KUALA LUMPUR, 22 JAN 2009: Penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain, 40, semalam menjadi cemas dan ketakutan apabila digemparkan dengan berita palsu kemalangan jalan raya yang melibatkan dirinya.
Bercakap kepada portal murai.com.my, pengurus penyanyi itu, Lisa Aryanti Tahir, berkata dia sungguh terkejut dan kesal dengan berita palsu berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia menjadi bualan hangat kebanyakan peminat Ziana semalam.
Kata Lisa, dia sendiri tidak menduga, ada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu berkenaan, walhal hakikatnya Ziana berada dalam keadaan sihat.
Malahan katanya, keadaan mula menjadi kalut apabila sekitar jam 4 petang dia sendiri menerima panggilan daripada bilik berita RTM yang ingin mengesahkan berita palsu kemalangan jalan raya penyanyi kesayangan ramai itu.
"Saya sendiri jadi hairan, siapa agaknya yang tergamak menyebarkan berita kurang sedap itu. Sedangkan petang tadi saya baru saja mengirimkan beberapa SMS kepada Ziana.
"Selepas saja terima panggilan daripada RTM itu, saya terus menghubungi Ziana, bagaimanapun tidak ada jawapan. Nasib baiklah selepas 3 kali mencuba, Ziana akhirnya menjawab panggilan saya.
"Kalau tak silap, panggilan itu saya buat sekitar jam 4.30 petang. Pada masa itu Ziana sedang mengambil anak sulungnya, Aiman pulang dari sekolah," kata Lisa.
Lisa berkata, pada ketika itu Ziana seakan sudah tahu tujuan panggilan telefon berkenaan kerana pada masa yang sama finalis Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) itu turut mendapat infomasi serupa daripada ibu saudaranya pada sebelah tengah hari.
"Memang kecoh hari ini. Semua rakan-rakan artis dan peminat Ziana menjadi panik. Banyak jugak SMS yang saya terima daripada mereka untuk mengetahui keadaan Ziana.
"Bagi Ziana sendiri, dia menjadi takut. Saya nasihatkannya supaya memandu berhati-hati. Memang tak baik apabila menerima berita palsu seperti ini, lebih-lebih lagi berkenaan kemalangan jalan raya.
"Malah pengurus Anuar Zain, Rahila pun terkejut dengan berita ini. Katanya, perkara yang sama pernah terjadi kepada Anuar Zain dan menyebabkan dia menjadi cemas dengan berita palsu itu," tambah Lisa.
Menjawab, apakah tindakan susulan yang akan dilakukan Ziana selepas ini, Lisa berkata, pihaknya mengambil langkah mendiamkan diri dengan berharap agar berita palsu ini tidak digembar-gemburkan. Kata Lisa, dia menyifatkan kejadian itu mungkin sebagai pelanduk dua serupa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: