakaman album itu, turut meluahkan rasa puas hati dengan sentuhan yang dilakukan oleh komposer terkenal, Ajai, terhadap lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya. Dengan berkonsepkan pop rock, Liyana percaya ia akan mendapat sambutan, terutamanya di kalangan remaja.

”Setakat ini, apa yang saya rasakan album ini cukup menarik. Malah selaku komposer, abang Ajai dilihat benar-benar memahami kehendak saya. Apa yang dilakukannya dalam album ini sangat kena dengan jiwa saya. Malah saya percaya pemilihan lagu-lagu ini, bukan sahaja bersesuaian dengan saya, tapi juga untuk remaja lain. Lagu-lagunya berkonsepkan riang, rancak dan lincah,” jelas Liyana yang menjadikan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Miley Cyrus dan The Veronicas sebagai idolanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: